Theflowersellingboy

Jumaat, 17 Februari 2017

Mengapa HO Tidak Hadir Kerja?

Berita ramainya doktor dalam latihan (Houseman atau HO) yang berhenti kerja amat malang sekali jika ianya hal yang benar.

Setakat yang terkini 3 sebab telah diperkatakan mengapa mereka berhenti kerja iaitu:

i) Tidak hadir kerja dalam tempoh yang lama berpunca dari beban kerja dan tempoh masa kerja yang panjang yang menjadi kejutan budaya kepada mereka.

ii) Mereka disalurkan untuk menjadi doktor atas kehendak atau desakan ibubapa sedangkan mereka tidak punya minat berkerjaya sebagai seorang doktor.

iii)  Mereka tidak mendapat satu kedudukan yang sewajarnya sebagai seorang doktor dari pihak atasan seperti doktor pakar dan konsultan yang menyelia dan melatih mereka apabila diherdik dan diperlekehkan dikhalayak ramai.

Saya mahu bicara perkara (i) terlebih dahulu.

Bagi saya perkara (i) ini adalah alasan picisan, remeh dan tidak langsung ada 'weightage' . Ianya diperbesarkan oleh setengah pihak .

Ianya memperkecilkan kemampuan ibubapa dan pelajar dalam membuat pilihan bidang yang perlu diikuti demi  kerjaya masa depan. Seolah-olah ibubapa bertindak seperti diktator yang mesti dituruti oleh anaknya. Seolah-olah pelajar itu tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir apakah kursus yang terbaik sesuai dengan kemampuan mereka untuk dibuat pilihan.

Apakah perbezaan pendapat antara pelajar dan ibubapa dalam membuat pilihan kursus yang wajar diambil, dan secara kebetulan ibubapa lebih cenderung kepada kursus kedoktoran boleh disimpulkan sebagai desakan dari ibubapa?

Kalau itu dikatakan desakan, tidak ada gunanya  diadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran diantara pelajar dan ibubapa dalam cuba memilih kursus yang terbaik untuk pelajar.

Adakah pelajar itu robot  yang tidak mampu berfikir? Sungguh gila jika ada orang yang berpendapat begitu.

Oleh itu saya menolak alasan ini sebagai penyebab mengapa HO itu ponteng kerja atau tidak hadir kerja dalam tempoh yang panjang. 

Tidak berasas, tidak rasional dan tidak ada logik terutama dalam keadaan negara yang kadar pengangguran semakin meningkat termasuk dikalangan graduan. Berapa banyak graduan yang menganggur ketika ini.
 
Gilalah HO itu mensia-siakan peluang kerja yang sudah dimilikki sedangkan ramai  lagi yang masih terkial-kial untuk mendapat pekerjaan. Hanya kerana tidak minat lalu ponteng kerja. Apakah HO ini tidak mampu berfikir secara rasional?

Jika benarlah mereka tidak berminat tetapi terpaksa ikut kemahuan ibubapa, minat seseorang itu boleh berubah. Sebab itu mereka sanggup bertungkus lumus menghabiskan pelajaran tidak kurang 6 tahun (ambilan SPM) sehingga lulus dan layak menjadi doktor. 
 
Jadi logikkah mereka melakukan sesuatu (ponteng dan berhenti kerja) atas alasan tidak berminat menjadi doktor?  

Tidak sama sekali. Sebab mereka itu orang yang boleh berfikir dan bukan orang gila. 

Untuk pengetahuan bahawa ketika ini masih ramai pelajar yang telah lulus kursus kedoktoran sedang menunggu untuk ditawarkan HO. Ada yang telah menunggu hampir setahun. Sementara menunggu ada yang melakukan apa saja kerja walaupun upah rendah asalkan dapat menjana pendapatan.

Dan ketika ini juga pengambilan HO adalah atas dasar kontrak.

Ertinya betapa ruginya jika HO itu menjadikan tidak berminat menjadi doktor sebagai alasan untuk tidak datang kerja dikala mana mereka sudah ditawarkan jawatan bukan atas dasar kontrak. 

Ini bermakna bukan soal tidak berminat yang membuatkan mereka ponteng kerja. Ada sebab lain yang membuatkan mereka 'terlalu benci dan sakit hati' untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor.

Saya lihat sebab yang pertama (i) yang dinyatakan diatas  adalah terlalu besar pengaruhnya keatas HO itu sehingga sanggup membuat satu keputusan yang merugikan. Rugi kepada diri sendiri, kepada ibubapa dan seterusnya kepada negara dan rakyat.

Sia-sia belajar dan sia-sia mengeluarkan wang yang begitu besar yang akhirnya ilmu yang telah dikuasai tidak dimenfaat sepenuhnya untuk diri sendiri, untuk ibubapa dan seterusnya untuk rakyat yang sangat-sangat memerlukan perkhidmatan perbuatan yang lebih murah, mudah diperolehi dan masa menunggu rawtan yang boleh dipendekkan.

Mengenal pasti beban kerja dan tempoh bekerja yang panjang sebagai sebab HO ponteng kerja adalah tidak cukup dan tidak juga membantu jika tidak diambil tindakan dan langkah yang positif bagi mengatasi masalah HO diberhentikan kerana ponteng kerja.

Satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan keatas beban kerja yang ada termasuk tempoh waktu kerja dan kemudahan serta kelengkapan lain yang boleh menarik minat doktor yang menjalani latihan itu meneruskan kerjaya kedoktoran.

Satu aspek yang tidak juga kurang penting ialah membentuk satu jalinan hubungan yang baik diantara HO dengan pegawai kanan/atasan yang menyelia dan melatih HO ini atas dasar saling hormat menghormati. 

Bukankah doktor bekerja secara berpasukan? Mengapa perlu ditengking herdik dan dimalukan dikhalayak ramai. Bukankah ini boleh menjatuhkan moral dan semangat doktor muda itu untuk terus memberi khidmat?

Apakah doktor yang kanan itu, tiba-tiba boleh jadi pandai dan pakar tanpa dulunya mendapat latihan dan tunjuk ajar dari orang atasannya dulu. Atau adakah pihak atasannya  dulu melakukan tengking herdik dan dengan itu perlu diwarisi dan disambung dan dikenakan kepada doktor muda ini?

Adakah itu sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin? 
 
Maka semak semula beban kerja, tempoh bekerja dan kemudahan yang ada serta jalinan hubungan kerja.

Maklumat yang saya tahu beban kerja adalah  terlalu membebankan dan menyeksa sekali terutama sekali waktu kerja yang terlalu panjang sehingga menjadikan doktor itu tidak produktif dan boleh membahayakan pesakit yang dirawat kerana terlalu mengantuk dan tahap kemampuan berfikir telah menurun sehingga ketapak kaki.

Kesimpulannya adalah amat merugikan jika isu kena berhenti kerja kerana ponteng kerja dikalangan HO ini tidak diuruskan dengan cara yang lebih baik. 

Maksudnya kaji semula beban kerja, jangka masa tempoh bekerja dan kemudahan yang disediakan kepada HO seperti tempat letak kereta. Jalinan hubungan kerja diantara HO dan yang melatih dan menyelia perlu ditambahbaik kearah lebih mesra dan saling hormat menghormati.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan