Theflowersellingboy

Sabtu, 18 Februari 2017

APAKAH MALANGNYA PENJAWAT AWAM.




Bilangan penjawat awam dikatakan berjumlah 1.6 juta, dan didakwa sebagai melebihi dari keperluan bagi penduduk 30 juta.  
 
Maka ianya didakwa membebankan kewangan negara menurut perkiraan kerajaan seperti yang disuarakan oleh menteri kewangan kedua dan ahli politik pembangkang serta sebahagian dari masyarakat awam yang termasuk diantaranya bekas penjawat awam yang terdiri dari pegawai tinggi kerajaan.
 
Dakwaan ini adalah serious kerana  sumber/wang negara tidak diagihkan dengan cekap. Atau dalam perkataan yang lain ianya satu pembaziran. Siapa yang membazir  adalah kawan baik syaitan.

Benarkah dakwaan yang dibuat? Atau ada sebab lain mengapa dakwaan itu dibuat? 

Untuk memastikan benar atau sebaliknya dakwaan itu, saya percaya satu penelitian yang rapi dan menyeluruh wajar dan perlu dilakukan.
 
Namun begitu sebagai bekas penjawat awam,  yang berbangga dengan apa yang telah disumbangkan oleh penjawat awam kepada negara, merasakan ada tanggungjawab saya untuk menyatakan sesuatu. Ianya bukan bersifat defensif yang bertujuan untuk menidakkan dakwaan yang dibuat. Saya percaya kepada satu kajian yang menyeluruh dan teliti.

Saya mendekati bicara ini dengan  menyatakan apa yang saya percaya tentang penjawat awam berdasarkan realiti dan pengalaman.
 
Siapa/apa itu penjawat awam di Malaysia? 
 
Penjawat awam adalah  objek belasahan orang politik yang paling ampuh. 
 
Ianya 'punching bag' bagi ahli politik kerajaan dan ahli politik pembangkang   yang   bercakaran   merebut kuasa,  konon demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
 
Penjawat awam adalah seekor kancil yang duduk ditengah-tengah gelanggang percakaran diantara gajah dan gajah , lalu mati tersepit. Mati dengan mata terbeliak.
 
Penjawat awam  adalah  juga titik (spot) yang dicari dan dikenalpasti untuk dimenfaatkan oleh orang politik sebagai tempat mengumpul dan membuang  segala kekotoran orang politik (center for collection and dumping of rubbish).
 
Penjawat awam adalah juga mainan orang politik kerana orang politik adalah tuan kepada penjawat awam.......'my political master'. 
 
Yes sir. I am your obedient servant, sir. Do as you please, sir.

Itulah penjawat awam. Saya Yang Menurut Perintah.
 
Ikut perintah. Akur dan terima saja arahan dari Tuan Politik jika mahu bekerja. Kalau tidak , berhenti sahaja.
 
Itu adalah SOP penjawat awam.
 
Cuba renung hal dibawah ini.
 
Pilihanraya semakin dekat. 
 
Berbagai isu telah timbul dan ditimbulkan. Pembangkang yang mahu rebut kuasa paling seronok membicarakan isu kelemahan kerajaan mentadbir urus negara.
 
Pihak kerajaan pula selain mengadakan skim memujuk dan meredakan suasana hangat, bertindak mengalihkan isu agar isu yang dibangkitkan pembangkang boleh disenyapsunyikan atau ditutup dengan bayangan isu kelemahan pembangkang.
 
Dan rakyat sebagai pendengar yang mempunyai tahap kemampuan yang berbeza dalam menerima dan mentafsirkan isu-isu yang dibangkitkan, mahu tidak mahu akan membuat keputusan yang dizahirkan dalam peti undi, memilih diantara dua pihak iaitu parti yang memerintah yang mahu kekal berkuasa dan pembangkang yang mahu mengambil kuasa.
 
Isu-isu rasuah dan salah guna kuasa misalnya telah begitu hebat dan meluas  didedahkan oleh pembangkang. Dan sebahagian besar mempunyai maklumat dan fakta yang tidak mudah dinafikan oleh kerajaan.
 
Maka seperti biasa kerajaan tetap juga menafikan dengan berbagai cara termasuk mendapat pengakuan dari pihak yang ada otoriti bahawa setelah siasatan dibuat tidak ada merit kes itu diambil tindakan. Kes tutup. Contoh 1MDB.
 
Satu lagi cara ialah dengan mendedah dan mengambil tindakan keatas penjawat awam yang didakwa mengamal perlakuan rasuah. 
 
Maka bilangan tindakan dedahan dan dakwaan rasuah yang dilakukan oleh penjawat awam itu memecah rekod dari yang biasa sebelumnya. 
 
Nilai rasuahnya tidak pernah ada dalam bayangan fikiran sebelum ini yang melibatkan jutaan ringgit dalam berbagai bentuk....tunai, jongkong emas dan aset berbentuk bangunan. Wang tunai boleh dijumpa dibawah katil atau diatas loteng rumah. Menakjubkan.
 
Itulah buktinya kerajaan serious dalam membanteras rasuah!
 
Jawapan untuk disuapkan kepada orang ramai. Dan untuk mematikan dakwaan pembangkang bahwa kerajaan bukan main-main tentang rasuah.

Siapa yang Rasuah? Penjawat awamlah!

Pembangkang dakwa kerajaan membazir wang rakyat. Dan satu cara untuk mengurangkan pembaziran ialah dengan menyemak semula bilangan penjawat awam dan struktur gaji penjawat awam khususnya diperingkat jawatan tertinggi.

Pembangkang dakwa perkhidmatan awam telah digunakan bagi tujuan politik iaitu berkhidmat untuk kepentingan politik dan bukan untuk rakyat. Contoh yang diberikan ialah JASA sebuah jabatan yang diisi secara lantikan politik.

Kerajaan juga sependapat dengan pembangkang dari segi bilangan penjawat awam yang melebihi dari keperluan.Kata menteri kewangan kedua keadaan seperti ini membebankan kewangan negara.
 
Secara implikasi, kenyataan menteri itu mengarah kepada pengurangan bilangan penjawat awam. Tetapi menteri itu tidak pula mengsyorkan jawatan lantikan politik sebagai langkah awal dan segera, jika beliau serious, untuk dihapuskan.
 
Jadi adakah beliau serious dalam mengurangkan beban kewangan kerajaan?  

Saya kira sudah memadai bicara saya setakat ini bagi membuktikan bahawa penjawat awam adalah objek yang paling ampuh untuk dijadikan belasahan orang politik yang berebutan kuasa iaitu parti yang menjadi kerajaan yang mahu kekal kuasa dan pembangkang yang mahu ambil kuasa.
 
Kerana penjawat awam telah diberi jenama dan kekal berjenama Saya Yang Menurut Perintah.
 
Segala yang kotor, telah sedia ditempah untuk dihantarkan ke pusat PENGUMPULAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH yang namanya Penjawat Awam.
  


 
 
 
 
 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan