Theflowersellingboy

Khamis, 21 Julai 2016

Tembelang Telah Pecah. Busuknya Macam Telur Tembelang. Aku Tidak Boleh Temberang Lagi.




Kilat  pancar memancar menerangi kegelapan. Cahayanya menembusi langsir tebal bilikku. Guruh dan petir berdentam dentum. 

Satu dentuman amat kuat sekali seolah-olah pencahayaan kilat telah membantu petir itu melihat sasaran. 

Siapakah gerangan yang kena panahan petir itu. Sudah tentu terbakar, menjadi hitam. Jika bernyawa, melayanglah nyawanya. Tidak mungkin boleh hidup kerana dentuman itu amat kuat sekali. Lebih kuat dari bunyi bom C4. 

Berkecai satu fizikal, bertaburan menjadi cebisan-cebisan kecil yang tidak mudah disatukan kembali.

Akukah itu?

Tangan kananku meraba-raba kepala, turun ke muka, leher, dada , perut dan kaki. 

Aku menarik nafas panjang, anggota badanku masih ada dalam binaan sedia kala. Solid. Tidak berpisah. Tidak berkecai.

Ya Allah hindarkan aku dari panahan petirmu itu. 

A'uzubillah hi minasysyaitonirrajim. Ya Allah aku berlindung dari syaitam yang di rejam.

Begitulah pesan emakku setiap kali  melihat kilat memancar menerangi alam dan petir sabung menyabung. Ada syaitan yang hendak dipanah oleh petir itu, katanya. Jauhkan kita dari syaitan dengan membaca ayat itu.

Sesungguhnya aku bersyukur kerana aku masih hidup.  Syaitan tidak ada berdekatan dengan aku. 

Tiba-tiba aku lihat dua lembaga berjalan menghampiri ke katil tempat baringanku. Satu darinya memberi salam. Aku tidak menjawab. Mulutku seperti terkunci rapat. 

Macam mana mereka ini boleh masuk dalam bilikku. Siapa yang buka pintu. Macam mana mereka boleh melepasi pintu utama rumahku sedangkan pintu itu dilapiskan dengan jeriji besi. 

Mereka pecahkan? Mereka potong jeriji besi?
Tidak mungkin. Loceng keselamatan rumahku senyap sunyi.
Sekali lagi salam diberi. Kali ini dari yang satu lagi.

Wa'alaikum salam.

Aku bangkit dari baringanku dan menghulurkan tangan bersalaman dengan kedua-dua tetamu yang tidak dijemput itu.

"Malaikat". "Malaikat".

Tiap-tiap satunya memperkenalkan diri sebaik saja menyambut tanganku.

Apa salahku. Sudah sampai masa.... Fizikalku yang solid menggeletar, semakin lembik tidak berdaya.

"Kami bukan malaikat pengambil nyawa. Kami cuma mahu berbicara dengan anda. Ada juga soalan yang kami akan tanya". Lembaga yang paling dekat memberitahu.

Perlahan-lahan semangatku pulih.  

Apa pula yang hendak dibicarakan. Apa tujuannya. Mengapa aku yang dipilih.

Aku lihat  satu dari malaikat itu meminta sesuatu dari malaikat yang satu lagi sambil menadah tapak tangan kanannya. Kelihatan seperti sebutir telur diletakkan ke atas tapak tangan yang sedia menadah.

"Anda tahu apa ini?", Malaikat itu bertanya, bergerak sedikit, mengurangkan lagi jarak antara kami.  

Apa bodohnya malaikat ini. Hari-hari aku makan telur. Mana mungkin aku tidak kenal benda yang ada ditapak tangannya. Tapi kalau ada hadiah yang ditawarkan, mahu juga aku menjawab.

"Lihat betul-betul. Apa benda ini", Malaikat itu mahu aku lebih teliti sebelum menjawab soalannya. Aku bertambah geli hati.

"Ada hadiah kah jika saya beri jawapan yang betul?" Aku sudah berani bergurau.

Malaikat itu saling pandang memandang. Kemudian  kedua-duanya mengangguk-angguk kepala. Ada benda yang mereka bersetuju tentang aku.

"Anda sukakan hadiah. Setiap sesuatu mesti diiringi dengan hadiah"? 

Aku tidak menjawab tetapi tersengih. Ada sedikit rasa malu.

Aku beritahu benda ditangan malaikat itu adalah sebiji telur. Kedua-dua malaikat itu serentak bersuara mengucapkan tahniah kerana aku dikatakan seorang yang bercakap benar.

"Anda bercakap benar. Boleh dipercayai", seorang dari malaikat itu menepuk bahu kananku.

"Bagaimana isi didalamnya"?

Soalan merepek. Manalah aku tahu. Aku bukan tok nujum. Aku menggelengkan kepala. Sekali lagi aku diberikan ucapan tahniah kerana bercakap benar.

"Macam mana nak tahu?"

Apalah bodoh punya soalan. Pecahkanlah. Kopek kulitnya.

"Anda tidak tahu caranya?" Mereka ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah merasa hairan kerana aku tidak tahu caranya.

Egoku tercabar. Dia tidak tahu siapa aku. Mahu masuk penjara gamaknya.

Malaikat itu memberikan telur itu kapada aku dan meminta aku menghempas telur itu ke lantai. 

Telur telah berada ditanganku. Tapi aku tidak mahu ikut arahan malaikat itu. Telur itu tidak  perlu dihempas untuk tahu keadaan didalamnya. Kopek saja kulitnya. Aku ingat malaikat pandai, rupanya bodoh.

"Hempas. Hempas telur itu ke lantai", berebut-rebut kedua-dua malaikat itu memberi arahan.

"Anda akan mendapat hadiah. Segera lakukan", mereka menguja aku melakukannya.

"Hadiah? Apa hadiahnya".

 "Kami akan laporkan kepada malaikat pengambil nyawa tentang kejujuran anda. Dan kami perakukan agar nyawa anda dipanjangkan lagi".

Aku hempaskan telur itu ke lantai. 

Aduhhhh busuuuuknya. Telur tembelang.

"Bang bang , abang mengigau " isteri ku menepuk-nepuk bahuku. "Mana ada telur tembelang. Tak ada bau busuk pun".

Aku beristighfar.

Aku duduk termenong cuba mengingat kembali mimpiku itu.
Benarkah dua lembaga itu malaikat? Mengapa  berikan telur tembelang padaku. Mengapa di suruh aku menghempasnya?

Adakah tembelang aku telah pecah? Bau busuk menusuk setiap lubang hidung?

Bukankah malaikat itu kata aku bercakap benar?

Entah-entah aku bermimpi bersama syaitan. Aduh habislah aku. Tembelang telah pecah. Busuknya macam telur tembelang. Aku tidak boleh temberang lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan