Theflowersellingboy

Selasa, 26 Julai 2016

Mengapa Kita Beraya Di Kampong




Kenapa hari raya orang perantauan, misalnya yang duduk dan bekerja di Kuala Lumpur balik kampong? Apa yang menariknya di kampong. 

Siapa yang dirindui sehingga ada yang tidak sabar-sabar dengan melakukan berbagai kesalahan jalan raya seperti memandu kenderaan dengan laju melebihi dari had yang ditetapkan, memotong kenderaan lain ikut suka hati dan menggunakan lorong kecemasan. Berlagak samsing jalan raya untuk beraya di kampong.

Sebenarnya tiada apa pun yang menarik di kampong. Nostalgia? Mengembalikan kenangan lama? 

Lupakan saja. Banyak yang telah berubah. Dalam perjalanan dan kampong itu sendiri, banyak yang telah berubah.

Susah hendak cari pohon-pohon dan hutan-hutan atau sawah padi yang menghijau di sepanjang kiri kanan perjalanan menuju ke kampong. Hilang lenyap wajah kampong yang lama. Bukit dan gunung banyak yang telah botak, digondolkan oleh manusia. Takkan gajah dan harimau yang menggondolkannya?

Jadi mengapa gila-gila sangat nak beraya di kampong? Bukankah sekarang ini perjalanan balik kampong melibatkan kos yang tinggi, membebankan. Bukankah beban sara hidup tinggi ini yang selalu menjadi rungutan harian kita.

Harga minyak petrol/diesel mahal. Tol mahal. Lagi jauh perjalanan, banyak laluan tol yang terpaksa dilalui, bertambah beban lagi. GST pun terpaksa dibayar , menaikkan lagi harga barang seperti  pakaian  dan makanan. 

Senggaraan kereta sebelum balik hari raya seperti menukar minyak pelincir, menentukan brek berfungsi dengan baik, tayar yang selamat dan sebagainya perlu dilakukan walaupun termasuk GST yang menyakitkan hati itu. Gunakan wang lagi.

Tidak seronok rasanya balik kampong dengan tangan kosong. Sejenis dua kueh muih, biskut dan yang sejenis perlu juga dibawa sama. Kos lagi. 

Tidak cukup dengan buah tangan tersebut. Kita bersalaman, jangan lupa duit raya dalam envelop yang perlu juga mengiringi salam kita, walaupun tidak semua. 

Memanglah duit raya itu kita beri dengan ikhlas. Itu bukan soalnya. Soalnya kos yang bertambah apabila kita balik beraya di kampong.

Satu lagi, sekarang ini duit raya tidak main seringgit dua ringgit. Minima 5 ringgit. Itupun , kedengaran rungutan, 'alaaa lima ringgit jer' atau 'ingatkan merah, ijau jer'. Kata-kata itu dikeluarkan dihadapan kita. Tiada siapa yang mengajar begitu. Kos sara hidup yang semakin meningkat yang mengajar mereka. Apalah sangat nilai 5 ringgit ketika ini.

Tersipu-sipulah kita antara marah, ketawa dan kecil hati. 

Balik kampong, kosnya begitu tinggi. Kos dalam bentuk wang dan kos perasaan.

Jika suami isteri berlainan negeri, seorang dari nun selatan Johor dan seorang lagi nun di Perlis bersempadankan Thailand, yang telah ada persetujuan untuk beraya bergilir, 'tahun ini rumah you dulu, lepas tu balik rumah I' dan 'tahun depan sebaliknya' bukankah parah jadinya. .

Begitu 'menyiksakan'. Tapi kampong tetap menjadi pilihan untuk beraya. Mengapa?

Adakah beraya di kampong bertujuan untuk berjumpa saudara mara seperti adik beradik, bapa dan emak saudara, anak saudara dan kawan lama?

Saya tidak yakin, itu sebabnya. Sebab mereka itu tidak mungkin boleh menjadi daya penarik untuk balik ke kampong.
Yang menjadi daya penarik ialah kedua ibubapa kita. Tiada mereka kita tidak akan balik beraya di kampong.

Saya pernah bertanya seseorang fasal apa tidak balik kampong. Jawabnya mudah saja, 'tiada sesiapa di kampong'.

Saya tanya lagi, bagaimana dengan adik beradik yang lain , emak atau bapa saudara? Jawabnya, masih ada di kampong, tapi emak dan bapa tidak ada, tak seronok balik kampong.

Dengan hal yang demikian, sekarang ini kita mesti bersedia menerima kenyataan bahawa ikatan kekeluargaan kita misalnya diantara adik beradik, anak dan bapa/emak saudara apatah lagi pupuan semakin longgar menuju kearah pupus.

Jangan merasa kecil hati jika adik beradik tidak berkunjung ke rumah kita sebab kitapun merasa  malas untuk berkunjung ke rumah mereka melainkan jika ibubapa ada bersama.

Begitu hebatnya daya penarik ibubapa, penyatu persaudaraan yang tidak mungkin pupus selagi mereka ada. Kos sara hidup yang tinggi juga tidak berdaya menjadi penghalang untuk kita beraya bersama walaupun kita datang dari beribu batu jarak jauhnya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan