Theflowersellingboy

Jumaat, 10 Februari 2017

POLITIK


POLITIK........satu perkataan yang memberi berbagai makna dan guna, positif mahupun negatif. 

Saya tidak akan menghuraikan kenyataan saya diatas kerana ianya tidak akan memberikan jawapan yang boleh digunapakai , yang boleh dipegang dan dipercayai mahupun ditolak oleh semua dalam apa pun keadaan dan ruang masa.

Politik adalah politik. Itu sahaja yang mahu saya nyatakan.

Ketika ini, di negara kita, politik menguasai setiap dari hembusan dan tarikan nafas rakyat. Ia satu petanda bahawa rakyat Malaysia masih hidup.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Tun Mahathir bisa sahaja menghulurkan tangan kepada Anwar Ibrahim, dengan selamba. Anwar Ibrahim pula yang pernah disumbatkan oleh Mahathir ke dalam penjara , menyambut dengan bersahaja salam politik Mahathir. 

Lim Kit Siang , manusia Cina DAP yang selalu dimashurkan oleh Mahathir pada suatu  ketika dulu sebagai musuh utama Melayu , yang perlu dijauhi , diiringi dengan cacian dan hinaan, sekarang bisa duduk bersebelahan bahu membahu begitu mesra sekali.

Najib Razak, orang yang dipilih oleh Mahathir untuk menggantikan Abdullah Badawi atas kepercayaan bahawa Najib boleh melakukan yang lebih baik menurut ukuran Mahathir, ketika ini sedang menjadi sasaran serangan Mahathir untuk dinyahkan kerana prestasinya tidak mencapai standard yang dimahukan Mahathir.

Sebenarnya untuk sebuah Malaysia yang selamat, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang telah lebih awal mendahului Mahathir dengan menyatakan bahawa Najib bukan orang yang boleh diharapkan untuk menjadi PM.

Sekarang Mahathir sudah akur dan bersetuju dengan musuh ketat politiknya bukan saja tentang kenyataan mengenai Najib bahkan UMNO (Baru) parti yang ditubuhkannya dulu. Najib dan UMNO, kata Mahathir, membawa bencana kepada negara.

Antara Anwar dan Lim Kit Siang, Anwar sentiasa membayangi perjalanan hidup Mahathir, baik sewaktu berjaga mahupun sewaktu tidur.

Pada hari ini Mahathir diberitakan mengadap Anwar di mahkamah, berbincang selama 45 minit, saya yakin, untuk satu matlamat menyingkirkan Najib.

Tanpa restu Anwar, Mahathir tidak mempunyai daya untuk mengenepikan Najib, apatah lagi untuk  menjatuhkan UMNO.

Ini adalah merupakan siri kedua Mahathir mengadap Anwar.

Untuk terus berbicara dan memberi kesan dihati apa yang dibicarakan,  saya perlu mengingatkan kembali, kerana kata Mahathir Melayu mudah lupa, bahawa Anwar adalah  manusia yang Mahathir kata tidak bermoral yang tidak layak menjadi PM. Jangan lupa kenyataan ini.

Bahkan seluruh ahli UMNO dan penyokong Mahathir bersetuju tanpa soal dan menggunakan akal fikiran serta pertimbangan dosa pahala, termasuk mereka yang dikatakan alim ulamak, sentiasa mengulangi ayat bahawa  Anwar adalah manusia rendah moral.

Najib pada peringkat awal memiliki kuasa, bersama dengan geng UMNOnya meneruskan 'kepercayaan rendah moral' Anwar itu, lalu bertindak dengan cara yang sama, menggunakan isu yang sama sebagai justifikasi untuk menyumbat Anwar dalam penjara.

Najib berjaya. Dan Mahathir ketika itu bersama Najib. Najib , Mahathir dan UMNO senyum bangga.
 
Masa berjalan. Mahathir telah mengesan bahawa Najib sudah melencong dari jajaran yang dikehendakinya.

Sebagai PM 22 tahun, lencongan itu amat menyakitkan hati Mahathir. 

Selepas pujuk rayu untuk kembali kepada jajaran yang dikehendakinya tidak dilayan oleh Najib, Mahathir berpatah arang berkerat rotan, bukan sahaja dengan Najib bahkan juga dengan UMNO kerana UMNO berterusan menyokong Najib walaupun UMNO sendiri , saya percaya, mempercayai apa yang Mahathir dakwa tentang Najib.

Mahathir adalah Melayu mudah lupa. Dialah yang telah mengajar ahli UMNO untuk sentiasa taat  kepada pemimpin. Dalam apapun keadaan, pimpinan mesti dipertahankan. Maka apa yang dilakukan oleh ahli UMNO ketika ini adalah taat kepada Najib sebagai pemimpin tertinggi UMNO. 

Bagi UMNO taat itu adalah taat yang diajar oleh Hang Tuah. Taat itu tidak bermaksud mempertahankan kebenaran. Taat itu adalah bagi mempertahankan institusi yang bernama UMNO supaya terus berkekalan walaupun buat seketika institusi itu diterajui oleh pemimpin yang bermasalah. 

Pemimpin boleh datang dan pergi. Institusi tempat berteduh dan bernaung, mesti dipertahankan.

Apabila nanti Najib tidak menjadi presiden UMNO/PM, sedikit silap yang dilakukan oleh Najib akan diulang sebut dan dikatakan telah melakukan kesalahan besar dan perlu dihukum. 

Samalah dengan Mahathir yang bukan lagi presiden UMNO. Habis kisah-kisah lama mahu dibangkitkan oleh ahli UMNO. Bahkan ada yang mengeluarkan kata-kata bahawa Mahathir perlu dihadapkan ke mahkamah.

Sekarang Mahathir bersama Lim Kit Siang bekerja keras untuk menjatuhkan Najib dan UMNO. Gabungan dua tenaga yang bermusuh bertukar menjadi kawan ini, tidak cukup untuk menjatuhkan Najib.

Anwar Ibrahim adalah tenaga yang sebenarnya yang jika digabungkan bersama dengan Mahathir dan Lim Kit Siang, Najib sudah pasti pada kepercayaan umum akan merengkok dalam penjara.

Mahathir menyedari perkara ini. Sebab itu dua kali mengadap banduan Sg. Buluh yang pada suatu ketika dulu beliau sumbatkan ke dalam penjara.

Bayangkan seorang bekas PM 22 tahun sanggup mengadap seorang banduan rendah moral. Bukan sekali tapi dua kali. Mungkin berterusan.

Mengadap adalah perkataan yang hanya sesuai bagi tujuan mendapat persetujuan atau arahan yang hanya dilakukan oleh orang bawahan terhadap orang atasan.

Tapi mengadap seorang banduan oleh bekas PM adalah satu perkara luar biasa dalam pengertian dan kamus mana-mana sistem sosial.

Mahathir sanggup melakukannya.  Anwar pula memperkenankannya . Lim Kit Siang turut menyokong.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Bagaimana caranya? 

Bebaskan Anwar terlebih dulu!

Itulah Politik.
 
 

 












Tiada ulasan:

Catat Ulasan