Theflowersellingboy

Isnin, 18 Julai 2016

Hari Ini Hari Ulang Tahun Kelahiran: Pohon Kemaafan.





Hari ini genap usia saya 70 tahun. Dan sebulan lagi saya akan berusia 68 tahun.

Usia saya menurun?  Orang yang sama tapi usia berbeza? Biar betul.

Memang betul. Tiada salah dan silap kiraan saya itu. 

Usia 70 tahun itu adalah berdasarkan kiraan menurut takwim Islam iaitu tahun Hijriah. Dan usia 68 tahun adalah berdasarkan kalender Gregorean, tahun Masehi. Jadi kedua-dua usia itu betul.

Jadi hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 70. Saya sendiri tidak sedar hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya. Apatah orang lain termasuk isteri dan anak-anak saya. 

Sebab itu tiada seorangpun memberi ucapan selamat hari lahir dengan doa panjang usia, murah rezeki dan diberikan kesihatan seperti yang dilakukan pada hari ulangtahun kelahiran tahun masehi. Sedih rasanya.

Saya menyedari usia 70 tahun itu setelah membuat conversion tarikh lahir tahun masehi kepada tahun Hijriah. Entah macam mana tergerak di hati untuk mengetahui berapakah usia saya menurut kiraan tahun Hijriah. Rupa-rupanya saya lebih tua dua tahun berbanding dengan tahun masehi.

Itulah silapnya saya yang tidak memberi perhatian kepada tahun Hijriah. Dari dulu sehingga kini saya tidak dapat menghafal nama-nama bulan tahun hijriah secara turutan yang betul. Sebaliknya begitu pantas tanpa silap saya menyusun turutan nama-nama bulan dalam tahun masehi. Memalukan.

Namun begitu apapun tahun yang digunakan dalam mengira usia, satu perkara yang pasti ialah usia kita semakin meningkat. Tanda-tanda ketuaan telah banyak menyerlah memberi isyarat yang jelas bahawa perjalanan kita semakin mendekati ke destinasi.  Dan saya tidak terkecuali.

Dengan demikian sempena menyambut hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 70 pada hari ini, dan ke 68 pada bulan depan, saya mohon ampun dan maaf jika terdapat kata bicara saya yang tidak menyenangkan mana-mana pihak  yang melayari paparan blog saya ini.

 














 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan