Theflowersellingboy

Sabtu, 4 Julai 2015

Mari Kita Main Tangkap Pencuri




Kita sudah masuk hari ke tujuh belas berpuasa. Bulan ketika ini sudah penuh mengambang. Maka kenangan lama menguasai ingatan.
 
.............
 
Bulan sedang penuh mengambang. Sudah masuk malam ke lima belas berpuasa. Dua minggu lagi akan menyambut hari raya. 
 
Maka semua orang, kecil besar, tua dan muda, cacat dan sempurna berada dalam 'mood' untuk menyambut hari raya.
 
Pakaian mesti cantik dan baru. Rumah dihias cantik. Kuih muih berbagai jenis yang tidak terdapat pada hari biasa mesti dijadikan hidangan.
 
Aku dan kawan-kawan sebaya, seusia tidak lebih lapan tahun sibuk main kejar mengejar, sorok menyorok dan tangkap menangkap. Bulan yang mengambang sangat membantu kami.
 
Di belakang rumah satu lagi kumpulan terdiri dari orang tua, yang dewasa dan yang muda dan semua yang ada tenaga sedang sibuk mengacau dodol.
 
Aku panggil dodol itu kuih yang menderakan. Sebab itu aku dan kawan-kawan mengelak diri untuk bersama mengacau dodol. Kami lebih suka main kejar mengejar.

Kami main kejar mengejar dalam sebuah permainan 'Tangkap Pencuri'.

Dalam permainan ini kita terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pencuri dan kumpulan polis dalam bilangan yang seboleh-bolehnya sama banyaknya. Tapi bilangan ahli kumpulan pencuri boleh melebihi kumpulan polis.

Aku lebih suka menjadi polis. Tidak pernah gagal.
 
Mula-mula kami membuat satu barisan. Bermula dari kiri dan ke kanan kami akan menyebut bilangan angka kedudukan diri masing-masing. Mereka yang angka ganjil akan jadi pencuri dan yang angka genap menjadi polis.
 
Kemudian kami akan jadikan sebelah dari selipar kami sebagai barang yang berharga yang menjadi idaman kumpulan pencuri. Selipar itu diletakkan di tengah-tengah laman tempat kami bermain.
 
Kumpulan polis duduk mengawal selipar itu , tanpa membuka mata. Dalam masa yang sama  kumpulan pencuri akan bersembunyi/menyorok.
 
Dalam beberapa minit kemudian, kumpulan polis akan berseru, "Sudah ke belum". Bermaksud sudah menyorok ke atau belum. Jika tiada jawapan bermakna pencuri-pencuri itu sudah menyorok dan bersedia untuk dicari.
 
Maka  Aku dan kawan-kawan polis yang lain membuka mata semula. Kami mula mencari pencuri-pencuri itu dengan meninggalkan selipar tanpa kawalan.
 
Semasa cari mencari inilah pencuri-pencuri itu akan keluar dan menuju ke tempat selipar itu untuk mengambil selipar. Dan kami anggota polis akan mengejar dan cuba menangkap pencuri-pencuri itu.
 
Jika kami (polis) berjaya mencecah mana-mana saja anggota badan pencuri termasuklah pakaian, pencuri itu sudah dianggap sebagai sudah berjaya ditangkap. Kena menyerah diri.
 
Bagi kami, dan Aku sendiri ketika itu merasakan permainan tangkap pencuri ini menyeronokkan. Kami seronok sebab dapat main kejar mengejar dan dapat membuktikan siapakah yang lebih handal dan pantas dari segi larian.
 
Permainan ini tidak ada tempoh tamatnya. Ianya akan berhenti apabila diminta berhenti oleh situa. 
 
Sama ada pencuri telah berjaya ditangkap kesemuanya atau belum atau masih ada baki yang belum ditangkap, apabila ada arahan dari situa untuk berhenti , permainan itu wajib diberhentikan. 
 
Jika tidak patuh, lain kali tidak boleh lagi main tangkap pencuri. Kenalah sama-sama kacau dodol atau buat kerja-kerja lain persiapan hari raya. 

Aku dan kawan-kawan ku juga tidak suka kacau dodol. Ia amat menderakan.

...........
 
Sekarang semuanya telah berubah. Kacau dodol tidak lagi satu kemestian. Dodol boleh dibeli dimana-mana dan pada bila-bila masa, bukan saja pada musim raya. Sudah jadi komersil.
 
Begitu juga tidak ada lagi mainan kejar mengejar tangkap pencuri pada malam bulan mengambang. Anak-anak sekarang lebih gunakan mata dan jari, bukan kekuatan kaki dan tenaga fizikal, dalam permainan mereka. Mereka ada ipad, mereka ada play station. Mata dan jari mesti cekap.
 
Yang menariknya permainan tangkap pencuri adalah kita sudah tahu siapa yang jadi pencuri dan apa yang hendak dicuri. Kita tahu siapa yang jadi polis. Dan pencuri itu menyerah diri apabila saja polis berjaya menyentuh mana-mana bahagian anggota badan termasuk pakaian.
 
Dalam realiti kehidupan terutama pada hari ini, kita tidak mudah untuk mengetahui siapakah pencuri. Kadang-kadang orang/pihak yang kita harapkan untuk menjaga barang/harta dari kecurian belum tentu tidak melakukan kerja mencuri.
 
Dan walaupun ada pihak telah dapat mengesan seseorang atau sesuatu pihak melakukan perbuatan mencuri itu, ianya tidak semudah itu akan menyerah diri, tidak seperti dalam permainan tangkap pencuri semasa saya dizaman kanak-kanak dulu.

Selamat Berbuka.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan