Theflowersellingboy

Ahad, 6 September 2015

Malaysia Negara Yang Ku Cintai: Macam-macam Ada




Hari ini saya nak paparkan petikan kata-kata/ayat dari berbagai kepimpinan yang ada kaiatn dengan kehidupan kia di negara yang kita sayangi ini. Huruf 'italic' adalah pandangan atau pun ulasan saya.
 
1.Tuhan ada dalam dunia ini. Jangan bimbang--Menteri, Wahid Omar, dalam ucapan di Persidangan Anti Rasuah (International Agency Anti Corruption-- IAAC)
 
Tiada siapa yang bimbang fasal adanya Tuhan. Itu yang kita imani sebagai seorang Islam, dan pengikut agama lain pun sama juga, mereka percaya ada Tuhan.
Yang menjadi kebimbangan adalah insiden perlakuan rasuah semakin membarah. Ianya bukan satu persepsi lagi. Ianya satu realiti.
Malang sekali PM kita gagal untuk bersama dalam persidangan itu, berhadapan dengan perwakilan, berdiri tegak dan berani menyatakan dengan tegas beliau tidak terlibat dalam rasuah, khususnya yang berkaitan dengan derma 2.6 billion itu.
Apabila PM tidak berani hadir, dan apabila Presiden IAAC berani membuat  soalan khusus untuk PM sendiri menjawab, dan PM gagal menjawab,  amat mengecewakan kita gunakan ayat Tuhan ada dalam dunia. Jangan bimbang.
Mengapa kita sangkutkan dengan Tuhan sedangkan kita perlu ambil tanggungjawab tentang apa yang kita lakukan.
 
2. Mati UMNO, mati orang Melayu ---Ketua Puteri UMNO.
 
Dahsyat kepercayaan seperti ini. Nyawa orang Melayu ditangan UMNO? Bagi saya sama ada UMNO ada atau tiada bukan ada sangkut paut dengan nyawa Melayu. Jika UMNO yang dikatakan mempunyai 3 juta ahli, dan ditakdirkan semuanya mati, orang Melayu di Malaysia  yang tinggal dianggar kurang lebih 20 juta, masih boleh memikul tanggungjawab untuk menguruskan negara dengan baik, bukan saja setakat menguruskan orang Melayu saja.
 
3. Kalau isteri kita buat perangai, kepala kita berserabut dan kita tak boleh jadi pemimpin atau wakil rakyat yang baik --Perdana Menteri.

Setuju. Ada rumah tangga berjalan seperti itu, alhamdulillah.
Tidak dinafikan juga ada isteri yang buat perangai seperti yang disebut oleh PM itu. Contoh buat perangai terlalu banyak. Satu darinya mencampuri urusan rasmi suami. Misalnya suami yang jadi menteri yang antara lain bertanggungjawab meluluskan sesuatu projek untuk kepentingan rakyat. Katakan projek 50 juta. Untuk melaksanakan projek tersebut, kontrektor perlu dipilih secara tender, misalnya. Bermakna, ada persaingan dikalangan kontrektor.
Tapi, isteri menteri ini masuk campur tangan mempengaruhi suami agar kerja itu diberikan kepada kontrektor yang dia berkenan. Kontrektor yang apabila diberikan kerja akan memberi hadiah dalam bentuk wang atau lain-lain sebagai balasan pertolongan mendapatkan kerja.
Inilah antara yang PM kata sebagai isteri yang buat perangai.
Macam mana dengan isteri-isteri menteri kita?Isteri Timbalan PM? Isteri PM sendiri?
Mereka buat perangai?
 
4. Melayu mesti bersatu, elak DAP jadi PM ---Menteri, Ismail Sabri.
 
Dari segi Perlembagaan Persekutuan semua warga Malaysia layak jadi PM. Tidak timbul soalan orang Cina ke, orang India ke, orang Kadazan ke- semua berpeluang jadi PM.
Menteri itu sedar hal ini, sebab dia bukan tidak sekolah punya orang.
Melayu mesti bersatu. Cadangan itu amat baik. Bukan saja Melayu mesti bersatu, semua rakyat Malaysia mesti bersatu untuk mewujudkan negara Malaysia yang aman.
Tapi cadangan Menteri itu, Melayu mesti bersatu dibawah UMNO. Itu yang boleh dipersoalkan. 
Bukan salah bersatu dibawah UMNO, tidak juga dibawah PAS atau dibawah mana-mana organisasi. 
Tapi hanya UMNO saja boleh menyelamatkan Melayu adalah satu cerita dongeng. Sekarang bukan saja dongeng bahkan amat menakutkan.
Sebab selama 58 tahun negara Merdeka, mengapa kita masih lagi cakap tentang perpaduan Melayu? UMNO yang memerintah sepanjang tempoh itu sehingga ke hari ini. Jika UMNO masih cakap perpaduan dikalangan orang Melayu, bermakna UMNO sendiri mengaku yang mereka telah gagal menyatupadukan umat Melayu selama tempoh 58 tahun.
Jadi mengapa kita orang Melayu masih lagi mahu beri peluang kepada UMNO, bersatu dibawah UMNO?
Apa yang kita lihat sekarang? Siapa yang merosakkan orang Melayu? Siapa yang menyusahkan orang Melayu? Siapa yang gunakan Melayu dan Islam untuk membolot kuasa dan kekayaan? Siapa yang menjatuhkan nama baik Islam? Siapa yang menjadi perasuah terbesar?
Macam mana dengan derma 2.6 billion sehingga mencalarkan nama baik Melayu dan kepimpinan Melayu. Siapa Melayu itu yang menerima wang sebanyak itu?
 
5. Urus isu baiah dengan hikmah bukan bebal---Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Kedah.
 
Saya setuju setakat hikmah saja. Saya tak setuju dengan bebal kerana tidak mungkin ahli dan kepimpinan PAS bebal-bebal belaka. Mereka banyak dan tinggi ilmu agama.
 
Urus secara hikmah bermaksud mengurus dengan baik yang asasnya untuk satu penyelesaian tidak bersifat marah, benci dan dendam. Jika marah, benci dan dendam menguasai dalam minda seseorang dalam menghadapi sesuatu kedudukan maka hasilnya adalah kemusnahan. Itu sebenar hasil yang hendak dicapai dalam hal baiah ini. Keluar PAS, hancurlah rumah tangga anda. Dahsyat, sebuah parti yang mendakwa Islam sebagai perjuangan sanggup melihat kemusnahan sebuah rumah tangga hanya semata-mata memetingkan politik parti itu saja. Apa jenis Islam parti ini?
Saya berpendapat sepatutnya isteri tidak boleh digalang ganti bagi sesuatu kedudukan , politik atau apa saja. Ertinya dari mula lagi baiah itu telah cacat. 
Anda boleh percaya , isteri dicagarkan? Anda boleh terima isteri jadi bahan gadaian seperti kita gadaikan tanah atau apa saja misalnya lembu dan binatang peliharaan yang lain bagi mendapat satu kedudukan politik? Isteri boleh dipermainkan, seolah-olah tiada hak langsung dalam sebuah rumah tangga kerana boleh digadaikan tanpa pengetahuan.
Apapunya parti yang sanggup melakukan benda seperti ini. Dan setengah pemimpinnya bermati-matian mempertahankan baiah yang merosakkan ini. Apa jenis pemimpin yang pakai serban dan kopiah sebagai isyarat dianya Islam.
Tidak hairanlah jika ada orang Islam apatah lagi bukan Islam yang meragui hukum hudud yang dibawa oleh parti PAS ini.
Sesungguhnya saya pada satu ketika dulu amat menyanjungi lagi menghormati pemimpinh PAS itu khususnya yang bertaraf ulama'. Tapi ia amat mengecewakan. Saya lihat kata-kata yang digunakan, nada intonasi dalam ucapan, tidak langsung membayangkan ianya datang dari seorang ulama' yang disegani oleh kawan dan lawan.
Saya mendoakan agar kekecewaan saya ini tidak berterusan, dan mengharapkan satu kepimpinan yang benar-benar menampakkan wajah Islam dalam kata dan kelakuan. Dalam hal ini saya nampak Tuan Ibrahim memberi harapan kepada saya termasuk Mahfuz Omar. Harap-harap mereka ini tidak tergelincir.  

Cukuplah dengan paparan petikan 5 kata-kata/ayat  dari mereka yang bertaraf pemimpin semoga sama-sama kita renungi.
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan