Theflowersellingboy

Khamis, 23 Februari 2017

Kamu Bukan Budak Nakal, Tetapi Pendek Akal




 
Disebabkan sakit kaki, saya tidak dapat hadir jamuan makan malam Alumni sekolah pada tahun ini yang diadakan pada 18 Februari yang lalu.

Sayang sekali. 

Kalau tidak, boleh jumpa dengan kawan-kawan lama.  Sudah tentu seronok sekali. Macam-macam cerita lama terbongkar dan dibongkar. Baik cerita duka dimarahi cikgu dan bergaduh berebut meja di dewan makan mahupun cerita suka tentang ada kawan yang mencuri kerak nasi di dewan makan selepas tamat kelas persediaan malam.

Hahahaha seronok sekali..... terasa pula usia menjadi muda, kembali ke zaman sekolah dulu. Nostalgik sekali.

Empat tahun saya di sana, 1965 sehingga 1968. 

Saya bukan budak nakal. Tapi suka bertindak dulu, fikir kemudian. Menyesal kemudian diatas perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Pada suatu hari, waktu sarapan pagi, bersama dengan seorang kawan, yang juga suka bertindak dulu fikir kemudian, kami tidak berpuas hati makanan yang disediakan. 

"Balik-balik yang ini. Hari hari makan bubur oat dengan roti. Jemu".

Itu yang kami rungutkan. Kami tidak makan hidangan pagi pada hari itu. Tetapi kami telah meninggalkan satu nota diatas meja makan. Saya yang menulisnya. Rasa amat hebat kerana berani menulis nota seperti itu.

Walaupun nota itu tidak dituju kepada sesiapa tapi maksudnya adalah kepada tukang masak. Kami marahkan kepada tukang masak. Pada fahaman kami tukang masaklah yang bertanggungjawab menyediakan menu, bukan pihak sekolah.

Ketika itu kami berada di tingkatan 4, tingkatan paling rendah. Sekolah kami bermula dari tingkatan 4. Paling atas ialah tingkatan 6 atas.

Waktu kelas persediaan malam, sebelum memasuki kelas, kami telah dipanggil oleh Ketua Murid (Head Boy) untuk berjumpa dengannya. Kami tidak tahu mengapa kami dipanggil.

Perjumpaan diadakan dalam satu bilik mesyuarat.

Saya mendahului kawan saya memasuki bilik tersebut. Ada tiga orang prefect termasuk Head Boy sedang duduk menunggu kami.

"Oh kamu, cerpenis, buat perkara tak senonoh", seorang dari prefect itu menyambut kami dengan kata-kata itu.

Kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada saya. Kebetulan seminggu yang lepas saya telah memenangi dalam Sayembara Cerpen sekolah dengan tajuk 'DUIT HUTANG', yang telah naik kepentas menerima hadiah kemenangan.

Saya terpinga-pinga. Apa perkara yang tidak senonoh yang telah saya lakukan. Saya dan kawan saling berpandangan.

"Tengok siapa tulis ni?" Tanya Head Boy.

Ya, sah itu tulisan saya. Tapi fasal apa dia yang dapat. Saya tulis untuk dibaca oleh tukang masak agar lain kali jangan sediakan hidangan pagi  yang sama.

Saya mengaku itu tulisan saya.

"Kamu tahu, sekolah ini ada peraturan. Kalau ada yang tidak kena dengan makanan, buat laporan atau aduan kepada Jawatankuasa Makanan. Bukan tulis dan tinggalkan atas meja makan". Suara Head Boy agak tinggi. 

Saya diam. Kawan saya juga diam dan kepala tunduk ke bawah.

"Saya minta maaf. Nota itu untuk tukang masak". Saya harap maaf saya diterima.

"Woii tukang masak, kerjanya memasak apa yang disuruh masak. Menu ditetapkan oleh pihak sekolah. Faham!" Seorang yang berada di sisi kiri Head Boy bersuara tinggi.

Kami senyap sunyi, tidak berani menyatakan sesuatu. Memang salah kami.

"Kamu berdua mesti dihukum".

Aduh, kena hukum pulak. Malulah macam ni. Apatah lagi kalau dihukum diatas pentas disaksikan murid-murid yang lain. Minggu lepas, baru dapat hadiah, bisik  hati saya.

" Maafkan saya. Saya mengaku bersalah. Lain kali saya tidak akan buat lagi", saya merayu, ada sedikit sebak suara yang keluar. Tapi tidak diiringi air mata.

Head Boy menoleh kiri dan kanan pada dua orang prefect yang ada disisi. Saya kira dia mahu mendapatkan pandangan dari kedua-kedua prefect itu sebelum membuat keputusan. Tapi kedua-duanya tidak memberikan apa-apa pandangan.

Kami menunggu apakah hukuman yang akan dikenakan. Saya paling takut sekali. Saya malu untuk berhadapan dengan kawan-kawan jika dikenakan hukuman. 

"Baik. Kali ini kamu berdua dimaafkan. Lain kali jangan buat. Saya percaya kamu bukan budak nakal. Tapi pendek akal".

Habis sahaja kata-kata dari Head Boy itu saya dengan segera mendekatinya dan menghulurkan tangan bersalaman sambil mengulangi permohonan maaf. Kawan saya pun begitu juga. Ucapan terima kasih diucapkan banyak kali sebelum kami meninggalkan bilik itu.
 
Hahahahaha.....cerita  ini tidak akan berbangkit dalam perjumpaan makan malam Alumni itu, jika saya hadir pada malam itu kerana ianya memalukan. Saya tidak akan timbulkan cerita ini. 

Anda tidak mengenali saya. Jadi saya tidak kisah jika anda membacanya.


 
 

 

 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan