Theflowersellingboy

Khamis, 8 Januari 2015

Peristiwa Charlie Hebdo Yang Mesti DiKutuk




Serangan Charlie Hebdo di Paris, 12 terbunuh. Tiga penyerang, seorang darinya bernama Cherif Kouachi. Mereka orang Islam.

Banyak pihak mengutuk serangan itu, Islam dan bukan Islam secara individu, kumpulan dan negara. Malaysia sudah tentu mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu. 

Kutukan itu tepat dan wajar bahawa perbuatan membunuh seperti itu bukan perbuatan yang diajar oleh Islam malah mencemarkan nama baik Islam.

Mengapa jadi begitu? Mengapa perbuatan membunuh seperti itu digunakan atas nama agama? Adakah 'orang Islam' saja yang bertindak seperti itu?

Soalan diatas mudah ditanya tapi jawapannya ada berbagai dan kompleks sekali bergantung kepada sisi mana yang dipandang dan siapa serta pihak mana yang mahu memberikan jawapan. Antara jawapannya, mungkin majoriti, sudah tertentu tidak  dapat mengelakkan dari tuding menuding jari dalam mempertahankan pendirian masing.

Melainkan jika mahu mencari penyelesaian demi keamanan dunia, menjaga kehidupan manusia yang bertemaddun yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain, kejadian seperti itu, dan pembunuhan-pembunuhan yang berlaku di banyak tempat di dunia ini, atas apa saja nama dan kepentingan, tidak akan berhenti setakat peristiwa Charlie Hebdo. 

Dalam kata lain lupakan bangsa, warna kulit, agama dan ideologi, antaranya, sebagai asas dalam menilai serta menghukum perbuatan suka membunuh seperti itu.

Orang Arab bukan pembunuh. Islam melarang perbuatan seperti itu. Orang Perancis bukan pengganas. Orang Amerika juga bukan pengganas. Keristian menentang keganasan.  Begitu juga agama-agama yang lain. 

Tetapi ada orang Arab melakukan pembunuhan dan kekejaman. Orang yang mengaku Islam dan atas nama Islam melakukan pembunuhan. Orang Perancis dan Amerika yang melakukan pembunuhan. Orang Keristian, Yahudi, Hindu dan Buddha yang membunuh atas nama agama.

Oleh itu peristiwa Charlie Hebdo ini tidak wajar dikaitkan dengan Islam hanya kerana yang melakukan itu beragama Islam. Sama juga dengan serangan Amerika ke atas beberapa negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan dulu sehingga memusnahhancurkan negara-negara tersebut, bukanlah kerja-kerja pembunuhan yang dilakukan oleh orang Keristian, hanya kerana tentera dan pemerintah Amerika itu beragama Keristian.
  
Dalam banyak hal dan keadaan, propaganda memburukkan agama Islam bersandarkan kepada pelaku perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti persitiwa Charlie Hebdo ini orang Islam, lebih banyak diterima sebagai satu kebenaran sehingga Islam dilabel sebagai pengganas.   

Kesan buruk dari propaganda itu telah menambahkan lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci dan memandang serong terhadap Islam dan penganutnya, termasuk  sebahagian besar mereka yang tidak pernah berfikir dan terfikir untuk melakukan keganasan seperti yang berlaku ini.

Maka menzahirkan rasa benci mereka terhadap orang Islam dan agama Islam, berbagai cara dilakukan dalam tindak balas mereka, mungkin terlalu kecil dan tidak menjadi kudis pada pendapat mereka , tetapi terlalu sensitif kepada umat Islam ialah penghinaan keatas agama Islam seperti karikatur yang dijodolkan  sebagai nabi Muhammad SAW dan membakar kitab suci al-Quran.

Perbuatan-perbuatan seperti ini dan perbuatan-perbuatan serta tindakan lain berciri penghinaan terhadap Islam ini, berterusan dan kerap dilakukan atas nama hak kebebasan bersuara.

Malang sekali, perbuatan penghinaan seperti itu disebar luaskan seolah-olah mahu menyakinkan kepada masyarakt dunia bahawa itulah wajah Islam. Dan ramai yang terpengaruh dan percaya, dikalangan bukan Islam. Maka ianya menjadi satu 'stock pile' yang akan digunakan apabila berlaku lagi peristiwa seperti Charlie Hedbo. 

"Sahlah Islam ini pengganas". Totok dan pekatlah kebencian mereka terhadap Islam. Cherif Kouachi dan beberapa orang yang lain melakukan serangan ke atas Charlie Hebdo , Islam yang diserang.

Amat malang sekali apabila ada juga orang Islam yang terperangkap dalam memberi respons keatas penghinaan dan kemusnahan yang dilakukan keatas Islam dan negara Islam, apabila secara songsang bertindak melakukan cara keganasan yang sama, yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Orang Islam terlibat dalam keganasan. Orang Keristian, Hindu, Buddha, Komunis, Sosialis dan Atheist juga melakukan keganasan.

Namun, Islam dicap mohor sebagai pengganas.
 
Peristiwa Charlie Hebdo, 12 orang terkorban. Pelaku orang beragama Islam.

Serangan keatas Iraq dan Afghanistan, berapa yang terkorban? dan bagaimana kesan selepas perang? Pelakunya orang Amerika.

Ertinya, jangan lihat dari kaca mata agama mahupun bangsa. Lihat pelakunya. Bertindaklah keatas pelakunya.

Pelaku serangan Charlie Hebdo, katanya telah dikenal pasti dan seorang diberitakan telah menyerah diri. Siasat, bicara dan hukum jika sabit kesalahan.

Jangan pula lupa mereka yang membunuh rakyat Palestin, Iraq dan Afghanistan. Siasat, bicara dan hukum mereka jika sabit kesalahan. 

Takziah kepada keluarga 12 orang yang terbunuh dalam peristiwa Charlie Hebdo dengan harapan tiada dendam dan benci terhadap penganut Islam yang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan