Theflowersellingboy

Khamis, 10 September 2015

Pelawaan Menteri Kewangan Bagi Rakyat Mengemukakan Cadangan Bajet 2016 : Cadangan Yang Macam Mana Lebih Berkesan.




1. PM telah meminta dari rakyat agar menghantarkan cadangan bagi Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Oktober ini. 
 
2. Bagi saya ianya agak terlambat.  Bajet bukan seperti penggunaan wang yang ada dalam kocek untuk membeli kancang putih.
 
3. Jika pelawaan Menteri Kewangan itu bermaksud untuk rakyat kemukakan apa saja cadangan, saya ingat cara ini (exercise) akan menjadi sia-sia saja.  Buang masa. Kerana Rakyat akan hantar macam-macam cadangan tanpa menyertakan matlamat, justifikasi dan faedah serta implikasi kewangan terhadap cadangan itu. Saya percaya cadangan seperti itu tidak akan diberi pertimbangan yang serious.
 
Jika begitu, bagi saya, kerajaan tidak perlu meminta cadangan dari rakyat. 
 
Sudah mencukupi dengan kerajaan mengambil perhatian yang serious akan kehidupan rakyat ketika ini. 
 
Rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi, disamping berbagai tekanan hidup dari segi sewa tempat tinggal yang mahal, harga rumah luar mampu, peluang kerja yang tidak banyak,  dan sebagainya.  
 
Rancang dan sediakanlah satu peruntukan kewangan untuk kesenangan rakyat bagi menghadapi keadaan itu, bagi tempoh jangka masa pendek (bajet tahunan , misalnya bajet 2016), sederhana dan panjang.
 
4. Jika pelawaan itu bermaksud untuk rakyat mencadangkan sesuatu idea untuk dijadikan sebagai satu dasar yang akan dirangka oleh kerajaan, saya kira ianya lebih berfaedah. Pelawaan seperti ini saya sokong. Tetapi ianya tidak akan dapat dilaksanakan dalam bajet 2016 kerana sesuatu cadangan itu memerlukan masa yang agak panjang untuk diteliti.
 
5. Dengan andaian , jika itu maksud kerajaan, saya mahu cadangkan agar kerajaan  mengadakan satu Dasar berkaitan dengan Pembiayaan/Kos Penjagaan Kanak-kanak Sebelum Memasuki Sekolah Rendah.

6. Dasar ini belum ada lagi walaupun kerajaan sentiasa mewar-warkan tentang kepentingan pembangunan modal insan. Apakah insan yang dapat negara hasilkan, jika pada awal pembangunan fizikal, mental dan rohani, kanak-kanak itu dibesarkan dalam persekitaran yang tidak sihat, tertekan dan berisiko tinggi. 
 
7. Sudah tentu kerajaan mempunyai statistik dan maklumat tentang kematian anak kecil tercekik susu di nursery atau dibawah penjagaan penjaga individu yang diupah. Dan juga berbagai-bagai faktor risiko lain misalnya deraan oleh penjaga,  yang sentiasa dibimbangi oleh kedua ibu bapa yang bekerja.
 
8. Sudah tentu kerajaan telah mendengar berbagai rungutan dan keluhan  dari kedua ibubapa akan betapa susah dan mahalnya untuk mendapat penjaga sehingga ianya menjadi kebimbangan dan tekanan jiwa yang amat sangat, yang boleh memberi kesan negatif kepada produktiviti kerja. Inilah perkara yang kritikal yang dihadapi oleh keluarga ketika ini, terutama pasangan suami isteri yang bekerja. 
 
9. Kos penjagaan yang tinggi, memaksa ibubapa melakukan berbagai kerja sehingga terpaksa mengabaikan tanggungjawab memberi kasih sayang kepada anak-anak. Ini tidak sihat dari segi pembangunan fizikal dan mental kanak-kanak itu.  
 
10. Oleh itu walaupun agak terlewat, kerajaan sewajarnya mengagihkan kekayaan negara, sumber negara, sama ada secara sepenuhnya atau secara subsidi bagi mengadakan satu pembiayaan melaksankan Dasar yang disebutkan diatas.
 
11. Pembiayaan kerajaan adalah dalam bentuk belanja pembangunan sekali saja (one off) dan belanja mengurus tiap-tiap tahun secara subsidi atau sepenuhnya. Belanja pembangunan itu ialah bagi menyediakan tempat penjagaan dan keperluan-keperluan kelengkapan dan kemudahan sebuah tempat penjagaan kanak-kanak termasuk kerja ubah suaian jika bangunan yang disewa. 
 
12. Dan belanja mengurus pula adalah bagi menjalankan operasi pusat itu, termasuk tenaga pengajar/pekerja, makanan, air dan letrik, sewa dan penyelenggaran seperti lif.
 
13. Belanja pembangunan/ubahsuai hendaklah ditanggung oleh kerajaan/majikan sepenuhnya. Belanja mengurus, jika kerajaan/majikan mampu, ditanggung penuh oleh kerajaan/majikan. Atau  penjaga membayar sebahagian dari perbelanjaan itu, dan sebahagian lagi oleh kerajaan/majikan mengikut formula atas nisbah 30/70 atau 40/60.

14. Dasar kerajaan itu mesti menyeluruh, meliputi semua pihak kerajaan dan swasta bagi semua rakyat Malaysia sama ada yang bermajikan atau kerja sendiri. Ertinya kerajaan/majikan bertanggungjawab untuk belanja pembangunan bagi mengadakan tempat penjagaan dan bagi membiayai sebahagian jika tidak sepenuhnya belanja mengurus.

15. Sudah tentu perkara yang melibatkan majikan swasta memerlukan pertimbangan yang agak berbeza berbanding dengan kerajaan. 
 
16. Kerana, ada majikan swasta yang terlalu kecil, yang sederhana dan yang besar dari segi bilangan pekerja, kekuatan kewangan dan keuntungan operasi. Kajian yang terperinci wajar dilakukan. 
 
!7. Tapi asas kepada Dasar ini ialah tanggungjawab majikan dalam menjayakan Pembangunan Insan secara berkongsi tanggungjawab dari segi pembiayaan, diantara majikan dan pekerja, bersama membiayai kos pejagaan kanak-kanak yang belum mencapai usia masuk ke sekolah rendah.
 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan