Theflowersellingboy

Jumaat, 4 September 2015

Membuka Restoran Yang Santai: Konsep dan Nama---ahhh penat saya berfikir.




Nak buka restoran. Restoran masakan Thai dan Pantai Timur. Buka di Melaka. Restoran berkonsepkan santai.

Wah, anak memberi tugas kepada saya untuk merealisasikan keinginannya untuk masuk dalam dunia perniagaan. Dia mahu buka restoran.

Saya mahu kepastian darinya dengan soalan: Nak berhenti kerja ke?

Jawabnya ya, dengan tegas. Katanya akhir Oktober.

Saya tidak mahu tanya mengapa dia mahu berhenti kerja. Saya percaya bukan kerana pendapatan, kerana pendapatannya lumayan sekali. Cuma saya ada dengar projek yang dia terlibat akan siap pada Oktober. Siap projek, tamatlah kerja kerana dia hanya bekerja secara freelance, bukan pekerja tetap.

Ah , lupakan saja tentang sebab berhenti kerja itu. Kerana jika difikirkan banyak soalan boleh ditanya, misalnya kenapa tidak minta di tempat lain atau projek lain?

Fikirannya muktamad, tetap mahu berhenti kerja. Isteri saya paling risau sekali. Maklumlah sekarang ini tidak mudah untuk dapat kerja. Lagipun anak saya itu bukan bujang lagi, baru saja dapat anak pertama.

Berita berhenti kerja ini selalu mengacau fikiran isteri saya, banyak menungnya. Begitulah hati seorang ibu walaupun anak sudah dewasa.

Saya risau juga. Tapi amat yakin anak saya itu telah fikir panjang. Keinginannya wajar disokong, dibantu mana yang boleh, diberi ransangan.

Soalan penting yang saya  tanya ialah: Ada modal ke?
Ada, jawab anak saya dengan yakin.

Dah bincang ke dengan isteri?

Isteri bersetuju dan sokong. 

Lagi pun katanya, dia tidak seronok dengan persekitaran Pasir Gudang terutamanya bagi masa depan anaknya.

Ok. Saya tak perlu tanya soalan lain. Tugas saya ialah membantu menjayakan keinginannya itu.

Apa yang saya boleh bantu? 

Wang? Kemungkinan paling tipis. 

Tapi saya boleh membantu untuk dapatkan modal dari sumber lain. Sumber pertama, pinjaman mudah dari agensi kerajaan. Saya akan gunakan pengalaman semasa bekerja, dan ilmu yang diperolehi semasa belajar.

Saya tahu, apabila bersara, dah lama pula, rangkaian kenalan dan sahabat dalam agensi pemberi pinjaman, semakin berkurangan, mungkin tiada langsung. Namun bagi saya itu bukan faktor yang kritikal. Faktor yang kritikal ialah menyediakan satu kertas cadangan yang meyakinkan agensi pemberi pinjaman bahawa pinjaman yang akan diberi itu mampu dibayar balik. Itu saja.

Ertinya bukan saja cadangan itu cantik diatas kertas saja dengan menunjukkan aliran tunai keluar masuk yang garis bawahnya (bottom line) akan menunjukkan keuntungan dalam operasi, yang penting bagaimana 'bottom line' itu boleh diperolehi.

Kerja kuat, yakin dan bersungguh-sungguh melalui pengurusan dan warga kerja yang berkemahiran dalam bidang yang dilaksanakan. Sudah tentu ada modal  mula, dari kita sendiri.

Modal, tiada masalah, beres.

Tugas saya mencari tempat yang strategik. Tempat yang mudah dikunjungi. Persekitaran yang telah sedia ada bilangan penduduk yang agak ramai, misalnya berdekatan dengan berbagai jabatan kerajaan , pejabat dan institusi swasta seperti hospital, klinik, bank , hotel. Kemudahan tempat letak kereta juga perlu diambil kira.

Mendapatkan maklumat dari Majlis Tempatan tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk operasi sebuah restoran. Kontraktor, bagi membuat ubahsuaian.

Sebelum operasi adalah lebih baik mengenalkan diri terlebih dulu dengan menggunakan berbagai saluran media. 

Pra pelancaran ini adalah mustahak bagi memasukkan maklumat restoran ini ke dalam minda pelanggan. 

Maklumat tentang lokasi dan kemudahan yang disediakan, jenis hidangan makanan, hari dan waktu operasi, latarbelakang ringkas syef dan pasukannya, dan menjanjikan khidmat layanan yang di harapkan oleh pelanggan- sudah tentu mesra, cepat untuk menikmati hidangan dengan santai dan selesa.

Sudah tentu nama restoran mesti di beritahu.

Anak saya belum pula ada nama yang sesuai. Cuma katanya konsep restoran itu adalah santai, beroperasi waktu malam.

Berdasarkan itu saya cuba memikirkan nama yang dapat dihubungkan dengan kesantaian. Ertinya ia mesti melibatkan persekitaran dan kemudahan yang disediakan --mengambilkira lokasi yang mudah di kunjungi, tempat letak kereta, khidmat layanan, susun atur dan hiasan dalaman, dan yang paling penting makanan yang sedap dan menyelerakan semata-mata untuk pelanggan bersantai-santaian. 

Tugas ini paling mencabar, ia memerlukan daya kreativiti minda untuk menggarapkan berbagai elemen kesantaian untuk menghasilkan satu konsep santai dalam operasi sebuah restoran.

Ertinya konsep santai itu mestilah mudah, boleh dan praktikal untuk dioperasikan, yang mampu dan berjaya memberi kepuasan kepada   pelanggan yang sebelum meninggalkan restoran akan berkata: Rasanya Sedap Menyelerakan.

Rasanya Sedap Menyelerakan (RSM).

Setelah mengambil sedikit masa akhirnya saya berhasil juga menghasilkan konsep santai yang praktikal dan mudah serta boleh dioperasi untuk sebuah restoran yang Rasanya Sedap Menyelerakan. 

Dari pendekan kata-kata Rasanya Sedap Menyelerakan maka saya mencadangakan kepada anak nama restoran itu : RESTORAN  SANTAI MALAM (RSM).

Dia (anak) ketawa. Isteri pula kata buat apa susah-susah sangat. Anak perempuan pula ketawa. Ketiga-ketiga mereka tidak langsung menunjukkan satu 'curiousity', atau ingin tahu lebih lagi tentang nama restoran dan hubungkait dengan konsep santai itu. 

Mungkin juga mereka anggap tidak ada keperluan untuk berbuat begitu. Nak buka restoran , buka sajalah-- ada kedai, ada tukang masak dan pekerja, ada peralatan hidangan sudah cukup untuk operasi sebuah restoran.

Nama? Berilah apa nama saja. Apa ada pada nama. Nama yang tak senonohpun boleh menarik banyak pelanggan. Mungkin itu cara berfikir mereka.

Betul juga, cara berfikir mereka itu. Tapi mengapa perlu beritahu saya tentang konsep santai dan mencari nama restoran? Ahhh penat saya berfikir.

Namun begitu saya faham kerana yang penting adalah sebuah restoran. Ini bukan keperluan akademik bagi memperolehi kesarjanaan dalam bidang tertentu , bukan Sarjana Dalam Pembangunan Kewangan (Masters in Development Finance).
 
Tunggulah saja langkah anak saya seterusnya. Masih serious atau cuma angan-angan saja. Saya tetap akan membantu dan menyokong.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan