Theflowersellingboy

Isnin, 20 Februari 2017

Ceritanya Sama Saja, Dimana-mana.




Ceritanya sama sahaja. 
 
Sesiapa pun yang bercerita apabila kesempatan berjumpa, dirancang atau kebetulan saja, yang sudah kenal biasa dikenal hati budinya, atau kali pertama bersua muka, hati budi jauh sekali dikenali, membawa cerita yang sama. 
 
Ada marah berbagai warna, kebencian , menyampah , meluat dan kecewa mengisi suasana bicara.
 
Jumpa di warung untuk menjamu selera, di klinik sementara giliran tiba, di majlis nikah kahwin yang dekat dan yang jauh dan dimana sahaja asalkan duduk semeja bicaranya jarang berbeda.
 
Ceritanya hanya berpusat pada orang itu dan mereka yang bersekutu, tentang hal yang sama.
 
Pagi tadi menemani isteri untuk rawatan pantauan kencing manis, sementara gilirannya tiba, seorang hamba Allah dengan mesra menyapa, mempersilakan duduk disisinya walaupun kali pertama berjumpa.
 
"Sakit apa bang", kenalan baru itu memulakan bicara. Ah, dia panggil saya abang. Saya lebih tua darinya . Ya, benar, bukan satu persepsi melihat dari segi air muka, helaian rambut di kepala  dan warna. 
 
Saya tunjuk pada isteri saya. Dia angguk, faham agaknya bahawa bukan saya yang perlukan rawatan.
 
"Saya bawa bapa saudara. Sakit gigi. Nak cabut", kawan baru itu beritahu tanpa ditanya. Saya angguk saja, percaya 100%. Takkanlah dia nak berbohong.
 
Orang keluar masuk , menarik dan menolak pintu tak henti-henti macam semut buat kerja.
 
"Banyaknya orang bang".
 
Saya angguk sahaja.
 
Kawan itu mula berbicara lanjut setelah melihat satu jalinan persahabatan, yang saya rasa, dia sudah percaya, bahawa saya ini boleh diajak bicara atau diluahkan isi hati yang ada.
 
"Orang sakit ramai, doktor kurang. Sebab itu kena tunggu lama. Nak pergi swasta mahal pulak. Tak mampu nak bayar. Tahu lah sekarang semua  mahal. Bawak wang 100 ringgit, kalau kita pergi pasar, ringan saja yang kita bawak balik. Kena GST lagi. Tambah belanja, sakit hati bang".

Saya hanya mendengar saja sambil mengukir sedikit senyum tanda memberi perhatian untuk kawan itu baca bahawa  saya bersetuju dengannya , tiada bantahan.

Senyap seketika, mungkin ada isu lain yang hendak diperkata atau mungkin kawan itu mahu menunggu apa pula yang saya hendak kata. 

Saya perlu ambil bahagian kalau tidak apa pula katanya. Macam tidak dapat sambutan tentang apa yang dia cakap. 

"Ikan parang bang, bukan main mahal lagi. Seketul , harganya tak boleh cakap, mahalll". 

Belum sempat saya mahu menyentuh tentang kekurangan doktor, dia dah cakap harga ikan parang yang mahal. Tapi tidak pula beritahu berapa harganya. Mungkin dia pun tidak tahu. Hanya dengar cerita saja.

"Doktor memang kurang. Ada yang jadi HO berhenti kerja. Sayang. Belajar penat-penat. Belanja banyak. Berhenti kerja pulak". Saya bawa isu HO yang kena berhenti kerja.

Dengan segera kawan saya itu menyambut, "Dia orang nak ni bang. Gaji besar".

Waduh, kata hati kecil saya bahawa kawan ini tidak faham rupanya isu yang saya bangkitkan. Mungkin juga dia tidak tahu apa itu HO. Menyesal juga saya bangkitkan perkara itu. Tapi saya perlu terangkan. Ianya satu tanggungjawab agar dia tidak keliru.

Seorang doktor keluar dari bilik rawatan..

Kawan saya beritahu saya, itu adalah doktor pelatih  dalam latihan. Nak pergi minum katanya.

Waduh, sekali lagi saya besuara dalam hati bahawa kawan saya ini keliru. Di klinik tidak ada doktor dalam latihan. Mereka di hospital. 

Mahu saya terangkan? Saya bertanya dalam hati. Tak perlu. Sebab ianya seolah-olah saya mahu mengajar beliau. Sensitif kepada ego seseorang.  Tidak ada gunanya dalam pertemuan kali pertama.

"Itulah sebabnya lama menunggu. Doktor keluar minum", saya mahu lihat apakah reaksi kawan saya ini.

"Dia manusia. Tahu penat. Perlu makan. Apa salahnya", kawan ini membela segera doktor muda yang keluar itu.

Dia terus menyatakan bahawa, kerajaan mesti menambah bilangan doktor. Banyakkan hospital. Banyakkan klinik. Banyakkan doktor pakar. Barulah rakyat didahulukan.

Wah , hebat betul kawan saya ni. Bercakap macam orang politik. 

"Tapi, mana nak ambil wang. Besar belanja", sengaja saya bawa isu berkaitan dengan wang. Isu yang memang dekat dihati kawan saya ini. Mesti dia segera memberi respons.

Betul jangkaan saya.  

"Bang, negara kita kaya. Tapi semua wang habis dibalunnya". Tanpa rasa takut, dia menyebut nama seseorang,  pada hal ada ramai orang yang duduk berdekatan menunggu giliran. Tapi mereka macam buat tak kisah.

"Sekarang ni cuba berlakun. Tangkap sana, tangkap sini. Konon bertindak tegas nak hapus rasuah. Diri sendiri, macam mana?" Marah sungguh kawan saya itu. 

Waduh, saya perlu mencari jalan keluar. Ini sudah jadi cerita serious. 

Kebetulan , bapa saudara kawan saya itu sudah selesai rawatan giginya, mengajak anak saudaranya itu balik ke rumah. Saya lega. Kami bersalam. Jumpa lagi katanya. 

Lega rasanya. Saya urut dada yang tidak pun sakit.

Sebenarnya , telinga saya sudah biasa dengar cerita yang sama. Bukan saja mendengar, saya juga menjadi aktif sama, jika saya sudah terlalu kenal hati budi kawan bicara. 

Minggu lepas, dalam majlis nikah anak kawan saya,  cerita dan nama orang yang sama juga turut kami bicara, tetapi bicara kami lebih berfakta dan bermaklumat, bukan suka-suka kerana mahu bercerita.  

Namun, perasaan marah, meluat, muak, benci, kecewa dan segala yang duka tetap menguasai bicara, dimana saja. Isu yang sama dan nama yang itu dan geng-gengnya tidak pernah keluar dari agenda bicara.

Di dalam masjid pun, ustaz yang mengajar ilmu agama, sempat juga menyebut satu angka yang sudah menguasai dan sedia difahami oleh semua.
  

    

  

  

 
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan