Theflowersellingboy

Rabu, 22 Februari 2017

Pergerakan Yang Mesti dan Perlu Dilakukan Walaupun Kaki Masih Sakit Lagi. ..




Pergerakan saya terhad dalam sebulan dua ini. Sakit di tapak dan tumit kaki kiri. Tapi jika keadaan terlalu memerlukan, saya terpaksa juga bergerak walaupun  dalam keadaan berjalan terhengkut-hengkut sambil menahan kesakitan.

Apakah keadaan yang memerlukan?

Terlalu banyak. 

Ke bilik air membersih diri, tidak dapat dielakkan. 

Turun ke tingkat bawah untuk makan dan minum, kemudian naik keatas. 


Memuaskan pandangan mata untuk melihat satu persekitaran yang cantik dan bersih. Maka ruang dalaman rumah mesti dibersihkan dan kawasan luar rumah yang berumput dan tidak berumput wajar kelihatan menyenangkan. Ertinya rumput yang panjang mesti dimesen, pasu bunga diatur dikemas, dan pokoknya disirami air.

Dan banyak lagi.

Tetapi tidak semua keadaan yang memerlukan pergerakan itu, saya mampu lakukan ketika ini. Hanya ke bilik air saja yang setakat ini belum gagal saya lakukan.

Banyak kali saya makan diatas, dibawa oleh isteri. Kasihan dia, turun naik tangga sedangkan dia juga mengalami sakit di tempat yang sama, tapi kaki sebelah kanan. Cuma setelah mendapat suntikan prolo dua bulan yang lepas, sakitnya sudah berkurangan dan mampu berjalan seperti biasa.

Saya juga mengambil suntikan yang sama. Dua suntikan di spot tapak kaki sebelah kiri, pada dua bulan yang lepas. Tapi, agaknya masih belum diperkenankan Allah untuk pulih. Masih sakit lagi.

Dalam keadaan sakit itu, saya terus membuat kerja yang agak berat juga bagi usia setua saya ini. Mesin rumput, mop semua ruang dalaman rumah atas bawah, dan membersih longkang.

Akibatnya? Sakit ditapak kaki itu berterusan dan semakin bertambah rasa sakitnya.

Maka semalam saya terpaksa ke Kota Damansara di temani isteri dan anak, ke sebuah klinik swasta yang menawarkan rawatan prolotherapy. 

Inilah satu pergerakan yang amat jauh beratus kilometer  yang terpaksa saya lakukan, tetapi amat perlu untuk mendapat suntikan prolo sekali lagi.  Perjalanan ini menggunakan tapak kaki yang aktif juga. Nasib baik kereta jenis pandu sebelah kanan dan auto pula. Kalau tidak kaki dan tapak kaki sebelah kiri terpaksa bergerak aktif.

Saya masih yakin suntikan itu boleh memulihkan kesakitan ditapak dan tumit kaki saya itu. Ianya telah terbukti pada 6 tahun yang lepas apabila suntikan itu telah memulihkan kesakitan di tapak kaki juga tapi di spot yang berbeza.
  

Saya yang memandu kereta kerana isteri walaupun mempunyai lesen memandu yang sah dan masih hidup tidak berani lagi memandu semenjak saya bersara pada tahun 2004. Sebab dia sudah ada pemandu sendiri. Sayalah pemandunya yang dia tidak bayar gaji.

Anak perempuan tidak sanggup memandu walaupun ada lesen memandu yang sah kerana terlalu mengantuk selepas bekerja dalam tempoh masa yang panjang. 

Maklumlah dia seorang HO, doktor dalam latihan yang ketika ini sedang menjadi isu yang melibatkan sebahagian besar dari mereka diberhentikan atau brhenti kerja kerana tidak tahan dengan beban kerja yang banyak dan waktu kerja yang terlalu panjang.

Saya tidak mahu ambil risiko, meminta dia memandu dalam keadaan terlalu mengantuk. Jadi tugasnya ialah untuk menguruskan GPS, mengingatkan saya apakah jalan, dimana lorong atau simpang yang perlu diikut.

Satu hal dengan GPS ini ialah suara jurupandunya bukan suara orang tempatan. Sebab itu sebutannya tidak tepat dan betul. Puchung disebutnya Pucang, Kepung disebutnya Kepang dan banyak lagi yang boleh mengelirukan yang membuatkan kita tertanya-tanya dan memikirkan apa sebenarnya yang dikatakannya, apatah lagi sewaktu memandu. 

Jadi anak saya akan menyebutkan nama tempat yang betul. Kecuh dibuatnya walaupun kami ketawa suka dengan sebutan yang silap itu.


Dua suntikan saya ambil. Aduhhhh, terlalu sakit. Tapi sebab mahu baik, diharapkan begitulah, saya sanggup menahan kesakitan. 

Sewaktu doktor mahu mencucuk jarum ditempat yang telah ditandakan, isteri memberi kata semangat sambil mengingatkan saya agar menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan-lahan untuk mengurangkan rasa sakit. 

Dia pula yang menjadi doktor!

Pergerakan seterusnya ialah memandu balik  ke rumah?

Oh tidak, ada satu lagi yang saya mesti lakukan. Pergerakan ini kalau tidak saya lakukan,  ada hati yang akan kecewa, dan merajuk.

Beberapa hari yang lepas, boleh dikatakan setiap petang saya menerima panggilan dari Ahmad Naqib, cucu nombor dua saya yang akan menyambut hari kelahiran keenamnya pada 23 Mac yang akan datang, yang kebetulan hari ulang tahun pernikahan kami.


Dalam satu panggilan dia mengingatkan saya tentang dua perkara. Satu, meminta saya membawa buah dadu untuk bermain dam ular apabila saya ke rumahnya nanti. Dia telahpun buatkan dam ular itu. Dua, mengingatkan saya hari kelahiran adiknya Ahmad Fatih, yang ketiga.

Tapi sayang sekali, dia talipon setelah hari lahir adiknya yang jatuh pada 19 Februari, sudah berlalu.


'Belated birthday to you Ahmad Fatih!'. Saya panggil dia Fat He.



Kali ini kata Ahmad Naqib, sambutan hari lahir adiknya dibuat secara bergabung. Bergabung dengan hari lahirnya pada 23 Mac nanti. Bergabung tidak bererti sambutan 23 Mac nanti tidak akan diadakan. 23 Mac tetap ditunggu dengan setianya.


Dia mahu menyampaikan  satu mesej untuk saya dan isteri.


Katanya, ayah dah beli super man untuk Fateh. Dia pun dapat juga. Atok dan Opah dah beri hadiah untuk Fateh dan dia. Sekarang ni tengah tunggu ayah alang.


Saya tersenyum. Isteripun tersenyum apabila diberitahu. Kami sudah faham mesej sambutan hari lahir secara bergabung itu.


Kebetulan saya dan isteri mahu ke Kota Damansara bagi rawatan prolo pada hari Selasa 21 Mac, iaitu semalam. Saya beritahu Naqib bahawa saya akan datang pada hari Selasa nanti.


"Tokpa tidur ker?" Tanya Naqib.


Dia sedikit mengeluh kerana saya tidak tidur dirumahnya. Tapi ada penawar hati baginya. Hadiah untuk Fateh tetap ada. Hadiah untuk diapun ada juga sempena sambutan bergabung itu.


"Ok datang tau. Jangan tak datang", Naqib menamatkan perbualan.


Jadi selepas menerima suntikan kami ke IOI city resort untuk membeli kek untuk menyambut 'the belated hari lahir bergabung'.


Setelah mengambil Naqib dan Fateh ditadikanya di Cyber Jaya, kami terus ke Precint 11 Putra Jaya, kondo kediaman Naqib dan keluarga untuk menyambut hari lahir bergabung.


Apa yang terjadi?


Sepatutnya Fatehlah yang memainkan peranan utama, misalnya potong kek dan buat posing. Abangnya pula yang ambil alih. Tapi bukan dia yang mahu main peranan utama, Fateh adalah orang yang pemalu walaupun orang yang dia telah biasa. 


Apa lagi, tanpa dijemput Naqib mengambil tempatnya. Nasib baik ada hero yang menyelamatkan situasi dan menceriakan sambutan.


Sesungguhnya pergerakan ke Putra Jaya ini walaupun dalam keadaan kaki yang sakit, ianya berbaloi kerana menggembirakan hati cucu-cucu.  


Inilah satu dari pergerakan yang termasuk dalam senarai pergerakan yang kena saya lakukan. Sakit kaki lupakan saja.


Esok ada lagi satu pergerakan yang perlu dilakukan. Ambil ubat emak di klinik.

Waduhhhh......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan