Theflowersellingboy

Selasa, 19 Julai 2016

Jalan Keluar Yang Memerangkap Diri




Anda pernah buntu fikiran atau sesat jalan yang menghalang anda untuk sampai ke destinasi? Jika begitu, anda perlukan jalan keluar. Anda perlu mencari cara atau kaedah untuk keluar dari kebuntuan itu atau  mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi yang mahu dituju.
 
Ya, anda perlu jalan keluar.
 
Tapi, awas berhati-hati memilih jalan keluar. Salah pilih, jalan keluar itu akan memerangkap diri anda yang akhirnya akan menambahkan lagi kebuntuan yang anda mahu berlepas diri atau terus sesat barat.
 
Ada banyak jalan keluar. Oleh itu anda mesti pandai pilih jalan keluar yang selamat dan menguntungkan anda dalam jangka panjang. 
 
Untuk memilih jalan keluar yang selamat dan menguntungkan, anda mesti bertindak rasional dan elakkan emosi memandu pertimbangan anda.
 
Jalan keluar yang tidak selamat dan boleh merosakkan juga banyak. Tiga yang selalu menjadi pilihan adalah seperti berikut:
 
i) menuding jari menyalahkan pihak lain
 
ii) mengada-adakan/merekayasa sesuatu hal atau keadaan 
 
iii) menimbulkan perasaan takut dan tidak selamat
 
Apabila adanya sesuatu masalah atau kesilapan, kelemahan atau kalah dalam sesuatu lapangan, persaingan dan sebagainya, jalan keluar yang (i) itu selalu menjadi pilihan. Misalnya anda gagal dalam peperiksaan sedangkan ibubapa anda mahu anda lulus dengan cemerlang. Anda menjadi buntu bagaimana untuk berhadapan dengan kedua ibubapa bagi menyampaikan berita kegagalan anda itu.
 
Anda ada dua pilihan, pertama menerima kegagalan itu disebabkan kesilapan anda sendiri kerana tidak belajar bersungguh-sungguh atau kedua, menyalahkan guru yang mengajar.
 
Biasanya kita lebih suka memilih untuk menyalahkan orang lain dan bukan pada diri sendiri bagi melepas diri diatas kesalahan sendiri.
 
Cara ini jika terus digunakan, ianya akan memerangkap diri sendiri. Kita membina satu sikap dan sifat yang tidak akan dapat membantu kita untuk memperbaiki kelemahan sendiri.
 
Jika sebahagian besar masyarakat juga memilih jalan keluar yang suka menuding jari ini, kesan buruknya sudah tentu lebih teruk dan merosakkan masyarakat itu sendiri.
 
Contoh: 
 
(i) Orang Melayu tidak berjaya dalam perniagaan adalah disebabkan oleh sabotaj dari masyarakat bukan Melayu khususnya orang Cina. 
 
(ii) Kelemahan ekonomi orang Islam kerana sabotaj orang Yahudi.
 
Sabotaj dalam perniagaan atau apa saja bidang memang tidak boleh dinafikan. Sesama adik beradik pun ianya boleh berlaku apatah lagi yang tiada kaitan hubungan dan yang menjadi pesaing ketat.
 
Tetapi jika kita begitu obses dan fokus kepada mencari faktor luar yang menjadi punca kegagalan kita , sudah tentu kita tidak mampu berfikir secara rasional kerana emosi telah mempengaruhi pemikiran kita.  Akibatnya kita tidak pernah nampak atau mahu melihat kelemahan sendiri.
 
Paling malang sekali jika jalan keluar-jalan keluar  diatas digunakan oleh pihak yang ada kuasa bagi menutup kelemahan dan kedurjanaan dan pecah amanah yang mereka lakukan demi untuk memiliki kuasa dan kekal berkuasa.
 
Jika atas nama bangsa dan agama kita terlalu beremosi dan tidak rasional dalam membuat pertimbangan, mereka yang ada kuasa akan menggunakan jalan keluar tersebut bagi melepas diri dari mengambil tanggungjawab diatas kedurjanaan yang mereka lakukan.

Dalam jangka panjang, jalan keluar itu sebenarnya telah memerangkap kita untuk menjadi bangsa yang gagal kerana (i) kita tidak pernah mahu lihat kelemahan kita sendiri untuk diatasi, kerana (ii) kita sentiasa dihantui perasaan tidak selamat dan dengan itu sentiasa bergantung harap dan pertolongan yang boleh membantutkan daya kreativiti dan potensi diri kerana (iii) kita sentiasa mahu mencari alasan-alasan bagi menjustifikasikan kesalahan dan kelemahan mereka yang menjadi pemimpin kita.
 
Kitalah yang sebenarnya memilih jalan keluar yang memerangkap diri sendiri. 

 
 
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan