Theflowersellingboy

Rabu, 15 Februari 2017

CERITA SEORANG PESARA




Diam tak  diam sudah 13 tahun saya bersara dari perkhidmatan awam. Tapi saya tidak merasakan begitu. Rasanya baru semalam saya menyampaikan ucapan di majlis perpisahaan yang diadakan oleh jabatan.

Usia sudah mendekati  69 tahun. Tak boleh lagi main trik dengan merubahkan kedudukan angka untuk dibaca sebagai berusia muda. 

Dulu waktu berusia 54 tahun, saya ubahkan kedudukan angka depan ke belakang jadilah 45. Tapi sekarang jika dibuat begitu usia saya akan dibaca sebagai 96 tahun. Semakin tua jadinya.

Oh tak mau.  Lagipun tidak mungkin saya akan mampu pergi ke tahap itu. Paling-paling saya mampu mencapai......Saya tak mahu menyebutnya. 

Takut? Saya tidak mahu  jawab. Ianya rahsia besar.

Lagipun ianya tidak perlu dijawab kerana Allah saja yang mengaturkannya.

Memasuki dua tahun selepas bersara iaitu pada bulan Jun 2006 (saya bersara bulan Ogos 2004), saya menjalani pembedahan jantung terbuka yang dipanggil CABG  (Coronery Artery Bypass Grafting) di IJN. Ianya satu peristiwa yang tidak dapat saya cari perkataan yang dapat memberikan gambaran sebenar tentang perasaan saya.

Perasaan saya terbentuk dari gabungan rasa takut, bimbang, sedih, menyesal dan mengharap yang terbaik  iaitu selamat menjalani pembedahan.

Macam mana tak takut kerana ia melibatkan jantung. Berhentinya denyutan jantung 'I am gone', begitulah bisik hati kecil saya semasa berbaring diatas katil menunggu kedatangan pakar bedah Datuk Dr Venugopal bagi menerangkan prosedur yang saya perlu lalui.

Saya memandang isteri yang duduk diatas sofa berdekatan dengan katil saya.  Wajahnya memberi tahu saya bahawa dia lebih takut dari saya. Sebutir kata pun tidak mampu dikeluarkan. Saya faham.

Dr. Venu menerangkan kepada saya tentang prosedur yang perlu saya lalui. Saya tidak sabar, sebelum habis penjelasan diberikan saya segera mencelah menanyakan peluang untuk survive dan tahap risiko pembedahan itu.

Sebagai professional beliau  tidak berselindung  dengan kata-kata yang boleh menyenangkan hati tapi tidak benar.

"This is a major operation. In your case, it is 94 and 6. But you don't have to worry I have been doing this for years. Every body is happy". Dia tersenyum sambil menepuk bahu kanan saya.

94 itu bermaksud tahap risiko yang saya akan hadapi. Saya hanya ada peluang 6% saja untuk survive.

Senyap sunyi.  Tiada suara yang keluar dari saya apatah lagi isteri. Maka ketika itulah saya terbayang wajah anak-anak. Seorang belajar di UTP, seorang belajar di UGM, Jogjakarta, seorang di UiTM Shah Alam dan seorang di Mozac.Jelas muka anak-anak itu walaupun bukan berada dihadapan mata.

Tiada air mata yang mengalir. Segala kesedihan dan kebimbangan diresap dan dikumpulkan dalam sanubari.

Saya mengelak dari memandang wajah isteri. Saya tahu apa yang ada dalam hatinya.

Peluang survival 6%, saya perlu menfaat sepenuhnya. Walaupun kecil,  ianya tetap peluang yang memberi harapan. 

Wajah isteri saya muncul dan wajah empat orang anak saya juga muncul dalam bayangan otak kepala saya.  Mereka masih memerlukan saya di dunia ini. Itu yang mereka harap dan itulah yang menjadi harapan saya.

Saya mula membina keyakinan bahawa saya akan survive dalam pembedahan ini. Peluang 6 % itu akan menyangkut.  

"Bukan kah ajal maut  ketentuan Allah? Jadi mengapa saya mahu percaya saya akan.....", terhenti setakat itu bisikan suara hati saya. Terganggu juga proses pembinaan keyakinan saya itu.

'Doa sajalah agar Allah memberi peluang untuk saya terus dapat bersama isteri dan anak-anak didunia ini'. 

Saya memintas gangguan terhadap pembinaan keyakinan tadi dengan menggunakan kekuatan doa kepada Allah yang maha berkuasa.

Berserah kepada Allah.  Terserahlah kepada Allah mengikut apa yang dikehendakkiNya.

Saya telah bersedia untuk menjalani pembedahan pada keesokan harinya. 

Pukul 7 pagi saya sudah berada di pintu masuk bilik pembedahan, terbaring diatas troli, ditemani isteri disisi. Tiada apa bicara diantara kami. Saya berbicara dalam hati.

Beberapa minit kemudian saya dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan  meninggalkan isteri yang melepaskan genggaman tangannya dari tangan saya dengan wajah yang sedih. Tidak ada air mata dari saya dalam perpisahan itu. Saya tidak pasti isteri menangis atau tidak.

Dalam bilik pembedahan saya menerima suntikan.

Maka bermimpilah saya dengan mimpi yang indah. Saya menjadi orang kaya, rumah besar dan cantik. Amat menyeronokkan.

Saya merasa anggota badan saya ditepuk-tepuk oleh seseorang. Saya membuka mata sekejap sahaja. Masih lagi rasa mengantuk mahu tidur.

Rupanya pembedahan saya berjaya. Saya survive. Alhamdulillah. Saya diberitahu kemudiannya pembedahan itu mengambil masa 6 jam termasuk menjalani prosedur sebelum pembedahan sebenar. Empat saluran darah saya (artery) tersumbat dan dilakukan pintasan (bypass).

Tiga belas tahun sudah berlalu. Setiap tahun saya akan berjumpa doktor di IJN bagi memantau jantung saya. Pada tahun pertama sehingga tahun ketiga, jika tidak silap, saya dipantau 3 kali dalam setahun. Kemudian turun kepada 2 kali dan seterusnya setahun sekali.

Dr melaporkan 'everything is fine'. 

Saya ada sedikit keraguan dengan kenyataan doktor itu kerana ada masanya saya merasakan sakit bagai kena cucukan jarum di kiri kanan dada terutama pada setahun dua kebelakangan ini. Tapi ianya bukan sakit yang berterusan. 

Saya masih lagi mampu melakukan kerja-kerja berat seperti memesin rumput, membersih dan mengemas rumah seperti mopping lantai, mengangkat barang berat seperti paket beras seberat 10 kilo tanpa merasa mengah dan sakit. 

Saya juga mampu melakukan senaman 'jalan cepat' membuat 100 kali pusingan di hadapan rumah dalam tempoh hampir satu jam tanpa henti, tanpa merasa penat atau mengah.

Cuma pada tahun lepas dan tahun ini saya belum memulakan lagi senaman jalan cepat itu. Penyakit malas sudah menguasai diri saya.

Saya mahu mulakan pada esok hari.

Tapi tidak mungkin akan dapat saya lakukan kerana saya diserang oleh sakit ditapak dan tumit kaki kiri saya. Pijak saja, rasa sakit yang amat sangat. Jalan terdengkut-dengkut menahan kesakitan. Pada hal saya telah mendapat suntikan secara rawatan prolotherapy pada dua bulan yang lepas. Tetapi nampaknya rawatan itu belum memberi kesan yang diharapkan.

Sebenarnya 5 tahun yang lepas saya telah mendapat rawatan ini dan ianya memberi kesan dapat menghilangkan sakit ditapak kaki dan tumit dikaki kiri juga tapi pada spot yang berbeza.

Entah mengapa suntikan kali ini tidak berkesan. Mungkin saya melakukan terlalu banyak kerja pada tempoh masa yang panjang selepas mendapat suntikan itu. Mungkin.

Tapi doktor yang menjalankan prosedur prolotherapy itu tidak pula memberi tahu saya agar jangan melakukan kerja berat selepas menerima suntikan. Sebaliknya beliau dengan penuh yakin mengatakan sakit itu akan hilang sebaik saja saya menerima suntikan.

"Tak sakit lagikan?" Beliau tanya saya selepas memberi suntikan.

Saya diam tidak menjawab. Sebab rasa sakit masih ada bahkan semakin bertambah disebabkan suntikan yang diberi.

Walaupun begitu minggu depan saya akan berjumpa doktor prolotheraphy itu untuk mendapat rawatan disamping akan bertanya mengapa suntikan pada dua bulan yang lepas tidak memberi kesan yang diharapkan.

Begitulah cerita orang yang telah bersara yang kawan saya panggil sebagai orang pencen. Semakin bertambah usia macam-macam penyakit yang datang. Saya tidak hairan kerana ianya sesuatu yang semula jadi yang mahu tidak mahu kena saya terima sebagai isyarat menghampiri masa yang telah ditentukan Allah. Mati itu pasti. Penyakit itu isyaratnya.

Yang perlu ada ialah kesabaran. Saya bersyukur atas nikmat yang telah diberi Allah sehingga saya mampu berada ke tahap usia yang hampir menjangkau 69 tahun, dan masih sihat, boleh menguruskan diri sendiri.

Esok tak jadi senaman. Azam untuk esok ialah mesin rumput. Rumput dibelakang rumah sudah semakin tebal dan meninggi, takut-takut mejadi tempat mainan sang ular. Tempat bersarang sang nyamuk sudah pasti.

Bagaimana dengan kesakitan ditumit dan tapak kaki?

Buldoz saja. Lagipun sakit tetap sakit walaupun tak buat kerja. Oleh itu lebih baik buat kerja. 

    








Tiada ulasan:

Catat Ulasan