Theflowersellingboy

Ahad, 27 September 2015

Peristiwa Malang Di Mina: Jemaah Yang Tidak Berdisplin.




Senyap hampir seminggu. Tiada paparan. Melayan anak cucu. Hadir majlis perkahwinan.

Sedih dan simpati peristiwa di tanah suci. Mula-mula peristiwan kren menghempap para jemaah. Ramai yang cedera dan meninggal termasuk  jemaah Malaysia. Kemudian peristiwa jemaah berhimpitan di Mina sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian.

Semoga Allah memasukkan mereka yang meninggal itu dikalangan orang yang dirahmati. Dan kepada yang cedera didoakan segera sembuh. Kepada kaum keluarga diharap bersabar dan doakan yang terbaik kepada mereka yang meninggal dan yang cedera.

Dalam dua peristiwa sedih ini, berbagai pihak termasuk kerajaan Saudi mencari sebab mengapa terjadi peristiwa yang amat malang itu. Dan akhirnya kita kena terima semuanya ini adalah ketentuan dari Allah.

Tiada siapa yang menolak ketentuan takdir. Tapi cara begitu bukanlah bermakna kita sebagai manusia mahu melepaskan diri  dari mengambil tanggungjawab diatas sesuatu keburukan atau kemalangan yang menimpa kita. Kita mesti mengambil tanggungjawab.  Kita juga adalah penyebab kepada kemalangan itu.

Pengalaman mengingatkan saya bahawa para jemaah sentiasa mementingkan diri sendiri semasa menunaikan ibadat haji. Kita sahaja yang mahu mendapat ruang solat, kita berebut-rebut mahu tempat berhampiran dengan Ka'abah agar mudah dapat mengucup hajar aswad. Kita saja mahu mendahului orang lain dalam perjalanan menuju ke masjid. 

Maka dengan itu, solat kita sentiasa terganggu dengan langkahan kaki jemaah lain, dan sewaktu bertawaf mengelilingi Kaabah kita bergasak-gasak tolak menolak tanpa peduli orang tua, orang uzur dan kaum perempuan, atau sewaktu ke masjid secara berjalan atau menaikki bas/van , kita tidak peduli siapa saja di kiri, kanan dan di depan, kita langgar saja dan kita berebut-rebut, berhimpit-himpit dalam bas/van walaupun telah melebihi muatan yang dibenarkan, konon kita percaya bahawa kita melakukan ini demi mendapat pahala.

Tapi kita lupa kita telah menyakiti orang lain. Kita lupa kita boleh menjadi punca kepada sesuatu kemalangan. Kita juga lupa bahawa orang lain juga mahukan pahala. Kita lakukan ini seolah-olah kita saja yang berhak untuk mendapat balasan baik dari Allah sedangkan perbuatan kita itu akan banyak menghasilkan kesan buruk dari yang baik.

Kemudian apabila kita keluar dari masjid maka berpusu dan berhimpitlah kita keluar melalui ruang pintu yang kecil tidak sepadan dengan bilangan yang mahu keluar. Maka berlakulah tolak menolak, siku menyiku dan saling marah memarahi sedangkan kita baru saja selesai solat, tawaf dan sai'.

Apabila sampai saja dihotel tempat kediaman, berebut-rebutlah kita menaikki lif, tolak menolak, memotong barisan jika ada barisan tanpa mengambil kira yang tua kerana semua itu tidak kita pertimbangkan kerana yang penting kita dulu yang dapat masuk lif dan segera menuju ke dewan makan.

Di dewan makan, kita tidak ada segan silu sehingga mengambil makanan melebihi dari yang sepatutnya yang akhirnya makanan itu tidak dapat dihabiskan.

Gambaran diatas, bukan satu cerita dongeng, yang direka-reka. Ianya satu realiti. Dan amat memalukan kerana ia dilakukan oleh kita yang mahu mendapatkan haji yang mabrur. 

Tidak kira usia, tua atau muda, tidak  kira kedudukan miskin , kaya , ustaz dan bukan ustaz, kelakuan yang tidak berdisiplin itu dapat dilihat sepanjang menunaikan ibadat haji sama ada di Mekah, Mina atau di Madinah.

Hampir sebahagian besar jemaah tidak menunjukkan disiplin yang baik. Hendak cepat dan mendahului orang lain.

Jadi saya percaya kejadian rempuhan atau pertembungan manusia yang berlaku di Mina baru-baru ini ada kaitan dengan perlakuan jemaah yang tidak berdisiplin, tidak menurut arahan atau peraturan yang telah ditentukan oleh pihak yang berkuasa. 

Mungkin ada sedikit kelemahan dari segi kawalan dari pihak berkuasa. Tapi saya merasakan jika jemaah mengamalkan disiplin yang baik, kemalangan ini dapat dielak atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bilangan yang mati dan cedera.

Selagi jemaah tidak mengamalkan disiplin yang tinggi, kemungkinan untuk peristiwa ini berlaku pada masa depan tidak mudah untuk kita nafikan. Oleh itu pihak berkuasa haji Malaysia (Tabung haji) hendaklah memasukkan hal disiplin ini dalam kursus-kursus haji selain hal berkaitan dengan ibadat haji.

Memang diakui , jemaah haji Malaysia lebih baik disiplin mereka berbanding jemaah yang lain. Tapi masih lagi perlu dipertingkatkan.  

Semoga musim haji tahun hadapan kita tidak akan menerima berita seperti dua berita yang amat menyedihkan itu. Kita mengharapkan haji mabrur. 

Oleh itu kelakuan kita juga mestilah kelakuan yang terpuji dengan mengambil peduli keatas jemaah yang lain. Kita mahu dapatkan pahala sebanyak mungkin tapi usahlah perbuatan kita bagi tujuan itu boleh menyakiti dan menyusahkan jemaah yang lain, apatah lagi jika perbuatan kita boleh menyebabkan musibah yang lebih besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan