Theflowersellingboy

Sabtu, 10 Januari 2015

Kehidupan Mesti DiTeruskan

Mengenang kembali dalam sebuah peperiksaan.


"Semalam mendung. Hari ini terang benderang dengan sinaran matahari. 
 
Langit tidak sentiasa mendung. Panas, tidak sampai ke petang kerana hujan menyampuk ditengah hari.
 
Kata lirik sebuah lagu: Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari.

Ramai orang suka mentafsir lirik diatas sebagai  menyatakan kekecewaan kerana putus harapan ditengah jalan, tidak sampai ke penghujung. Banyak mengaitkan dengan putus cinta khususnya dikalangan para remaja yang bercinta.
 
Saya suka melihat dari segi perjalanan sebuah kehidupan. Saya melihat bahawa sama ada hujan atau panas kedua-duanya amat kita perlukan. Ertinya ada masa kita boleh ketawa, ada masa kita juga perlu menangis. 
 
Jadi usahlah mengeluh hujan ditengah hari. Dan jangan pula bersedih panas tidak sampai ke petang.
 
Yang penting teruskanlah kehidupan sementara Allah mengizinkan kita bernyawa di alam maya ini".
 
(Arahan: Sila sambung cerita diatas. Anda boleh menyambung dengan memperkenalkan perenggan baru ataupun menggunakan perenggan yang sama. Sambungan tidak lebih dari 250 patah perkataan).
 
Apa yang hendak ditulis bagi menyambung cerita diatas? 
 
Kata seorang kawan untuk melakukannya, kita mesti ada daya imiginasi yang kuat untuk menjadi kreatif. Mesti kuat angan-angan. Mesti seronok berkhayal.
 
Tapi, kawan itu mengingatkan, kita berkhayal dalam sebuah kerangka yang setengahnya sudah berisi, cuma kita nak penuh kerangka itu melalui khayalan kita , menyambung cerita untuk membentuk satu keseluruhan yang bermakna, saling berhubungan. Jangan juga lupa sempadan kita hanya dalam penggunaan perkataan tidak lebih dari 250 perkataan.
 
Keputusan peperiksaan: Gagal. Sebab?
 
Hanyut dalam kahayalan? Ada kemungkinan begitu. Khayalan ikut syok sendiri sehingga tergelincir dari maksud yang hendak dibawa oleh cerita itu. Maksud sebuah cerita yang bermakna, sebuah cerita yang hidup. Atau sehingga terlupa arahan yang menghadkan penggunaan tidak lebih dari 250 patah perkataan. Atau kedua-duanya sekali.
 
Mengapa saya teringat kisah peperiksaan ini?
 
Ini semua fasal cerita banjir. Banyak kedengaran rasa kecewa dan susah hati oleh banyak pihak tentang bencana banjir yang melanda ketika ini. 
 
Ramai yang kecewa dan putus harap apabila bantuan lambat sampai, pembahagian bantuan yang dikatakan pilih bulu, pekerja sukarela tidak mendapat kerjasama dari mangsa banjir, untuk bersama-sama bekerja, kerana katanya banyak yang berpeluk tubuh. Dan macam-macam lagi.
 
Sebab apa jadi begitu? Sebabnya semua orang mahu jadi kreatif, mempunyai imiginasi masing-masing dalam mengatur dan menguruskan tanggungjawab/tugas, memberi dan menerima bantuan, berkhayal semata-mata untuk diri sendiri/syok sendiri tanpa ingat hal orang lain.
 
Keadaan menjadi bertambah tidak tentu apabila semua pihak, yang membantu dan yang kena bantu tidak patuh pada arahan pihak berkuasa.
 
Dan kesemua perangai itu adalah berpunca dari sikap yang tidak mahu menerima realiti sebuah kehidupan: ada  masa kita ketawa, dan ada masa kita menangis. Lantas masing-masing menuding jari menurut khayalan.

Bukankah hidup ini sebuah ujian?

Apapun ujian yang dihadapi, selagi masih bernyawa, kehidupan mesti diteruskan, jangan disia-siakan.

Harap-harap tidak gagal dalam menghadapi ujian tidak seperti mana gagalnya menjawab soalan diatas. Patuhlah pada arahan atau perintah.
 
Wallahualam.
 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan