Theflowersellingboy

Rabu, 20 Julai 2016

Merepek, Jalan Keluar Saya Pada Hari Ini.




Pada suatu ketika
 dulu, kini dan yang dihadapan
 
Masa kecil-kecil dulu jika ada gambar merakamnya dan gambar terkini jika disaingkan, sedarlah kita  bahawa perjalanan sudah begitu jauh. Namun perasaan masih mengatakan bahawa baru semalam jarak jauhnya.
 
Hari ini kita menuju ke hadapan yang kita tidak tahu jarak jauh perjalanan kita itu. Tidak ada gambar masa depan yang bisa kita saingkan bagi mengukur jarak perjalanan kita itu.

Tetapi kita tetap kita. Saya tetap saya. Kamu tetap kamu. Membawa jasad yang sama pada ketika-ketika yang berbeza itu -dulu, kini dan masa hadapan. 

Masa dalam kubur? Jasad yang sama juga berhadapan dengan malaikat. Aduh sakitnya, tanggunglah sendiri. Seronoknya, tidak wajib berkongsi.
 
Hahahahahaha .... saya merepek nampaknya. Entah apa-apa yang saya cakapkan. Apa tujuannya. Apa mesejnya. Apa moral ceritanya. Apa kena mengena jasad dan masa sehingga saya kata saya tetap saya, kamu tetap kamu, dan kita tetap kita -pada ketika yang berbeza.
 
Kalau sakit tanggung sendiri. Kalau seronok, syok sendiri.
 
Saya sendiri tidak faham. 
 
Tapi merepek paling menyeronokkan. Ianya jalan keluar yang saya pilih hari ini kerana ianya bersifat bebas tanpa sempadan, tiada hujung dan pangkal, tidak ada format, garis panduan mahupun peraturan, etika, intonasi suara bisa pilih apa saja menurut rasa dan selera -mahu menjerit, silakan. Tidak perlu pilih tajuk, kata-kata. Katalah ikut suka,  jalan cerita, berbelit-belit pun tidak mengapa. 
 
Merepek tidak ambil kira fasal markah dan gred yang diberikan - 100 atau A, cemerlang atau gagal tidak pernah wujud dalam pertimbangan orang yang merepek. Penilaian seperti itu bukan menjadi idaman. Tidak seperti berbicara dalam sebuah syarahan, debat, memberi jawapan semasa temuduga -gred cemerlang jadi idaman.
 
Namun begitu mereka yang anti merepek, yang masih terkongkong dengan berbagai peraturan dan garis panduan, terus berdegil, memaksakan (force) suatu gred dihadiahkan keatas orang yang merepek dan berterusan merepek ini  sebagai kayu ukur tahap kesihatan otak orang seperti itu.
 
"GILA", adalah sesuai untuk kamu wahai orang yang suka merepek.
 
Harap-harap saya tidak terperangkap dengan jalan keluar ini. Harap-harap pada akhirnya saya akan dihujani dengan idea-idea yang melempah seperti air hujan menuruni bukit dari hutan rimba yang telah dibotak licinkan. Begitu deras sekali. 
 
Saya kebanjiran idea, akhirnya nanti. Alangkah seronoknya nanti kerana saya telah dapat keluar dari jalan buntu, buntu idea.
 
Dan saya bukan orang 'GILA'.
 

 
 
  
 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan