Theflowersellingboy

Rabu, 1 Mac 2017

Mengapa Para Reformis Marah Sangat Pada Mahathir




Mengapa para reformis marah sangat pada Tun Mahathir?

Tun Mahathir hadir di konvensyen Reformasi tanpa jemputan. Beliau disorak (diejek) oleh sebahagian reformis yang hadir dalam konvensyen berkenaan. Sebab mereka masih lagi marah dengan Mahathir yang mereka percaya telah menzalimi Anwar Ibrahim.

Ini adalah kemunculan Mahathir kali ketiga tanpa jemputan dalam hal berkaitan dengan Anwar. Dua kali berjumpa Anwar di mahkamah dan sekali dalam konvensyen reformasi.

Mahathir mendakwa, Anwar mempunyai moral yang rendah, dengan sebab itu tidak layak jadi pemimipin. Anwar mesti dipenjarakan. Mesti jadi seorang banduan.

Jadi mengapa seorang bekas PM perlu berjumpa dengan banduan, orang yang beliau sumbatkan dalam penjara? 

Untuk mendapat belas ikhsan? Tak logik dan tidak rasional.

Jika Anwar mohon jumpa dengan Mahathir untuk dapat belas ikhsan, ada logiknya walaupun saya percaya Anwar tidak akan melakukannya kerana dia tetap mengatakan dia tidak bersalah. Dan saya percaya.

Atau adakah Mahathir berjumpa Anwar untuk mendapat belas ikhsan?

Tidak rasional dan tidak logik?

Tanpa berfikir panjang, mungkin itu jawapan yang segera diberi kerana apalah ikhsan yang mampu diberikan oleh seorang banduan kepada bekas PM yang paling lama. Bukankah Mahathir selalu mengulangi kata bahawa Anwar tidak relevan lagi. 

Sebaliknya, jika kita mahu berfikir panjang , dengan mengambil kira perkembangan semasa, Mahathir memerlukan ikhsan dari seorang banduan, orang yang pernah disumbatkan ke dalam penjara.

Bagi Mahathir ketika ini Anwar adalah terlalu amat penting dan relevan.

Mahathir perlukan Anwar untuk menjatuhkan Najib dan UMNO. Anwar dan PKR bersama dengan parti gabungan (Amanah dan DAP) juga mahu jatuhkan Najib dan UMNO. Matlamatnya nampak sama tapi tidak sebenarnya sama.

Mahathir dan geng mahu jatuhkan Najib orang yang beliau sokong untuk menggantikan Abdullah sebagai PM setelah Najib tidak sehaluan dengannya, dan setelah dia gagal mendapatkan sokongan ahli UMNO untuk bersama-sama menyingkirkan Najib. Dan ianya semakin menyemarakkan kebencian pada Najib dan UMNO apabila keluar dari UMNO.

Anwar (PKR) , Amanah dan DAP bertekad untuk menjatuhkan Najib dan UMNO kerana ianya satu matlamat perjuangan untuk menggantikan kerajaan yang didakwa sebagai zalim dan pincang dari segi tadbir urus. Sama ada Najib atau orang lain yang menjadi PM, tekad mengantikan UMN/BN sebagai kerajaan tetap menjadi matlamat Anwar (PKR), Amanah dan DAP.   

Ertinya bahawa menjatuhkan Najib dan UMNO bukan perjuangan asal Mahathir.

Ertinya juga menjatuhkan Najib dan UMNO, seterusnya menggantikan BN/UMNO sebagai kerajaan adalah matlamat yang diperjuangkan oleh Anwar dan geng. 

Sebab itu Mahathir tidak mahu menamakan Anwar sebagai PM jika pembangkang menang dalam PRU 14 seperti yang telah dipersetuji oleh DAP, Amanah dan PKR.

Bagi Mahahir, Anwar adalah penting bagi menjatuhkan Najib. Sebab Anwar masih ada pengaruh. Tetapi Anwar bukanlah orang yang ada dalam hati Mahathir untuk menjadi PM jika pembangkang menang.

Adakah itu motif Mahathir maka beliau sanggup berjumpa dengan seorang banduan, orang yang  beliau penjarakan walaupun tindakannya itu boleh mejatuhkan air muka beliau. Dan boleh juga ditafsirkan sebagai memohon maaf atas kesalahan dan kezaliman yang dibuat keatas Anwar dan keluarga.

Apapun motif Mahathir, Anwar dan geng telah menang dari segi moral. Bahawa tindakan Mahathir itu boleh ditafsirkan sebagai permohonan maaf Mahathir kepada Anwar atas kezaliman yang telah dilakukan.

Namun bagi reformis, kemarahan tehadap kezaliman Mahathir itu tidak mudah dilupakan begitu sahaja malah tindakan Mahathir berjumpa dan berbaik dengan Anwar lebih dianggap sebagai parut lama berdarah kembali dari bertujuan untuk menjatuhkan Najib dan UMNO/BN. 

Sebab itulah Mahathir menerima ejekan dari para reformis apabila Mahathir muncul tanpa dijemput pada konvensyen reformasi baru-baru ini.

Adakah reformis dapat menerima Mahathir jika Mahathir secara terbuka memohon maaf pada Anwar dan mengistiharkan Anwar adalah bakal PM jika pembangkang menang dalam PRU 14?

Tapi mahukah Mahathir melakukannya? 

Saya mengharapkan begitu, namun berat mengatakan bahawa Mahathir tidak akan melakukannya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan