Theflowersellingboy

Khamis, 30 Julai 2015

SEJERNIH AIR MATA.




Selepas menunaikan solat Subuh, aku berbaring diatas katil. 

Sehelai kertas aku pegang erat. Aku baca dan teliti apa yang aku tulis malam tadi, selepas menunai solat terawih.

Ini adalah senarai nama-nama orang yang pernah aku bertegur sapa, yang aku gauli dan kenali yang ada hubungan emosi dan fizikal, sepanjang kehidupan ku. Bukan itu saja, ada sebab yang besar mengapa nama mereka perlu masuk dalam senarai.

Ada maksud yang hendak dicapai.

Hatiku mengiyakan bahawa apa yang aku tulis itu tidak lengkap bagi maksud yang hendak dicapai.

Banyak nama-nama lain yang aku masih ingat tapi tidak sempat aku tulis. Ada juga nama yang aku ingat tapi aku tidak ingat sebab besar yang membolehkan nama itu disenaraikan. 

Aku juga yakin bahawa terlalu banyak nama yang aku tidak ingat. CPU ku tidak mampu berfungsi seperti sepatutnya.

Aku kecewa dengan keadaan ini. Namun aku menyedari  bahawa jika pun aku ingat, nama dan sebab mengapa nama itu perlu disenaraikan, aku tidak ada kemampuan untuk menulis kesemua nama-nama itu. 

Ini adalah satu hakikat. Ini bukan alam fantasi, yang membenarkan khayalan menguasai diri untuk mencapai peringkat sempurna, satu ideal. 

Kecewa ku sedikit menurun. Kertas itu aku kesampingkan disebelah kanan baringanku.

Aku teringat semasa kecil , tapi sudah akil baligh, setiap pagi hari raya , selepas Subuh, ada saja tamu mengunjungi rumah ku berjumpa kedua ibubapa ku. Mereka itu ialah saudara mara bapa dan emakku, yang ada ikatan kekeluargaan, yang lebih muda dari ibu bapa ku dari segi usia, dan mereka yang pangkat lebih rendah dari segi hubungan kekeluargaan walaupun usia sebaya atau lebih tua dari ibu bapa ku.

Mereka datang hanya dengan satu tujuan. Mohon ampun dan maaf 'dihari baik dan bulan baik  ini' atas segala kesalahan -terkasar bahasa dan tutur kata, mohon halalkan makan dan minum.

Maka bercucuranlah  air mata, sedu sedan bunyi tangisan, berpeluk-pelukan bagai tidak mahu berpisah, yang dizahirkan oleh kedua-dua tetamu dan yang dikunjungi.

Kemudian, setelah emosi dapat dikawal, setelah perasaan menjadi tenang,  terpancarlah rasa ceria dan gembira diwajah mereka, di pagi hari raya, seolah-olah tiada lagi dosa diantara mereka'

Generasi sekarang panggil 'KOSONG KOSONG'.

Tahun sebelumnya, aku lihat peristiwa yang sama. Tahun yang mendahului tahun sebelumnya juga  aku lihat peristiwa yang sama.

Dosa di antara mereka terkumpul cukup satu tahun Hijriah. Dan akan dihapuskan pada hari   raya untuk menjadi kosong. Kemudian dikumpul lagi untuk dikosongkan pada pagi hari raya.

Mereka mohon ampun dan maaf bermaafan bagi perkara yang sama: Apa yang terkasar bahasa dan tutur kata. Halalkan makan dan minum.

Aku belum pernah terdengar lagi keampunan dibuat kerana telah mencuri telur ayam direban, atau mencuri buah durian misalnya. Atau kerana mengumpat dan membuat fitnah memburukkan keperibadian.

Aku mula mengukir sedikit senyuman. 

Dulu dan sekarang tiada apa bezanya. Bahkan permohonan maaf waktu ini lebih ringkas lagi, cukup sekadar pernyataan 'maaf zahir dan batin'. Ia dilakukan waktu bersalaman, sambil setengahnya berpelukan.

Disitu ada sentuhan perasaan dan fizikal.

Ada juga yang menggunakan proksi melalui hantaran sms, paparan blog, fb, tweeter, instangram dan whatsup. Panggilan talipon dan bersiaran melalui radio dan tv juga digunakan bagi memohon kemaafan.

Namun begitu, walaupun ada ayat-ayat panjang yang digunakan, tapi ianya umum, tidak spesifik.

Aku merasakan bahawa permohonan maaf secara proksi ini adalah satu lagi bentuk hiburan kerana  banyak yang memaparkan lagak gaya serta meluahkan kata-kata gurauan dan lucuan, dihiasi dengan gambar-gambar, lukisan, simbul  dan grafik tertentu. Tapi mereka tidak lupa dengan 'maaf zahir dan batin'.

Aku mengambil semula kertas tadi. Aku renung semula dengan penuh khusuk.

Aku menyedari bahawa hubungan aku dengan Allah tidak serumit hubungan aku sesama manusia. Dengan Allah aku boleh saja berhubung denganNya tanpa sekatan ruang , tempat dan masa untuk menyatakan dan mengharap atau mengadu sesuatu hal kerana aku tidak perlu tahu alamat Allah. Kerana aku juga tahu dan beriman bahawa Allah tetap ada.

Dan aku juga tahu bahawa apa pun yang aku buat atau yang telah aku lakukan atau akan lakukan, ianya sedikitpun tidak mengurang atau menambah sifat Allah.

Nothing, I am just His servant and forever submit to HIM, the Almighty.

Jika aku berdosa, dan sememangnya akau banyak dosa terhadap Allah kerana meninggalkan apa yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang, tidak ada apa-apa halangan bagiku untuk berhubung dengan Allah memohon keampunan.

Sebaliknya, aku perlu tahu dimana duduknya manusia yg bernama sianu misalnya, dimana beliau berada kini,  alamat terakhirnya dengan jelas. Keadaannya, masih hidup atau telah mati. Atau masih sihat dan tidak nyanyuk atau siuman untuk membolehkannya faham apa yang hendak aku beritahu.

Seandainya pun jika aku dapat mengesan keberadaan sianu itu kerana dia masih hidup, sihat dan siuman, dan aku juga mampu dan berjaya untuk berjumpa dengannya, hatiku bertanya sanggupkah aku mengeluarkan dan munyusun kata-kata mohon ampun dan maaf.

Permohonan ampun dan maaf itu bukan sekadar maaf zahir dan batin saja.

Diatas kertas itu dibawah tajuk Nama tertulis: Ali. Dibawah tajuk Perkara: mencatatkan mencuri wang Ali sebanyak 10 ringgit. 

Sanggupkah aku merendahkan egoku membuat kenyataan berterus terang seperti itu? 

Ya, aku sanggup, kerana perkara itu terlalu kecil. Apa yang hendak dimalukan kerana jumlah yang dicuri terlalu kecil. Lagipun aku mencuri kerana perlu membayar hutang.

Sanggupkah aku memohon maaf dari Abu yang telah aku khianati sehingga beliau dibuang dari sekolah, menggelapkan masa depan siAbu itu. 

Sebagai ketua murid (head prefect) aku mengambil kesempatan atas kedudukan ku yang amat dipercayai mengemukakan bukti palsu memburukkan perangai siAbu, semata-mata Abu itu adalah pesaing kuat ku untuk memegang jawatan head prefect.

Aku menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Senak rasanya dadaku bagai dihimpit bebanan yang berat.

Sanggupkah aku?

Air mataku bergenang di kelopak. Sebutir, sebutir menitis. 

Sanggupkah aku? Sanggupkah aku? Sanggupkah aku?

"Abu, aku datang berjumpa dengan kau ini, pada hari baik bulan baik ini , memohon ampun dan maaf atas perbuatan ku mengemukakan bukti palsu memburukkan kelakuan kau semasa kita bersekolah dulu sehingga kau dibuang sekolah, yang menggelapkan masa depan kau".

Ya, aku sanggup dan bersedia melakukannya, bisikan kecil dari hatiku. 

Kesanggupan ku sejernih air mata yang mengalir dari kelopak mata.

Bagimana dengan Abu?

Itu adalah haknya. Jika mahu memaafkan ku, alhamdulillah. Jika sebaliknya, aku perlu terima balasan diatas kesaksianku yang palsu itu.

Aku hanya mahu mohon maaf. Biarlah permohonan maafku jelas dan terang sejernih air mata yang mengalir menitis sebutir-sebutir dari kelopak mata.

Bagaimana pula mereka yang aku tidak berpeluang untuk memohon ampun dan maaf kerana ada yang tidak dapat dikesan, yang tidak sihat yang boleh faham apa yang aku cakapkan dan mereka yang telah tiada didunia?

Bagaimana dengan kesalahan-kesalahan lain yang lebih besar dari itu?

Mataku menuruni lepas satu kesalahan ke satu kesalahan yang tercatit dalam senarai itu. 

Aduhhhhh.....!!!!!! 

Aku menutup mataku dengan kertas tadi. Aku menangis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan