Theflowersellingboy

Isnin, 13 Februari 2017

Mengurus Perbezaan Pandangan.




Saya mahu bicara apa itu berbeza pandangan dan kesan dari berbeza pandangan.

Bagi saya berbeza pandangan itu ertinya mempunyai pandangan yang tidak sama dalam sesuatu hal yang sama.

Kesan berbeza pandangan itu , boleh jadi positif dan boleh juga negatif.

Menurut setengah pihak, berbeza pandangan adalah sesuatu yang perlu diraikan kerana ianya menghidangkan berbagai corak pemikiran dan penilaian keatas sesuatu perkara atau isu.

Berbeza pandangan juga boleh menghasilkan perbalahan, permusuhan dan pergaduhan kerana masing-masing pihak yang berbeza pandangan mahu memaksa pandangan atau pendapat masing-masing diterima.

Jadi perlukah kita berbeza pandangan?

Bagi saya berbeza pandangan tidak dapat dielakkan sama ada ianya menghasilkan kesan negatif atau positif. 

Cuma yang perlu ada ialah satu mekanisma yang boleh mendamaikan/mengharmonikan perbezaan itu atau mengambil pendirian sebagai pemutus dalam sesuatu hal atau isu yang menjadi perselisihan yang perlu diterima oleh pihak yang berbeza. Mekanisma itu akan berfungsi dalam mengurus perbezaan pandangan.

Mekanisma asas ialah satu mekanisma yang tidak berstruktur yang merupakan kawalan dalaman yang mesti ada pada seseorang. Ianya apa yang selalu dipanggil sebagai semangat berlapang dada dan berfikiran terbuka. 

Mekanisma ini memerlukan seseorang itu mempunyai kekuatan untuk mampu menerima kebenaran dan menerima seadanya akan keperluan berbeza pandangan walaupun kebenaran dan sikap menerima seadanya itu tidak menyebelahi pandangannya dan amat menyakitkan. Ego dan kesombongan serta ketaksuban pada sesuatu pegangan atau prinsip perlu dikorbankan.

Ianya mudah diperkatakan tapi berat untuk dipraktikkan. 

Ramai orang cenderung untuk memberi nasihat supaya seseorang itu perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menghadapi perbezaan pandangan. Tetapi apabila perbezaan pandangan itu melibatkan dirinya, tidak semudah seperti yang dicakapkan untuk diterimanya. 

Mekanisma yang lebih berkesan dalam menguruskan perbezaan pandangan ialah mekanisma yang berstruktur dalam bentuk instutusi dan perundangan/peraturan.

Misalnya institusi Mufti dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dalam bentuk fatwa. Tidak dinafikan ada kelemahan dalam hal-hal tertentu tapi melalui fatwa dari institusi mufti ini banyak perbezaan pandangan tentang atau yang berkaitan agama Islam telah dapat diuruskan dengan baik.

Seterusnya perbezaan pandangan yang diselesaikan melalui peraturan dan undang-undang negara. Perbezaan ini adalah perbezaan yang serious yang boleh menjejaskan kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara. 

Keberkesanan penyelesaian berbentuk undang-undang ini sangat bergantung kepada mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya iaitu agensi pelaksana undang-undang. 

Dan yang paling penting mestilah ujud dan diamalkan konsep pengasingan kuasa (separation of power) diantara eksekutif, kehakiman dan perundangan (parlimen). 

Jika mana-mana pihak mencampuri bidang kuasa pihak yang lain, misalnya eksekutif iaitu parti yang menjadi kerajaan mencampuri bidang kuasa kehakiman atau mencampuri diperingkat agensi pelaksana undang-undang maka penyelesaian melalui undang-undang akan tercemar. 

Bermakna undang-undang itu telah gagal berfungsi untuk menjaga kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Banyak contoh yang boleh diketengahkan tentang campur tangan ini. Cari dan fikirlah sendiri.

Kesimpulannya, perbezaan pandangan wajarlah diuruskan dengan sebaiknya walaupun sekecil mana apatah lagi perbezaan pandangan yang membawa kepada kerugian dan mengancam kepentingan  dari segi nama baik, nyawa, harta benda keselamatan dan keamanan serta ekonomi individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Wallahualam.
 
 
 
 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan