Theflowersellingboy

Isnin, 5 Januari 2015

Banjir dan Tanggungjawab

 
 
 
Saya masih mahu bercakap fasal banjir kerana ada berbagai respons dalam mendekati dan mendepani musibah ini.
 
Dua perkara yang mahu saya sentuh. Pertama , musibah banjir ini adalah atas kehendak dan izin Allah. Kedua, manusia bersifat tidak sempurna- ada kelebihan dan kelemahan.

Saya menerima dan mengaku hakikat itu.
 
Tapi dengan menggabungkan dua perkara diatas , saya berpendapat kita ada tanggungjawab. Ertinya kita tidak boleh lari dari mengambil tanggungjawab. 
 
Itulah sikap dan pendirian saya.
 
Kita ada tanggungjawab untuk memberi bantuan, tanggungjawab untuk mencari sebab-sebab berlakunya banjir dan tanggungjawab untuk mengelak kejadian musibah yang sama pada masa depan. 

Musibah dari Allah ini tidak cukup hanya berserah saja kepada Allah seolah-olah kita mengatakan Allah yang bertanggungjawab terhadap musibah ini? 
 
Apa tanggungjawab kita pula?
 
Wajarkah kita mengeluh, 'Apa boleh buat, Allah punya kuasa. Sudah kehendak Allah'.
 
Itu adalah keluhan orang yang tidak mahu ambil tanggung jawab. Keluhan orang yang malas. Keluhan orang yang tidak mahu berfikir. Keluhan orang yang tiada perasaan.
 
Mengeluh, kerana kita manusia yang lemah dan tidak ada daya upaya untuk mendepani banjir adalah  sikap yang tidak betul. 
 
Menjadikan kekuasaan Allah dan kelemahan pada diri sebagai alasan atau sandaran untuk melepaskan tanggungjawab adalah satu hal yang amat malang sekali. Sebenarnya kita telah memperkecilkan ciptaan Allah.
 
Bukankah manusia itu adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Sudah tentu satu sifat yang baik itu ialah sifat bertanggungjawab.

Jika ada yang tidak bersetuju dengan pendirian saya itu, itu hak mereka. Cuma saya ingin bertanya:
 
Apa gunanya kita ada otak- biarkan ianya beku tanpa mahu berfikir? 
 
Apa guna ada jasmani atau batang tubuh -mengapa tenaga dan stamina yang ada disia-siakan kerana kita lebih suka untuk berpeluk tubuh, menyerah saja? 
 
Dan adakah kita tidak ada perasaan- hati nurani (perasaan) kita telah menjadi keras sehingga tidak langsung meransang semangat untuk sama-sama tersentuh akan sesuatu keadaan dan kejadian yang menimpa insan yang lain? 
 
Bagaimana pula jika kita sendiri dalam keadaan seperti itu , ditimpa sesuatu musibah?   
 
Masih lagi menyerah?

Ambillah tanggungjawab. 
 
Serahkan sedikit sebanyak buah fikiran , pandangan dan idea kita bagi mendepani musibah banjir ini. Bukan buat cerita palsu dan menghebahkannya.
 
Serahkan tenaga dan stamina kita bagi membantu mangsa-mangsa itu, semasa banjir dan sesudah banjir.
 
Serahkan sedikit sebanyak rezeki kita dalam bentuk wang ringgit dan bahan serta kelengkapan bagi membantu meringankan kesusahan mangsa banjir itu.
 
Kita manusia serba kurang. Jika kita tidak dapat melakukan ketiga-tiga tanggungjawab diatas lakukan apa yang termampu mudah-mudahan Allah memberkati pertolongan kita itu.
 
Wallahulam.
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan