Theflowersellingboy

Rabu, 7 Januari 2015

Kambing Impot Pak Nik Kena Bunuh: Apa Motifnya




Siapa bunuh kambing itu?
 
Semua orang tanya soalan yang sama: Siapa bunuh kambing itu?
 
Kambing itu baru saja diimpot dari luar negara. Saiznya besar sepadan saiz kambing gurun. Seekor kambing betina yang bila-bila masa saja mampu menendang kambing jantan tempatan yang mengada-ada cuba mahu menggatal.
 
Tapi tidak mungkin kambing jantan tempatan mempunyai peluang untuk menggatal. Bukan kerana saiznya kecil. Ruang untuk menggatal tidak ada. 
 
Kambing betina itu di masukkan ke dalam kandang binaan khas sesuai dengan saiznya. Terasing dari kambing tempatan.
 
Waktu sampainya kambing itu, satu kampong datang menjenguk, termasuk datuk penghulu. Cantiknya kambing yang berbulu putih itu, puji orang kampong yang melihatnya.
 
Hanya empat hari saja kambing impot itu sempat menginap di kediaman binaan khas itu. Hari kelima kambing itu didapati telah mati. Mati didalam hutan di sebuah bukit berpuaka yang berhampiran dengan kandangnya.
 
Siapa pembunuh kambing itu? Bagaimana kambing itu boleh mati didalam hutan dibukit berhampiran?
 
Dua persoalan segera ditanya oleh Pak Nik, tuan punya kambing. 
 
Pak Nik sangat marah. 

Seekor kambing jantan dari baka yang sama akan sampai pada minggu depan. Terkulailah cita-cita Pak Nik untuk membiak baka kambing impot ini. Harapannya musnah sama sekali.

Dia terbayang dua wajah anak muda kampong, Jin dan Katan sisetan yang telah mendapat gelaran sebagai kutu rayau. Dari hulu ke hilir, darat dan baruh kedua-dua kutu rayau ini tidak ada masalah untuk sampai dengan berjalan tutup kedua belah mata.
 
Tidak mungkin ada orang lain. Mesti dua ekor ini yang melakukannya.

Pak Nik sudah dapat jawapan yang pertama. Jin dan Katan lah yang membunuh kambing itu.

Jin, nama sebenar Md. Zin. Katan, nama kad pengenalan Katan juga tapi mendapat gelaran Setan yang selalu disebut Sisetan oleh orang kampong. Kedua-dua penganggur tegar selepas gagal SPM. Sudah lima tahun berkelana dikampong.
 
Hanya mereka berdua yang berani melakukannya. Siapa lagi, kalau tidak kutu rayau? Jin dan Sisetan mana takut puaka? Bukit yang berpuaka itu tiada siapa yang berani meneroka kecuali dua penganggur tegar ini.
 
Tapi fasal apa dia orang bunuh kambing itu? Kenapa tak dijual, boleh dapat wang? 
 
Dapat upah ke? Siapa yang upah?
 
Apa motif mereka? 
 
Walaupun kedua-duanya kutu rayau, Pak Nik tidak pernah menyakitkan hati mereka. Mereka juga tidak pernah menyakitkan hati Pak Nik.  Tidak ada sebab yang kukuh boleh mengesyakki mereka melakukannya selain dari  reputasi nama yang dibawa oleh gelaran yang diberikan oleh orang kampong keatas mereka:kutu rayau, jin dan sisetan.
 
Mereka ini penganggur. Mana ada wang. Dan perlukan wang untuk makan minum dan bergaya sedikit sebanyak mengikut standard kampong.
 
Sudah tentu mereka ambil upah. Ada orang yang beri upah.
 
Terjawab sudah akan motif kambing itu dibunah iaitu mahu dapatkan wang. Penganggur perlukan wang.
 
Kemarahan Pak Nik mula sedikit reda kerana sudah ada jawapan siapa pembunuh kambing itu.
 
Tapi.....Pak Nik garu kepala.
 
Siapa yang memberi upah? Mengapa kambing itu?
 
Kemarahan Pak Nik meningkat semula.

Setiap orang kampong Pak Nik kenal. Status sosial dan ekonomi mereka dalam kepala Pak Nik. Rata-rata macam Pak Nik juga, bekerja kampong sebagai pesawah dan penoreh getah. Membela kambing dan lembu serta menternak ayam untuk menambah pendapatan. Ada juga yang menanam sayuran di sisi-sisi rumah kediaman.

Tiada watak-watak yang jahat menjelma. Tiada seorang pun yang pernah berkecil hati dan dikecilkan hati.
 
Siapa yang mengupah? Fasal apa? Jeritan hati yang tidak keluar yang menaikkan lagi suhu kemarahan Pak Nik.
 
Pak Nik mahu tahu apakah tujuan kambing itu di bunuh? Persaingan perniagaan?

Kecuali datuk penghulu, orang-orang kampong membela kambing bukanlah sangat untuk tujuan perniagaan. Seekor dua yang dibela adalah untuk mendapatkan wang tambahan dalam masa sesak hendak dapat wang bagi keperluan perbelanjaan sekolah anak atau dalam menghadapi hari raya. Sekadar itu saja, tidak untuk di pasarkan.
 
Lagipun kambing Pak Nik itu belum lagi membiak. Minggu depan baru kambing jantan datang, untuk dipasangkan.
 
Pak Nik masih mahu mencari jawapan apa motif kambingnya dibunuh. Dia mesti mencari motif. Siapa yang membunuh tidak lagi penting kerana dia sudah 'zero in' kepada dua kutu rayau yang berkelana di kampongnya. Mereka perlukan wang.
 
Motif pembunuh adalah jelas kepada Pak Nik iaitu untuk mendapat upah. Mendapat wang secara membunuh. Ertinya mesti ada orang yang mengupah. Ada motif yang mengatasi motif pembunuh itu.
 
Tapi siapa yang mengupah dan mengapa?
 
Kemarahan Pak Nik bertukar menjadi tangisan. Dia terlalu sayang kambing impot yang mahu dibiakkan itu agar menjadi baka yang berkembang.

Dia tersenyum sedikit apabila mengingatkan kata-kata datuk penghulu yang memuji bentuk badan dan rupa paras kambingnya itu, semasa kunjungan penghulu itu ke kandang kambingnya.
 
"Cantik sungguh kambing ini. Besar pulak. Fasal apa tak berteman", teringat dia kata-kata penghulu.
 
"Minggu depan adalah kawannya. Nak harap kambing tempatan, kena tendang pulak", jawab Pak Nik selamba yang membuatkan penghulu ketawa besar.
 
"Macam mana dengan datuk. Tak nak beli kambing impot ke?''
  
"Niat tu ada juga. Tapi tunggulah. Kambing yang ada pun susah nak jual. Ramai orang bela kambing sekarang. Persaingan kuat".
 
Persaingan kuat? Mungkin kah......mungkinkah.
 
Tidak mungkin, dia adalah penghulu, seorang pemimpin kampong yang dikenali. Mana mungkin seorang ketua tergamak untuk menganianya anak buahnya.
 
Pak Nik terlalu pasti bahawa datuk penghulu bukan pembunuh. Dia berat mempercayai Jin dan Sisetan itu yang membunuh kambingnya untuk dapat wang. Dia hanya mahu cari orang yang mengupah 'dua ekor' itu, dan apa motif pengupah itu berbuat demikian.  

Selagi dia tidak dapat merumuskan motif pembunuhan, Pak Nik tidak akan melaporkan kepada polis. Baginya motif adalah kritikal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan