Theflowersellingboy

Jumaat, 22 Julai 2016

Sebagai Rakyat Malaysia Apakah Reaksi Anda Keatas Pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) Tentang Perbuatan Durjana Mereka Yang Dinamakan Menyeleweng Wang 1MDB





Tetapkan kedudukan anda sekarang:

(i) Anda percaya dengan pendedahan itu. Dan dengan sebab itu anda menjadi marah, sakit hati dan kecewa.

(ii) Anda tidak percaya dengan pendedahan itu. Dan dengan sebab itu anda kata ianya campur tangan Amerika Syarikat dalam hal ehwal Malaysia.

(iii) Dan ada pula dikalangan anda yang mengatakan bahawa tunggu dulu selepas kes selesai sebelum membuat apa-apa kesimpulan.

(iv) Dan ada juga mengambil sikap bersahaja seolah-olah kes yang didedahkan tidak serious dengan mengatakan kes itu bukan kes jenayah, hanya kes civil.

Waduh, dimana duduk anda sekarang ini?
 
Saya memilih untuk mengambil kedudukan yang pertama. Saya marah, sakit hati dan kecewa. Harap-harap ianya tidak memberi kesan kepada kesihatan saya. Saya serious kerana nama baik negara sudah tercemar, amat memalukan dan merosakkan.

Jika anda bersama saya, memilih kedudukan pertama, saya percaya pendedahan DoJ ini amat dinantikan kerana pendedahan seperti ini tidak mungkin berlaku dan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab di negara kita. Sampai kucing bertanduk anda menunggu pun ianya tidak akan berlaku.

Sudah terlalu lama kita mengharapkan, dan ada ketikanya kita mendesak agar pihak yang bertanggungjawab dalam negara memberi tahu kita apa yang sebenarnya yang telah berlaku kepada syarikat pelaburan strategik negara itu (1MDB), tapi banyak penafian daripada keterbukaan seolah-olah tidak berlaku apa-apa ketidakaturan dalam perjalanan syarikat itu.

Kekecewaan yang paling memuncak apabila pihak berkuasa memutuskan kes 1MDB ini ditutup.

Sekarang hanyir dan hancing tadbir urus 1MDB itu telah didedahkan oleh pihak luar. Amat memalukan.

Pendedahan DoJ itu dari segi maklumat, kelihatan tidak ada bezanya dengan maklumat yang kita telah sedia ada. Bezanya mungkin ianya lebih terperinci kerana maklumat diperolehi dengan melakukan siasatan yang rapi oleh agensi penguatkuasa yang berwibawa.

Bahkan mereka yang dinamakan yang didakwa melakukan pelanggaran undang-undang adalah mereka yang telah sedia ada dalam pengetahuan kita walaupun ada teka teki yang perlu diselesaikan.

Sekarang maklumat pendedahan itu memberitahu wang 1MDB bagi urusniaga tertentu telah masuk ke dalam akaun yang tidak sepatutnya. Ada yang menggunakan istilah wang itu dicuri.

Pihak-pihak yang dinamakan telah menggunakan wang itu untuk membeli berbagai aset seperti hartanah dan jet, membeli karya seni (lukisan), pembikinan filem, untuk berfoya-foya dan berjudi.
 
Anda marah dan sayapun marah. Tapi, kita wajar mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Amerika yang diberitakan telah mensita aset dan membekukan akaun yang terlibat. Dan tindakan undang-undang seterusnya bagi mendapatkan nilai aset dan wang itu untuk dikembalikan kepada Malaysia.

Alangkah malunya kita. Negara asing megambil berat dan melindungi kepentingan 1MDB, syarikat strategik negara kita sedangkan ada diantara kita termasuk pihak yang bertanggung jawab sentiasa dalam penafian bahawa tidak ada salah laku.

Memang kita tidak boleh memutuskan pihak yang dinamakan itu melakukan kesalahan sehingga proses undang-undang berjalan sepenuhnya. Tetapi menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan fakta-fakta kes yang telah didedahkan dan seterusnya membuka kembali kes 1MDB ini.

Menyifatkan kes itu hanya kes civil saja, saya kira ianya satu jawapan yang tidak bertanggongjawab. Sama ada civil atau jenayah, ianya melibatkan syarikat milik kita 100% dan kerugian sejumlah wang yang amat besar.

Apakah dari maklumat yang didedahkan oleh DoJ itu tidak terdapat perlakuan jenayah? Saya amat berat mengatakan, selepas kes civil ini selesai dimana DoJ berjaya membuktikannya, tindakan jenayah besar kemungkinan akan diambil kerana melibatkan pengubahan wang haram. 
 
Sebenarnya perasaan kecewa mengatasi kemarahan saya. Saya marah kerana kes 1MDB ini membebankan kewangan negara kita. Tidak fasal-fasal kita yang menangung hutang atas kedurjanaan orang yang telah diberi amanah untuk menguruskan syarikat itu.

Dan saya kecewa kerana masih ada lagi orang yang menafikan bahawa 1MDB memberi beban dan masalah kepada negara lantas kes itu boleh dengan mudah ditutup.

Walaupun banyak pihak telah mendedahkan kes salahlaku dalam 1MDB misalnya WSJ, pendedahan dari penguatkuasaan Kerajaan Amerika, DoJ, tidak semudah itu boleh diketepikan sahaja oleh pihak Berkuasa Malaysia. 

Terima kasih kepada DoJ kerana berhempas pulas menjaga kepentingan Malaysia.

Jangan tuduh saya agen Amerika.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan