Theflowersellingboy

Jumaat, 24 Julai 2015

Kutbah Hari Jumaat: Perpaduan dan Wasatiyah




Hari ini khatib membaca khutbah Jumaat yang menyentuh soal perpaduan dan sifat wasatiyah. 

Seperti biasa suara khatib itu adalah lantang dan jelas. Butir-butir perkataan dan ayat yang dikeluarkan dari mulutnya adalah jelas, lancar tanpa tersekat-sekat. Ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam menyampaikan khutbah itu. 

Saya percaya dan mengharapkan beliau faham isi dan maksud khutbah   yang dibacakan itu.

Hal berkaitan perpaduan dan wasatiyah ini, bagi kebanyakan kita adalah perkara yang sudah selalu didengar dan mungkin sudah jemu untuk didengar. Tapi apabila dikhutbahkan maka saya percaya ianya sudah dipertimbangkan sebagai perkara penting untuk diberitahu, khususnya kepada para jemaah.

Saya ikuti dengan penuh perhatian. Namun begitu, ada juga kepala yang terlentuk.

Secara rengkasnya , khutbah itu menyeru semua rakyat Malaysia tanpa kira latarbelakang, bangsa dan agama perlulah bersatu padu dan hidup secara bersederhana.

Sekiranya khutbah itu diperhalusi secara mendalam ianya bermaksud tiada manusia yang lebih baik selain mereka yang bertakwa kepada Allah.

Walaupun maksud bertakwa itu semacam ditujukan kepada orang Islam, saya ingin membuka ruang untuk memasukkan orang bukan Islam atas kepercayaan bahawa mereka juga perlu berlaku dan bersikap menjadi manusia yang baik, yang berguna kepada diri dan negaranya.

Bukankah kita hidup perlu berkenal-kenalan diantara satu dengan lain tanpa kira latarbelakang mereka? Berbuat baik sesama manusia. Tidak ada dan tidak juga menyimpan buruk sangka hanya kerana dianya bukan orang kita, bukan seagama dengan kita.

Maknanya jika mereka yang berbeza latarbelakang itu melakukan kebaikan maka wajib kita sokong begitu juga sebaliknya.

Dan jika ada diantara kita yang melakukan kemungkaran maka menjadi tanggongjawab kita dan dia untuk menegur, menghalang dan mengambil tindakan keatas orang yang melakukan kemungkaran itu. Begitu juga sebaliknya.

Kita, mahu pun dia tidak wajar untuk membela dan mempertahankan kemungkaran itu semata-mata kerana yang melakukannya mempunyai latarbelakang yang sama -sama bangsa dan agama.

Itulah sepatutnya yang perlu difahami dari khutbah yang dibacakan oleh khatib itu. Kalau tidak saya percaya khutbah itu menjadi sia-sia saja -masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Malah ada yang tak sedar ianya masuk ke dalam gegendang telinga yang mana satu kerana lena tertidur.

Realitinya tidak seperti yang sepatut dan yang diharapkan. Masing-masing kita, termasuk khatib yang membaca khutbah tadi dan mereka yang suka bercakap fasal perlunya perpaduan dan hidup berwasatiyah, secara amnya atau sebahagian besarnya tidak melakukan ke arah memperteguhkan ikatan perpaduan dan hidup berwasatiyah. 

Dari peringkat pemimpin dan ke bawah kita gagal melakukannya.

Paling malang sekali kita terlalu cenderung melihat dan menilai sesuatu perbuatan bukan atas sifat perbuatan itu tetapi siapa pelakunya. 

Contoh -seorang Melayu melakukan kemungkaran misalnya jenayah bunuh atau rasuah, tetapi kerana pelakunya Melayu maka ada sebahagian dari kita sanggup mempertahankan perbuatan itu, dengan berhujah bahawa 'dianya orang Melayu, dan mengapa kita dengki orang Melayu jadi kaya'.

Begitu juga saya percaya perkara yang sama dilakukan oleh bukan Melayu.

Kecenderungan seperti ini saya lihat berterusan dan semakin membimbangkan. 

Cuba kita renungkan kes kecurian di Low Yat. Perkaranya adalah kecurian. Ertinya pencuri itu mesti dilihat dari segi perlakuan mencuri itu dan bukan bangsanya. Begitu juga tuan punya barang yang dicuri, perlu dilihat dari segi barang jualannya dan bukan bangsanya.

Apabila kita melihat dari segi bangsa dan bukan perlakuan mencuri itu maka ianya mudah di manupulasi untuk dijadikan bahan bagi menimbulkan kebencian antara kaum sedangkan perlakuan mencuri itu adalah salah, di tinjau dan diukur dari mana-mana budaya sesuatu bangsa dan agama.

Dan penjual barang itu pula adalah dari bangsa yang tidak sama dengan si pencuri. Maka ada pihak mengambil kesempatan dengan mengatakan penjual barang itu melakukan penipuan atau menjual barang tiruan.

Maka disemarakkan perasaan benci antara kaum. Ianya amat merbahaya kepada perpaduan kaum. Maka seruan perpaduan kaum yang selalu dilakukan termasuk apa yang dibacakan oleh khatib tadi menjadi sia-sia saja.

Begitu juga tentang wasatiyah. Ianya sedap disebut tapi tidak banyak orang yang mempunyai sifat berwasatiyah dalam kehidupan masing-masing -sama ada dari segi sikap, pandangan, perhubungan antara kaum mahupun cara hidup. Dari barisan pemimpin sehinggalah ke bawah wasatiyah ini hanya keluar dari bibir saja, dan ada yang tidak faham maksud wasatiyah yang diperkatakan dalam al-quran.

Wasatiyah dalam al-quran jika diamalkan melayakkan diri orang itu kesaksiannya boleh dipercayai.

Dengan itu apabila khutbah yang saya dengar hari ini, membuatkan saya tersenyum sendiri. Tersenyum bukan kerana suka tetapi tersenyum   merasa malu pada diri sendiri. Sebab sebenarnya kita telah menipu pada diri sendiri, kapada bangsa dan mempermainkan agama suci kita. Kita lakukan lain dari apa yang kita cakap. 

Dan kita pula tidak malu-malu mempertahankan kerana yang melakukan perbuatan mungkar itu adalah orang kita, bangsa kita dan seagama dengan kita. Bahkan kita mempertahankan perbuatan mungkar itu kerana yang melakukannya itu orang satu parti politik dengan kita.

Jadi bagaimana saya boleh tidak tersenyum mendengar khutbah Jumaat hari ini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan