Theflowersellingboy

Selasa, 12 Julai 2016

Meraikan Hari Raya Jangan Lupa Usia Yang Bertambah




Hari raya, hari bergembira dan ramai yang ceria suka. Yang duka pun sudah tentu ada.

Apa pun yang kita rasa, suka mahupun duka, kita perlu terima hakikat bahawa kita bertambah usia. Banyak yang turut berubah bersama dengan usia yang bertambah itu. 

Status bujang dan dara berubah bila berumahtangga. Apabila dikurniakan cahaya mata, jadilah kita sang ayah, bapa, papa, daddy dan ibu, mum, mummy atau apa saja sebutan yang kita pilih sebagai tanda satu perubahan peranan dan tambahan tanggungjawab. 

Seterusnya dengan limpah kurnia Allah, bilangan anak-anak bertambah, dan membesar. Hari raya disambut dengan rasa yang serupa juga -ada yang gembira ada yang berduka. Banyak juga yang turut sama berubah.

Kemudian, anak yang sudah remaja mendirikan rumah tangga untuk memasukki fasa dewasa. Kita berbesan dan anak bermertua. Kita bercucu kerana anak sudah mula menimang cahaya mata.

Sambutan hari raya semakin bertambah bilangan ahli keluarga. 

Maka pada hari raya itu, terdengarlah panggilan tokpa, grandpa, atuk, nenek, wan, opah menurut pilihan kita sendiri.  
 
Banyak yang turut berubah juga.

Usia sudah pasti.

Wajah...waduh......

-berdiri di hadapan cermin, bersendirian dan renungkanlah dengan penuh perasaan dan keinsafan. Bersoleklah sehebat mana, dari apa sahaja serbuk dan cecair dari apa saja jenama termasuk yang mahal, yang putih lagi memutihkan, cermin akan menceritakan wajah kita.

Cermin, walaupun tidak bernyawa adalah objek yang takut buat dosa. Cermin tidak pandai berbohong. Cermin bukanlah satu emdibi.

Wah wajah yang pada raya sebelumnya , sebelum dari sebelumnya, dulu dari sebelum, yang dulu-dulunya, semasa kecil waktu ketika pandai bertateh, kemudian berjalan dan berlari -yang tegang, licin beserta rambut yang tumbuh melebat menutupi bukan saja tempurung kepala bahkan kedua telinga dan mencecah mata sudah berubah pada raya kali ini. 

Itu yang diberitahu oleh cermin. Cermin beritahu, 'wajah kamu sudah kereput'. 

Lihat kepala, rambut sudah memutih, botak semakin meluas bukan tanda sebagai professor tapi sudah tua.

Walaupun kita tahu mata semakin hari semakin kelabu tapi itu masih belum cukup. Berdiri dan lihat dalam cermin. Bulu kening mata, sudah memutih. Tidak selebat semasa raya yang lepas, raya sebelum yang lepas, raya sebelum yang dulu-dulu.

Ada misai, ada janggut? Terimalah hakikat ianya sudah tiada pilihan warna melainkan yang putih saja.

Dahi? Garis-garis kerutnya semakin jelas dan bertambah.

Pipi, dagu, dua bibir mulut? Tidak selembut dan sebasah dulu. Pipi jadi kering kontang dan kesat yang menjadi sebab cucu-cucu mengelak dari menciumnya. Tapi kerana hari raya agaknya, ditambah jika ada duit raya, maka menjadi terpaksa cucu menciumnya. Itupun nipis ciumannya, tidak lama.

Buka mulut luas-luas. Nampak gigi? Kalau adapun ianya gigi palsu.

Itulah erti sambutan hari raya. Kita suka dan ceria. Ada juga kita yang berduka. Dan kita jangan lupa sama ada kita bersuka ria atau berduka, banyak benda yang turut berubah. 

Tenaga fizikal semakin menurun. Binaan anggota badan semakin   mengendur dan mengecil. 

Cermin memberitahu bahawa wajah kita jika ianya satu objek pasaran, nilai sahamnya semakin menurun. 

Bilangan sahabat semakin berkurangan kerana kita sibuk dengan anak cucu kita beraya bersama sehingga kita jadi malas untuk mengunjungi kaum keluarga dan sahabat-sahabat yang lain, yang juga malas dan tidak ada waktu untuk mengunjungi kita kerana asyik dengan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Dalam keseronokan dan kedukaan itu, kita biasanya terlupa untuk memasukkan usia sebagai satu agenda sambutan hari raya. 

Sesungguhnya kita zalim terhadap diri sendiri kerana melupakan usia yang boleh mengingatkan kita bahawa perjalanan kita semakin mendekati stesyen terakhir. 

Kita perlu satu senarai semak tentang perjalanan kehidupan kita- apa yang perlu kita lakukan dan apa yang perlu kita ketepikan. Dan jika senarai itu masih belum disediakan maka wajar segera disediakan, dan jika sudah disediakan, hendaklah disemak dan diperkemaskan untuk memastikan ianya boleh digunakan secara yang berkesan dan bermenfaat demi  kita sendiri agar diperhentian akhir itu kita disambut dengan penuh mesra, dan kita boleh senyum dan suka serta gembira seperti kita menyambut hari raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan