Theflowersellingboy

Selasa, 5 Julai 2016

Semasa Hidup Di Bumi Lakukan Yang Terbaik dan Sentiasa Bertaqwa Ke Hadrat Allah SWT.




Hari ini , hari terakhir kita melaksanakan ibadah puasa 1437 Hijrah, 30 Ramadhan bersamaan 5 Julai 2016. Kita memohon kepada Allah SWT semoga kita diberikan peluang untuk terus dapat melakukan ibadah yang sama pada Ramadhan akan datang. Terlalu banyak menfaat yang dikurniakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini.
 
Sudah tentu kita mengharapkan puasa kita tahun ini diterima Allah, dan jika ada cacat dan cela kita memohon keampunan dari yang maha berkuasa.
 
Pada kesempatan hari terakhir Ramadhan tahun 1437 Hijriah ini, saya paparkan dua ayat al-Quran dari Surah Al-'Ikraf untuk renungan bersama iaitu ayat 25, dan 26  berkaitan dengan kisah Adam 'alaihissalam dan Hawa, dan Syaitan yang telah memperdayakan Adam dan Hawa memakan buah yang dilarang Allah di dalam syurga. Akibatnya Adam, Hawa dan Syaitan diminta oleh Allah turun (keluar dari syurga) ke bumi.
 
Ayat 25, maksudnya, "Allah berfirman lagi, di bumi itu kamu hidup, dan disitu juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan pada hari kiamat)"
 
Bumi ini adalah limpah kurnia Allah yang tidak terhingga nilainya kepada hambanya. Maka berbuat baiklah semasa kita hidup dibumi Allah ini. Lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
 
Ayat 26, maksudnya, "Wahai anak-anak Adam sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian  menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
 
Ada tiga pakaian untuk kita  iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian menghias diri, dan pakaian taqwa. Antara tiga ini pakaian berupa taqwalah yang sebaik-baiknya.
 
Sesunguhnya maha besar Allah yang mengingati kita bahawa sebaik-baik hambaNya ialah hamba yang bertaqwa.
 
Semoga pakaian kita dalam bulan Ramadhan ini adalah pakaian  berupa taqwa, dan ianya berterusan sehingga kita kembali menghadapi Allah SWT.
 
Mudah-mudahan doa kita diperkenankan. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan