Theflowersellingboy

Isnin, 12 Januari 2015

Yang Pergi Tetap Kami Ingati dan Kami Redha.




Sudah 39 tahun rupanya usia anak sulung saya, jika anak saya itu masih ada di dunia fana ini. Jika berkahwin dan dikurniakan anak, sudah ramai cucu saya jadinya.
 
Sesungguhnya dari Allah kita datang kepada Allah kita dikembalikan. Anak sulung saya itu telah menemui Allah mendahului kedua ibubapanya.
 
Ketentuan Allah tetap kami redha. Sedih, sudah tentu sedih sehingga kini. Tapi bukan kami meratap pemergiannya.

Mengingat kembali arwah anak saya itu, seorang  putera yang dilahirkan pada tahun 1976 ,12 Januari di hospital besar Kuala Lumpur secara pembedahan. Waktu lahir kelihatan ianya adalah anak yang sihat.

Tetapi dia kerapa menangis, siang dan malam sehingga kadang-kadang kami berdua suami isteri merasa bersalah dengan jiran sebelah kerana mengganggu tidur mereka. Tambahan pula jiran sebelah serong pilot MAS yang bekerja 'shift' yang sudah tentu memerlukan tidur yang cukup.

Boleh dikatakan setiap malam anak saya itu menangis. Dan kami diserang rasa bersalah.

Sewaktu anak itu menangis, kami bergeler-geler mendukungnya, sambil membaca ayat-ayat al-quran yang kami hafaz termasuklah ayat qursi dengan harapan anak itu berhenti menangis. Saya pula akan menyanyikan berbagai lagu ciptaan sendiri, bagi menghibur anak itu agar segera tidur.

Ada masanya kami berjaya membuatkan ank itu lelap, terlentuk diatas bahu kami.
 
Namun banyak kali juga kami, terutamanya saya akan berjaga sehingga pagi mendukung anak itu keran jika diletak diatas katil dia akan menangis semula. Pernah sambil mendukung anak itu, saya menyandarkan badan pada dinding kerana teramat mengantuk, terlelap dalam beberapa saat. Mujur tidak rebah.
 
Kami tidak tahu apakah sebabnya anak itu menangis. Doktor ketika itu juga tidak mengesan dan mengesyakki sesuatu yang tidak kena.
 
Masa usianya dua bulan lebih, kebetulan saya terpaksa bertugas di luar negara atas urusan rasmi selama hampir sebulan. Sekembalinya dari tugas, saya mendapat berita yang amat menakutkan, tapi perlu diterima, bahawa anak saya itu disyakki seorang anak jantung berlubang. Begitulah yang diberitahu oleh isteri, menurut seorang doktor klinik swasta.
 
Sedih? Sudah tentu kami sedih dan susah hati. Tapi kami tidak boleh bersedih tanpa melakukan sesuatu. Maka kami sepakat merujuk ke hospital universiti malaya untuk mendapat rawatan.
 
Pihak Hospital Universiti Malaya (sekarang namanya sudah berubah) mengesahkan anak saya itu jantung berlubang. Maka berulang aliklah kami setiap bulan ke hospital untuk mendapat rawatan.
 
Tahulah kami bahawa anak itu menangis adalah disebabkan sakit jantung berlubang. Tetapi walau macam mana lama dia menangis tidak pula nampak kebiruan dimana-mana anggota badannya.
 
Doktor memberitahu kami bahawa anak itu hanya boleh menjalani pembedahan bagi mengubati (menampal) jantungnya itu apabila berusia 2 tahun. 
 
Kami tunggu dengan penuh debaran. Maka sampai waktunya.
 
Waktu ini paling kritikal bagi kami untuk membuat satu keputusan yang amat besar  melibatkan nyawa anak yang dikasihi.

Dalam fikiran kami, sentiasa saja didatangi fikiran risiko kematian. Bedah, maknanya anak kami akan mati. Begitu serangan hasutan syaitan. Kami amat takut untuk membuat keputusan. Tambah-tambah lagi nenek kepada isteri yang tinggal bersama kami, menentang habis-habisan  pembedahan ini. Fikiran beliau sama juga iatu mati.

Saya beri tahu kepada isteri bahawa anak ini anak kita. Kita mesti berani buat keputusan demi kebaikkannya. Kenapa kita mahu jaga perasaan takut kita dalam menghadapi pembedahan ini dengan mengorbankan masa depan anak?
 
Isteri saya bersetuju, pembedahan mesti dilakukan.
 
Kami keluar dari rumah membawa anak ke hospital bagi tujuan pembedahan. Nenek menagis dan marah mengatakan kami degil sangat. Tapi kami buat tak dengar.
 
Di hospital, walaupun kami suami isteri telah tetap dengan keputusan untuk pembedahan, tetapi perasaan takut masih lagi tersimpan dalam hati bagi menghadapinya, lagi-lagi apabila mengingatkan kata-kata dari nenek yang menghalang.
 
Mujur, doktor memberi tahu bahawa senarai menunggu terlalu ramai. Ini satu peluang yang tidak wajar dilepaskan. Dan katanya lagi, seorang visiting doctor dari luar negeri terlibat sama dalam pembedahan.
 
Kami bersetuju dan saya menandatangani surat persetujuan.
 
Alhamdulillah ,  pembedahan itu berjaya. 

Waktu kami membawa balik anak, belum sempat masuk ke rumah, nenek sudah menangis teresak-esak dengan sangkaan kami membawa balik mayat. Sebenarnya kami bawa balik anak yang jantungnya telah dipulihkan (ditampal).

Sedikit demi sedikit perubahan yang mengalakkan berlaku. Selera anak semakin baik. Tidak menangis seperti dulu. Badan tumbuh membesar.

Setelah memasuki enam tahun berlakulah peristiwa yang menyedihkan, yang saya, dan isteri tidak akan lupa. Anak yang bukan saja petah bercakap, malah yang sudah boleh baca surat khabar dan buku, Melayu dan Inggeris, yang sudah boleh mengeja jawi apatah lagi rumi, ditakdirkan Allah untuk menemuiNya mendahului kedua ibubapanya.

Cara pemergiannya amat menusuk hati kami, terutama saya kerana kami terlibat dalam kemalangan jalan raya. 
 
Dalam perjalanan balik pada hari raya ketiga dari Pekan Pahang melalui jalan Segamat-Kuantan, saya yang memandu kereta melanggar belakang sebuah 'lori hantu' (tiada lampu isyarat, tiada nombor pendaftaran, sudah tentu tiada cuaki jalan) yang tiba-tiba membelok ke kanan tanpa memberi lampu isyarat, ketika mana saya mahu memotong. 

Nasib baik kereta tidak masuk bawah lori. kalau tidak...entahlah.

Kami masih sedar walaupun cedera. Anak saya itu mengadu kesakitan. Kereta tidak boleh digunakan lagi. Kami menunggu kereta lain untuk membawa anak ke hospital. 

Tidak ingat berapa lama kami menunggu, saya rasa lebih setengah jam sebuah kereta berhenti dan membawa kami ke hospital Bahau , Negeri Sembilan.

Dalam perjalanan, anak saya dipangkuan saya. Dia mengadu sakit. Beginilah kata-katanya, "Pa Yin sakit, tak tahan ni. Bila nak sampai hospital".

Kata-kata itu diulang-ulang. Saya amat sedih sekali, air mata membasahi pipi.

Sampai saja di hospital, doktor mengesahkan anak kesayangan kami itu telah tiada lagi.  "Ya Allah".

Begitulah sedikit sebanyak ingatan saya, yang tiba-tiba datang pada hari ini. 
 
Sesungguhnya kami boleh berusaha dan berikhtiar. Apabila ikhtiar kami sudah menunjukkan kejayaan, anak itu pula meninggalkan kami untuk menemui Allah.
 
Waktu kami sedang seronok dan gembira bersama anak yang telah berjaya kami berikan satu 'kehidupan baru', rupa-rupanya dia pergi mendahului kami.
 
Sesungguhnya dari Allah dia datang kepada Allah dia dikembalikan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan