Theflowersellingboy

Selasa, 13 Januari 2015

K-POP dan Babak Memalukan Dari "Wanita Bertudung"




K-Pop sekali lagi menjadi cerita hangat. Dulu hangat fasal ada pihak mahu tumpang popular bagi tujuan politik. Kali ini fasal lagak mahu jadi popular oleh beberapa orang wanita 'bertudung' yang sempurna akal, tapi rendah maruah.

Maka ramai yang marah-marah, lalu bermulalah sessi mencari salah.

Pihak penganjur telah mohon maaf .

Apa pun bangsa dan agama wanita itu, perbuatan itu adalah perbuatan menjual diri (saya tidak mahu menggunakan harga diri kerana wanita itu sebenarnya tidak tahu tentang nilai harga pada diri masing-masing). 

Mereka (perempuan bertudung itu) merelakan perbuatan itu, dan ahli kumpulan K-Pop yang terlibat tidak perlu membayar apa-apa kepada perempuan-perempuan bertudung itu. Pelacur pun minta upah. 

Ertinya perempuan itu tidak ada harga, lebih rendah dari pelacur yang menyorok dan bersembunyi diri untuk mendapat wang menjadi pelacur.

Apabila berlakunya perkara seperti ini, soalan yang popular yang ditanya ialah siapa kah yang bersalah?

Sebenarnya saya tidak suka dengan soalan seperti itu ditanya setelah berlaku peristiwa yang memalukan itu.  Soalan seperti itu tidak akan berbangkit jika semua pihak terutama yang mempunyai kemampuan dan kedayaan, pengaruh dan kuasa serta mengambil peranan dan tanggungjawab masing-masing menjaga nama baik bangsa dan kesucian agama Islam.

Bagi saya perbuatan itu adalah satu sejarah hitam yang yang mencemarkan nama baik orang Melayu Islam (jika yang bertudung itu orang Melayu dan Islam). 

Oleh itu saya juga mahu bertanya siapakah yang bersalah? Saya menuding jari?

Ya, kali ini saya mahu menuding jari.

Pertama, saya juga bersalah. Saya tidak terlibat dengan bersunguh-sungguh dalam usaha memerangi perkara mungkar.

Kedua, perempuan itu sendiri. Melihat dari susuk badan, mereka sudah 'akil baligh, yang mampu untuk berfikir yang mana satu baik dan yang mana satu buruk, yang mana satu perlakuan rendah moral yang mana satu perlakuan menjaga maruah dan harga diri.

Ertinya, tidak ada alasan untuk mereka mempertahankan diri.

Jangan pula salahkan K-Pop. Itu kerja mereka, dalam bidang dan industri hiburan, yang mementingkan populariti. Perbuatan itu adalah perkara biasa dan boleh diterima dalam industri hiburan, khususnya dikalangan bukan Islam bagi memeriahkan suasana dan menghiburkan hati penonton dan juga penghibur. Ianya menjadi satu daya tarikan bagi meramaikan lagi penonton untuk bersama.

Mengapa perlu dihairankan. Bukankah ini strategi yang menguntungkan- kepada kumpulan itu dan penganjur. Ramai yang datang, maka banyaklah wang yang masuk, bertambah popularlah kumpulan tersebut dan makin teransang pihak penganjur untuk mengadakan penganjuran pada masa depan.
Satu lagi strategi ialah slotkan hal-hal yang  kontroversi dalam pertunjukkan itu iaitu perbuatan wanita bertudung berpeluk cium dengan penghibur diatas pentas. 

Sudah tentu orang Melayu Islam akan marah melenting. Bukankah itu satu dari caranya untuk jadi popular.

Namun jangan salahkan penganjur dan kumpulan itu. Dari segi undang-undang mereka sudah patuh. Sebab itu permit dikeluarkan dan kumpulan itu boleh beraksi menghiburkan penonton. 

Kalau begitu siapa yang ketiga ?

Mereka yang megisi slot number tiga tapi yang utama dan pertama patut disalahkan ialah yang ada kuasa dan pengaruh yang mampu dan bertanggungjawab mencorakkan perlakuan rakyat Malaysia, dan dalam hal ini perlakuan orang Melayu Islam.

Mengatasi senarai ini adalah Kerajaan, termasuk berbagai agensi.

Agensi yang memberi permit yang membenarkan pertunjukan seperti itu. 

Bagi saya pertunjukan hiburan gila seperti ini tidak perlu kerana ianya tidak langsung boleh digunakan bagi membangunkan watak manusia Malaysia yang berdaya tahan. Ianya lebih banyak merosakkan. 

Saya menolak hiburan? Tidak, saya juga mahu terhibur dan menghibur. Tapi dalam batas-batas yang tidak membawa kepada kerosakan akhlak.

Maknanya menyekat kebebasan? 

Bebas? Apakah anda bebas untuk menyakit dan membinasakan orang lain? 

Tiada satu apapun hal dalam dunia ini bersifat bebas atau percuma. Semuanya  perlu dibayar. Semuanya ada kesan dan akibat jika semua orang bebas melakukan mengikut selera masing-masing?

Mahu bebas?

Jika mahu bebas kenapa mahu jadi manusia yang hidup atas nama bangsa yang menjalankan kehidupan berbudaya dan beragama, serta dipandu sama dengan berbagai sistem dan peraturan? 

Buangkan itu semua, anda akan tahu apa yang akan terjadi kepada makhluk yang bernama manusia. Musnah!

Tidak belajar dengan peristiwa perang dan serangan membunuh sesama insan?

Oiii jangan salah kepada Islam saja. Jangan salah kepada orang Melayu saja. Jangan salahkan orang bukan Melayu. Jangan salahkan orang keristian dan agama-agama lain.

Salahkan kepada mereka yang mahu buat sesuka hati tanpa batas semata-mata atas nama hak kebebasan bersuara dan bertindak.

Apa menghina sesuatu bangsa dan agama itu tidak menyakitkan hati?

Apa membunuh atas alasan ada pihak yang membuat provokasi, sesuatu yang wajar?

Dengan demikian pihak berkuasa iaitu kerajaan wajar mengambil tindakan untuk menyekat perkara-perkara yang mencemarkan tamaddun manusia, tidak kira orang Melayu dan Islam atau siapa saja.

Jika perbuatan peluk cium diatas pentas hiburan itu tidak menyalahi budaya dan agama orang bukan Islam, itu hak mereka. Kita jangan ganggu.

Namun ia tidak bermakna perlakuan itu wajar dilakukan dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Apatah lagi yang melakukannya adalah wanita Islam.

Paling malang sekali, tanggapan umum adalah bahawa yang bertudung itu adalah mereka yang berwatak baik, menurut ajaran Islam.

Memang, Islam menyuruh berbuat begitu. Dan jika orang yang bertudung itu melakukan peluk cium seperti itu, sesungguhnya ia amat hina sekali, bukan saja keatas pelakunya bahkan kepada ajaran Islam itu sendiri.

Soalnya adakah tudung yang dipakai itu digunakan sebagai alat bagi sengaja memberi tahu keseluruh dunia bahawa Islam itu agama yang tidak bermoral?

Tidak munasabah orang yang bertudung atas kesedaran sebagai satu kepatuhan kepada Allah sanggup melakukan perbuatan yang cemar dan hina itu.

Atau adakah bertudung itu sebagai lesen bagi perempuan itu untuk kelihatan mempunyai akhlak yang baik?

Apapun soalan yang dikedepankan, perkara yang paling penting ialah kerajaan mesti melihat semula segala rancangan hiburan yang dibenarkan ketika ini.

Apa yang dapat disumbangkan oleh rancangan melodi, meletop, gossip, gegar vaganza, dan drama-drama yang memaparkan aktiviti peluk cium dan pegang-pegang tangan, dan segala rancangan hiburan yang mempunyai ciri yang sama terhadap pembinaan watak seorang Malaysia, apatah lagi watak seorang Melayu dan Islam?

Rata-rata saya katakan semua rancangan itu merosakkan moral orang Melayu dan Islam.

Tidak terlepas juga rancangan agama yang terikut-ikut dengan cara lebih mengutamakan hiburan dari tujuan menyampaikan ilmu. Kaji semula rancangan seperti itu.

Saya percaya berlakunya perbuatan peluk dan cium itu adalah sebahagian besarnya adalah kerana kita sendiri membenar serta menggalakkan perbutatan seperti itu dalam semua rancangan hiburan kita.

Salahkan perempuan yang bertudung itu atas perbuatan yang mencemarkan itu kerana mereka sudah 'akil baligh yang tahu memilih yang mana satu baik dan yang mana satu tidak baik.

Salahkan kepada semua rancangan hiburan yang kita sajikan kepada penonton kerana bukti buruknya telah jelas seperti yang dipertontonkan oleh wanita yang bertudung itu.

Wallahualam.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan