Theflowersellingboy

Sabtu, 3 Januari 2015

Banjir: Berbagai Cerita dan Berbagai Peluang


 
 
Musibah banjir adalah satu dari musibah yang menyeksakan.
 
Banjir, membawa berbagai cerita, membuka berbagai peluang. 
 
Banyak cerita-cerita duka dari suka. Rumah rosak dan hanyut, harta benda musnah, nyawa hilang, binatang peliharaan hanyut dan mati, berbagai infrastruktur seperti jalan dan jambatan rosak dan macam-macam kemusnahan yang berlaku.
 
Saya mahu bicara tentang peluang.
 
Berbagai peluang terbuka semasa banjir ini bergantung kepada sikap atau pendirian seseorang yang menjadikan asas dalam bertindak atau memilih melakukan atau tidak melakukan sesuatu.
 
Ada yang mengatakan banjir ini adalah ujian dari Allah. Dan jika ianya berhenti setakat itu saja, biasanya peluang yang diambil adalah dengan meminta mangsa banjir bersabar dan redha terhadap ujian itu, sambil memanjangkan doa kehadrat Allah agar musibah ini segera berlalu.  
 
Dan ada juga dari golongan ini mengambil peluang mengingatkan bahawa sudah sampai masanya hukum Allah dilaksanakan bagi mengelakkan musibah ini.
 
Ada juga yang mempunyai pendirian yang sama dengan mengakui bahawa banjir ini menyusahkan kehidupan, dan dengan itu mengambil peluang untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini, disamping berdoa ke hadrat Allah agar banjir ini segera berlalu.

Ada juga mereka yang tidak terlibat dengan banjir, mengambil peluang menyampaikan berita atau perkhabaran palsu dan mengelirukan. Mereka terlaku suka dengan cara ini diatas kesengsaraan orang lain.

Ada yang mengambil peluang untuk menguatkan pengaruh atau mahu dapatkan nama. Disamping memberi dan menyampaikan bantuan, peluang diambil bagi menunjukkan atau memberitahu kepada orang ramai bahawa mereka terlibat dalam membantu mangsa banjir ini, tanpa mengambilkira keselamatan diri atau penat lelah.

Maka posing-posing yang menunjukkan bahawa mereka meredah air yang deras dan dalam sehingga memberikan gambaran bahawa ianya membahayakan diri, dirakamkan dengan menggunakan kamera dan video kamera, seterusnya disebarkan untuk jadi tontonan ramai orang.

Dan berbagai cara lagi ditunjukkan seolah-olah membantu mangsa banjir adalah keutamaan mereka.

Ada pula yang mengambil peluang untuk menunjukkan bahawa pihaknyalah yang ada kuasa dan mampu menghulurkan bantuan atau cepat memberi bantuan. Lalu hanya memberikan bantuan kepada 'orang' atau mereka dari golongan yang sama, dengan membiarkan golongan yang tidak sealiran yang juga memerlukan bantuan.
 
Isyarat yang hendak diberikan ialah jika kamu masuk golongan aku, kamu juga akan dapat bantuan.
 
Dalam masa yang sama, ada yang berkuasa dan mempunyai kemampuan segera untuk membantu itu mengambil peluang untuk menjadikan bantuan itu bagi memenangi hati 'orang lain' agar satu hari nanti orang lain itu akan menjadi sebahagian dari 'orang kita'.
 
Cara ini boleh memikat hati kerana mereka dibantu pada ketika dan keadaan yang tepat, waktu bantuan amat diperlukan.
 
Yang paling menarik sekali ialah peluang untuk membentuk kerajaan campuran antara UMNO dan PAS di Kelantan atas kepercayaan bahawa kemusnahan musibah banjir ini terlalu besar yang tidak akan mampu ditangani oleh PAS.
 
Sesungguhnya ada macam-macam cerita kesan dari musibah banjir ini. Dan bermacam-macam peluang terbuka untuk dipilih.
 
Namun satu perkara yang mesti sentiasa semua orang ingat ialah bahawa banjir ini amat menyeksakan kepada mangsa banjir itu. Jika itu ada dalam fikiran kita maka kita akan mengambil peluang bagi merengankan beban dan kesusahan mangsa banjir itu. 

Rebut atau ambillah peluang untuk merengankan beban mangsa banjir. 
 
Tidak kisahlah kalau ada yang mentafsirkan sebagai mahu berlakun, mahu menunjuk-nunjuk, mahu tunjuk pengaruh dan kuasa atau mahu menubuhkan kerajaan campuran. Yang penting adalah merengankan kesusahan mangsa banjir.
 
Kalau secara fizikal tidak dapat bersama merengankan kesusahan mangsa banjir itu, dari jauh ambillah peluang dengan menyalurkan wang atau pakaian/barang.
 
Jangan ambil peluang menyusahkan lagi mangsa banjir itu dengan menyebarkan berita-berita dan cerita tidak betul, palsu dan mengelirukan.
 
Jika terus juga mengambil peluang seperti itu, orang seperti ini mungkin tidak faham apa itu banjir yang menyeksakan. Oleh itu siasat perbuatan mereka ini, dan jika didapati betul, hukum mereka agar mereka tahu apa ertinya kesusahan. 
 
Sesungguhnya musibah banjir itu satu yang menyusahkan.


 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan