Theflowersellingboy

Ahad, 4 Januari 2015

Congak dan Ujian Akal




Ada tiga garisan lurus membentuk segi tiga, dan pada setiap hujung garisan itu ada ditandakan dengan satu titik. Berapakah jumlah semua titik pada garisan-garisan lurus yang membentuk segi tiga itu?

Cuba jawab, ujian akal ini.

Ujian akal adalah satu cara yang digunakan oleh guru-guru pada tahun 50/60 an dulu dalam menguji kecekapan murid dalam menggunakan akal secara cepat untuk menjawab sesuatu soalan. 

Satu lagi soalan ujian akal ini,

Dua orang bapa dengan dua orang anak  bersama dengan seorang cucu pergi berjalan-jalan. Cucu kehausan lalu meminta datuknya membeli aiskrim. Tapi datuk tiada duit maka diminta anaknya membeli aiskrim itu. Anak datuk itu membeli satu aiskrim untuk cucu datuk, satu untuknya dan satu lagi untuk datuk.

Berapa orang lagi yang tidak dibeli aiskrim.

Satu lagi ujian untuk menguji kecepatan dan kecekapan otak berfikir dan memberi jawapan ialah dalam bentuk soalan yang dipanggil congak. Congak ertinya buat kira-kira dalam otak tanpa berpandu kepada sesuatu alat seperti mesin kira atau sesuatu jadual. Jawab mesti cepat.

Biasanya ujian akal dan congak ini (disekolah saya- sekolah rendah di kampong) digunakan pada jadual mengajar akhir sebelum tamat hari persekolahan. 

Mana-mana murid yang berjaya menjawab soalan, murid itu dibenarkan untuk pulang awal, dan yang tidak dapat menjawab terpaksa tunggu sehingga tamat waktu persekolahan. 

Saya kira ini adalah satu bentuk motivasi agar setiap murid sentiasa bersedia bagi menghadapi congak dan ujian akal ini untuk segera balik ke rumah.

Tapi, murid yang berjaya menjawab soalan itu lebih suka menunggu sehingga tamat waktu persekolahan. Mengapa?

Sebab dia seronok melihat siapakah diantara kawan-kawan itu yang tidak dapat menjawab. 

Walaupun cara ini bertujuan untuk menggalakkan murid-murid sentiasa bersedia dan cepat berfikir, tapi kesan positifnya tidak terserlah sangat kerana yang berjaya tetap berjaya dan yang gagal adalah murid yang sentiasa gagal. 

Mengapa?

Saya rasa persaingan dalam pelajaran tidak ada ketika itu. Apatah lagi sekolah kampong. Gagal dalam pelajaran diterima seadanya, dan bukan satu perkara yang besar yang perlu diambil berat. 

Lagipun rata-rata orang kampong adalah miskin, dan jarang sekali anak-anak menaruh harapan atau berazam untuk belajar diperingkat lebih tinggi, atau ibubapa bersedia untuk menghantar anak belajar ke peringkat lebih tinggi kerana ianya membebankan.

Berita kejayaan anak dalam peperiksaan diterima sebagai satu bebanan.

Ertinya kejayaan atau kegagalan murid tidak bergantung sangat kepada teknik mengajar yang digunakan ketika itu.

Namun begitu bagi saya cara congak dan ujian akal ini amat memberi kesan sekali. Sebelum penggunaan mesin kira, saya akan melakukan congak dalam membuat sesuatu kira-kira. Jawapannya cepat dan betul.

Tapi apabila mesin kira mempengaruhi kehidupan terutama sepanjang bekerja,  otak saya menjadi tumpul untuk membuat congak. Saya tidak ada keyakinan untuk bercongak, khuatir membuat kesilapan, walaupun dalam kira-kira campur (tambah) yang mudah.

Begitu pun saya merasakan cara congak dan ujian akal ini patut digunakan semula dalam teknik mengajar ketika ini khususnya diperingkat sekolah rendah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan