Theflowersellingboy

Isnin, 28 September 2015

Pilihan Anwar Sebagai PM Adalah Kekuatan PH Dalam Menghadapi PRU 14.




Anwar sebagai PM jika PH menang PRU 14? 

PH berangan-angan dan tidak rasional, kata setengah pihak. Anwar tidak relevan, tambah pihak lain. Apa PH ketandusan pemimpin kah, kata pihak yang tidak sebulu.

Komen-komen yang negatif, yang tidak bersetuju Anwar jadi PM.

Ketiga-tiga asas yang digunakan oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pengistiharan PH itu telah meyakinkan saya bahawa Anwar masih lagi nama yang tidak boleh diketepikan untuk diangkat sebagai PM.

Pertama saya tafsirkan komen seperti itu, perlu mereka lakukan demi mempertahankan status quo (BN).

Saya dapati dalam apa kes dan hal sekalipun, sebut saja nama Anwar, reaksi bersifat negatif secara spontan dan segera sudah tentu dapat kita dengar dan disiarhebahkan, oleh mereka yang merasa terancam dengan kedudukan kuasa yang ada dan yang sangat-sangat tidak menyukai Anwar. Ada saja yang perlu diperkatakan diantara hal atau kes dengan nama Anwar itu.

Anwar ini moralnya rendah. Anwar ini pengkhianat bangsa dan perosak agama. Anwar ini pembelot negara. Anwar ini agen kuasa asing -agen Amerika dan Yahudi. Anawar ini penjenayah. Anwar ini gila kuasa.

Sebab itu Anwar tidak layak jadi PM. Tidak rasional jika dia diangkat jadi PM. Dia hanya mahu kuasa dan bukan mahu berkhidmat untuk negara dan rakyat. Itulah wirid setiap detik mereka bersuara.

Maka diberi contoh. Dari segi moral, jelas kata mereka Anwar seorang peliwat kerana telah dijatuhkan hukum penjara oleh mahkamah paling tinggi atas kesalahan itu. Tapi mereka tidak pula menyentuh bagaimana Anwar dibicarakan.

Pembelot negara? Masihkah kita lupa Anwar dikaitkan dengan serangan dari kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah? Sehingga ke hari ini Anwar tidak pernah disiasat, didakwa dan dibicarakan dalam kes ini. Tapi ada yang berterusan mengaitkan Anwar sebagai pembelot negara.

Agen Yahudi dan agen Amerika? Itu suara-suara yang terlalu biasa. Tapi Anwar masih juga tidak didakwa sebagai agen-agen kuasa asing itu.

Pendek kata segala yang buruk adalah berpunca dari Anwar. Anwar penyebabnya. 

Memberi gambaran negatif keatas watak Anwar ini mempunyai satu tujuan. Mereka tidak mahu Anwar jadi PM.

Tidak salah untuk menolak Anwar. Tidak juga salah untuk bersetuju dengan PH.  Tapi sebenarkah Anwar mempunyai segala sifat kejahatan itu. Adakah Anwar bukan seorang insan?

Kedua, pandangan yang negatif itu yang mahu menyingkirkan Anwar mengesahkan bahawa Anwar adalah masih relevan, pesaing politik yang boleh mengancam status quo. Tidak siapapun yang akan ambil pusing jika seseorang itu tidak akan menjadi pesaing yang mengancam kedudukan mereka. 

Dengan demikian pilihan PH itu adalah tepat dan sesuai untuk berhadapan dengan BN dalam PRU 14 akan datang ini. 

Sama ada dari segi undang-undang Anwar dapat ditabalkan sebagai PM (masuk bertanding ), saya kira bukan faktor yang menjadi asas utama kepada pengistiharan itu. Yang penting Anwar adalah satu simbul perpaduan diantara parti-parti dalam PH yang perlu dimenfaat dan diwar-warkan dalam menghadapi BN pada PRU 14.
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan