Theflowersellingboy

Jumaat, 15 Julai 2016

Penubuhan Parti Politik Oleh Tun Mahathir: Adakah Ianya Satu Perjuangan atau Dendam Kesumat?




Menurut satu berita, Dr. Mahathir bersama mereka yang mahukan Najib turun telah menubuhkan satu parti politik yang namanya masih lagi belum diistiharkan. Parti politik ini akan bersama-sama dan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dalam PH (PKR, DAP dan Amanah) menentang UMNO/BN dalam PRU 14 nanti. PAS tidak termasuk dalam kerjasama ini.
 
Sesungguhnya kekalahan pembangkang (PH dan PAS) di 2 kawasan parlimen dalam PRK baru-baru ini tidak langsung mengendurkan azam dan niat Mahathir untuk mengalahkan UMNO/BN sekaligus dapat menjatuhkan Najib. 
 
Mahathir semakin bersemangat. Selagi Najib belum dapat dijatuhkan, saya percaya, selagi itu semangatnya marak membara. Kental sungguh hati bekas PM ini walaupun usia telah mencapai 90an. 

Satu pertanyaan: Mengapa Mahathir dan geng mahu tubuh parti bagi menentang dan seterusnya mengharapkan agar UMNO/BN khususnya Najib dikalahkan?
 
Ianya satu dendam!

Itu adalah kenyataan dan jawapan musuh politik yang tidak bersetuju dengan Mahathir. Macam-macam perkataan dan istilah negatif dilekatkan kepada usaha dan tindakan bekas PM ini. 
 
Namun begitu, sifat dendam mendendami bukan perkara asing bagi orang politik yang mahukan kuasa dan pengaruh. Lawan mesti dijatuhkan. Perasaan dendam itu adalah rangsangan terbaik bagi menjatuhkan lawan.
 
Bagi orang politik dendam adalah satu kemestian untuk kelangsungan kewujudan mereka (untuk ada kuasa dan pengaruh, dan mendapat faedah  ekonomi dari kuasa dan pengaruh itu). 
 
Dalam pengertian politik, dendam bukan satu perkara yang salah. 
 
Mereka berdendam ketika bermusuh. Dendam itu bisa saja dilupakan apabila mereka bersetuju menjadi kawan bagi mencapai maksud yang sama.
 
Mahathir adalah contoh yang jelas tanpa perlu bersuluh. Semua orang tahu Lim Kit Siang adalah musuh ketat Mahathir, musuh politik yang amat Mahathir tidak suka. 
 
-Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang memusuhi Melayu dan Islam. Lim Kit Siang memecahkan perpaduan rakyat. Ringkasnya Lim Kit Siang adalah orang jahat.  Sebab itu Lim Kit Siang perlu dipenjarakan dibawah ISA.
 
Itulah sikap dan apa yang diberitahu oleh Mahathir kepada rakyat tentang Lim Kit Siang.
 
Sama juga dengan sikap dan kata-kata Lim Kit Siang terhadap Mahathir. 
 
-Mahathir adalah diktator. Zalim. Salah guna kuasa. Terlibat dalam banyak skendal kewangan. Ringkasnya Mahathir perlu dibawa ke mahkamah untuk pengadilan  jika pembangkang (dulunya PR menang dalam PRU 13).
 
Begitu juga dengan sebahagian besar kepimpinan PKR, Amanah dan DAP. Mahathir memusuhi mereka dan mereka juga tidak suka Mahathir yang mereka kata sebagai zalim , diktator, salah guna kuasa dan merosakkan kewangan negara. 
 
Tanyalah Mat Sabu. Dia akan beritahu dengan lebih terperinci lagi tentang Mahathir yang dia amat benci.
 
Sekarang Lim Kit Siang, Mat Sabu dan beberapa kepimpinan dalam PKR telah hadir bersama Mahathir dan geng dalam penubuhan parti baru mahathir itu. Mereka sudah jadi kawan ke arah yang sama iaitu bagi menjatuhkan Najib.
 
Jadi kesimpulan pertama ialah bahawa penubuhan parti Mahathir itu adalah atas dasar untuk menjatuhkan Najib dan UMNO/BN.  Perasaan dendan tidak boleh diketepikan bagi mencapai matlamat mereka itu.
 
Mahathir bersama dengan musuh yang sudah jadi kawannya itu mungkin tidak bersetuju. Bagi mereka tujuan utama ialah bagi menyelamatkan malaysia. 
 
Bagi Mahathir, Najib telah melakukan kerosakan yang amat besar kepada Malaysia. Dan jika Najib dibiarkan terus berkuasa, UMNO/BN akan kalah dalam PRU 14. UMNO perlu diselamatkan. UMNO kalah Malaysia dalam bahaya (sebenarnya  Mahathir dan yang bersekutu dengannya dalam keadaan bahaya untuk didakwa). Malaysia  akan hancur.
 
Bagi kepimpinan PH pula (kawan baru Mahathir), mereka bersetuju Najib perlu diturunkan secara demokratik. Najib jatuh bermakna UMNO/BN akan tersungkur. UMNO/BN tersungkur, Malaysia dapat diselamatkan.

Jelas bahawa pendekatan Mahathir dan PH berbeza walaupun nampak sama. 
 
Matlamat Mahathir ialah untuk menjatuhkan Najib. Najib jatuh, Mahathir percaya UMNO dapat diselamatkan. UMNO terselamat, Mahathir dan yang bersekutu dengannya akan terselamat dari menghadapi dakwaan dan perbicaraan.

PH bersetuju Najib dijatuhkan. Itu adalah arah perjalanan PH untuk menuju ke satu matlamat iaitu sebuah Malaysia yang selamat dari kerosakan yang dilakukan oleh Najib dan UMNO/BN.
 
Untuk mencapai matlamat masing-masing, Mahathir dan PH perlu berkawan untuk menghadapi musuh yang sama. Mahathir mahu lunaskan dendam dengan  Najib bukan dengan UMNO. Dan PH mahu melunaskan dendam dengan Najib, UMNO/BN dan sekaligus dengan Mahathir juga.
 
Kesimpulan kedua yang menggerakkan Mahathir menubuhkan parti baru, dan mendapat sokongan dari PH adalah bagi mengumpulkan segala kekuatan politik kerana Najib dan UMNO/BN masih lagi dilihat terlalu kuat untuk ditumbangkan. 2 PRK yang baru berlalu seolah-olah memberitahu Mahathir dan PH bahawa Najib dan UMNO/BN masih kuat.
 
Sebab itu Mahathir dan PH saling bergantungan walaupun matlamat akhir mereka tidak sama.

Ertinya penubuhan parti baru Mahathir ini adalah atas dasar dendam. Untuk melunaskan dendam ini Mahathir perlu kekuatan politik. Hanya dengan bersama PH , Mahathir percaya Najib boleh dikalahkan dan UMNO dapat diselamatkan.
 
Ditakdirkan Mahathir dan PH menang pada PRU 14, sebuah kerajaan baru tidak mudah ditubuhkan kerana mereka mempunyai matlamat yang berbeza. Besar kemungkinan parti Mahathir akan berpisah dengan PH dan memilih masuk UMNO semula kerana Najib sudah pasti mempunyai moral yang rendah untuk memimpin UMNO bahkan sokongan merudum teruk. 
 
Apabila bersama dengan UMNO/BN semula dan jika mempunyai jumlah kerusi yang minima bagi melayakkan penubuhan sebuah kerajaan, Mahathir akan berbuat demikian. Tinggallah PH terkontang kanting, kerana musuh dulu yang menjadi kawan menjadi musuh semula. Sudah tentu PH akan menerima realiti politik dengan dada terbuka.
 
Kalau berlakulah seperti yang diperkatakan diatas, Mahathir mengamalkan real politik. Hakikat sebenar politik adalah begitu. 
 
Perjuangan hanya kata-kata untuk menggamit sokongan kerana  ia mudah dimengertikan sebagai satu pembelaan. Tetapi perjuangan politik menzahirkan permusuhan kerana ada kuasa dan pengaruh yang perlu dimiliki secara rebutan atas nama demokrasi. 
 
Maka dendam kesumat tidak boleh diketepikan dalam perjuangan politik.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan