Theflowersellingboy

Sabtu, 3 Januari 2015

Jangan Risau Nanti abang Kiralah.




Saya tidak sibuk, macam biasa saja. Dia tidak juga sibuk, tapi macam orang tidak duduk diam, ada saja yang dirisaukan. 

Dia itu adalah isteri saya. Dia memang begitu. Dua minggu lagi hendak pergi ke Kuala Lumpur atau ke mana saja, dialah yang paling ambil berat tentang persiapan bagi perjalanan ke tempat yang hendak dituju. 

'Berapa buah beg nak bawa. Apa yang perlu dibawa. Bawa towel ke tidak. Jangan lupa sejadah, kompas. Kereta sudah servis ke belum', adalah antara perkara-perkara yang dia ambil kira atau menjadi senarai semaknya, walaupun dia tidak pernah menyediakan senarai semak.

Saya releks saja. Tidak perlu ambil berat semuanya itu waemah semasa menghadapi peperiksaan. Dan saya pernah kantoi disebabkan sikap releks ini. Pucat lesi apabila saya terlambat masuk dalam dewan peperiksaan.

Sebagai pelajar yang tidak mendiami dalam kampus (non hostelite), saya ke kampus dengan motorsikal. Dalam perjalanan ke dewan peperiksaan, tiba-tiba enjin motorsikal saya mati di Jalan Ilmu. 

Saya tidak tahu mengapa jadi begitu. Saya panik, lalu menolak motorsikal itu untuk ke dewan peperiksaan yang jarak jauhnya saya kira lebih dari satu kilometer. Berpeluh dibuatnya. Berpeluh disebabkan menggunakan tenaga, berpeluh disebabkan panik.

Setelah menolak motorsikal itu pada jarak 100 kaki, tiba-tiba seorang pelajar yang juga bermotorsikal berhenti menanyakan hal. Saya kata motorsikal rosak. Lalu dia minta saya parking motorsikal berdekatan dengan fakulti ekonomi yang berhampiran dan meminta saya membonceng motorsikalnya.

Saya dibenarkan masuk ke dewan atas sebab motorsikal rosak. Saya lewat 15 minit. Pelajar-pelajar lain sedang asyik menjawab soalan. Saya diberi peluang untuk bertenang, kemudian barulah kertas soalan diberikan. 

Dengan tangan menggigil, kertas soalan dibaca dari satu muka ke muka terakhir. Semua soalan adalah perkara yang saya boleh menjawabnya, dalam keadaan normal. Tapi yang menghairankan, otak saya tidak dapat mengeluarkan jawapan yang dikehendaki dan sentiasa tersekat-sekat selama tempoh 10 minit, sebab panik. Akhirnya , boleh juga.

Sebab apa enjin motorsikal saya tiba-tiba mati?

Sebab kehabisan minyak. Sepatutnya pada petang sebelum hari peperiksaan itu saya telah mengisi minyak. Tapi saya releks saja. Itulah akibatnya.

Sebab itu , gamaknya isteri saya terlalu ambil berat tentang persediaan bagi sesuatu perjalanan. 

Kami merancang untuk ke Mesir pada 20 Januari 2015 ini untuk bersama-sama meraikan hari konvokesyen anak setelah enam tahun lebih berjuang untuk menjadi seorang doktor. InsyaAllah, pada 29.1. 2015 anak akan menerima ijazah kedoktorannya. 

Kami menyatakan rasa kesyukuran kehadrat Allah kerana telah memperkenankan doa kami sebagai ibubapa selama ini untuk melihat kejayaan anak bungsu kami itu.    

Selain ke Mesir kami mengambil peluang untuk ke Turki. Itupun atas cadangan anak kami kerana katanya banyak tempat yang menarik yang boleh dilawati. Kami bersetuju,

Oleh kerana ketika ini musim sejuk jadi pakaian yang sesuai perlulah disediakan. Maka hal inilah yang diambil berat oleh isteri.

Sudah banyak kali isteri mengingatkan saya untuk membeli sarung tangan, seluar yang tebal, baju sejuk dan macam-macam lagi bagi menghadapi cuaca sejuk. Saya kata tidak perlu beli. Pakai saja pakaian lama yang ada iaitu pakaian yang dibeli semasa belajar di UK dulu.

Isteri kata, "Entah mana lesap pakaian tu, tak tahulah".

Saya kata, "Kita carilah. Mungkin dalam beg".

Hari ini isteri ajak cari sama-sama pakaian itu. Tapi saya kata nanti dulu kerana masih awal lagi.

Kemudian isteri tanya, "Berapa wang kita nak bawa?"

Saya jawab, "Jangan risau, nanti abang kiralah".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan