Theflowersellingboy

Jumaat, 9 Januari 2015

Sedikit Coretan Sebelum Ke Masjid Untuk Solat Jumaat.




Sejuk. Duduk-duduk tonton tv -tennis di Brisbane Australia. Mandi pagi tangguhkan dulu.

Di Australia musim panas ketika ini. 
 
Malaysia tidak ada musim tertentu- tidak ada musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim sejuk seperti di Eropah. Hari ini panas, esok belum tentu cuaca yang sama -mungkin hujan turun dengan lebat beserta dengan ribut, kilat dan petir. 

Tapi ketika ini rata-rata negeri di Malaysia di turuni hujan. Ada tempat berpanjangan dan lebat sehingga menjadi musibah banjir. Ada tempat hujan tidak berpanjangan- kadang-kadang lebat tapi berlaku banjir juga, banjir kilat. Ada tempat hujan renyai-renyai saja sekadar membasahi muka bumi, tapi tidak banjir.

Tennis sudah habis. Tapi rasa seronok melihat sukan itu masih dirasa. Tidak macam orang yang ditimpa banjir,  nak main airpun sudah takut sekarang, tidak macam dulu, tak boleh enjoy.
 
Masih terasa sejuk lagi. Bacaan ayat al-quran mula berkumandang datangnya dari masjid yang berdekatan. Kena bangkit segera untuk ke bilik air, mandi. 
 
Heater bukan kah ada? Mengapa takut sejuk? Macam mana orang yang ditimpa banjir, tanpa rumah, hilang pakaian, tiada selimut?

Tunggu dulu. Tukar channel.
 
Wah, ada cerita tentang 'akikah anak, ikut sunnah. Cantiknya pakaian anak, emak dan bapa. Mewah sungguh nampak gaya majlis itu. Mungkin ada yang jadi penaja- taja pakaian sekurang-kurangnya. Makanan? Entahlah.
 
Yang penting, penaja boleh dapat lebih dari modal tajaan yang dikeluarkan.  Produk akan jadi terkenal, bertambah laris di pasaran. Bertambah ramai pelanggan yang datang berkunjung buat tempahan di butik, paling kurang datang buat window shopping.
 
Tengok dulu siapa pulak yang menggaya tayang pakaian itu. Bukan mangsa banjir yang selekeh dan suka berlenggeng. 

Oh begitu. 
 
Bosan. 
 
Tukar channel lain. Chef sedang sibuk tunjuk masak memasak dalam rancangan masakan berbagai rasa- rasa Perak, rasa Johor, rasa Kelantan , rasa Pahang , rasa Terengganu. Menu dan bahan terpampang untuk disalin. Wah sedap nampak gayanya chef itu merasa makanan yang dimasaknya -katanya rasa Kelantan. Ada budu, gamaknya. Mengeliurkan.

Kalau orang Kelantan yang dalam kebanjiran dan kelaparan tonton rancangan ini, menjejerlah air liur mereka. Tapi mana mungkin, tv pun dah dihanyut air. Letrikpun tak ada. Jadi rancangan chef ini tiada guna satu sen pun kepada orang Kelantan. 
 
Tapi kalau satu sen diberi kedalam tabung bantuan banjir, mesti mereka bersyukur dan mendoakan kebahagian dan murah rezeki kepada yang masuk wang itu ke dalam tabung bantuan.
 
Tak kan satu sen? Soalan yang selalu disuarakan oleh penceramah termasuk penceramah agama. Nak bantu orang biarlah munasabah. Duit raya untuk anak kecil pun paling kurang sepuluh ringgit. Kurang dari itu, alamat kena jeritlah, "Singgit jer"!

Apa kata wang yang dikumpul untuk bayar kepada penceramah itu dimasukkan ke dalam tabung bantuan. Kadang-kadang wang upah ceramah itu mencapai ribuan ringgit- lagi hebat penceramah, lagi tinggi upah yang dikutipnya.
 
Sayang pada upah yang diterima? Kalau sayang lebih baik didermakan saja kerana kalau mahu menderma, dermalah benda yang kita sayang. Itu kata banyak orang. Tapi berapa ramai yang buat begitu tidak dapat dipastikan. 
 
Masih sejuk lagi. Tapi kena mandi kerana waktu Jumaat tidak berapa lama lagi akan masuk. Lagipun, ada water heater, tak macam si mangsa banjir itu.
 
Tutup tv terus ke bilik mandi.
 
Menggigil tubuh badan sebaik saja sudah mandi. Cepat-cepat pakai sarung dan baju Melayu.
 
Oh jangan lupa bawa sedikit wang, kalau-kalau ada disediakan tabung mengumpul wang untuk membantu mangsa banjir. Berapa banyak nak derma?
 
Lima ringgit? Biar betul. Tak munasabah. Nasi campur di Kelantan pun dah RM25.00.
 
Kalau begitu kena cari penaja. Majlis kahwin dan akikah pun boleh taja. Takkan untuk membantu mangsa banjir tak ingin nak taja?
 
Tapi macam mana nak jawab jika penaja tanya: Ada untung kah?
 
(Coretan diatas hanya imiginasi saya saja. Sesiapa yang mahu derma wang tapi mempunyai kemampuan wang yang terhad boleh juga menderma kedalam tabung yang diinisiatifkan oleh korporat/ahli perniagaan terkenal Mydin. Saya berkesempatan menyalin no. akaun tabung yang dipanggil Ringgit for Ringgit dari sebuah blog. No akaun 503015242344, Maybank.
 
Setiap ringgit dari penderma akan ditambah seringgit oleh Mydin. Ertinya lagi ramai bilangan penderma walaupun nilainya tidak tinggi misalnya satu ringgit, maka lebih banyak akan dapat dikumpulkan kerana Mydin akan menambah setiap nilai yang didermakan  oleh penderma. InsyaAllah saya juga akan bersama melakukannya). 
 


 
  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan