Theflowersellingboy

Ahad, 5 Julai 2015

Kenyataan Penafian dan Tindakan Yang Berkualiti Saja Yang Boleh Menyelamatkan Negara.




Majoriti cerita dalam media sosial ialah tentang laporan akhbar World Street Journal (WSJ) yang mendakwa penyaluran wang yang tidak sah ke dalam akaun peribadi PM. 
Maka berbagai pandangan , komen, gesaan serta desakan yang telah dikeluarkan sama ada yang tidak bersetuju dengan laporan tersebut atau yang mahu agar PM membuat kenyataan tertentu.
PM dengan segera menafikan kebenaran apa yang dilaporkan oleh WSJ. 
TPM pula telah mengeluarkan kenyataan agar siasatan dijalankan bagi mencari yang benar termasuk mengambil tindakan undang-undang.
Bagi saya apa saja kenyatan dan tindakan yang hendak diambil ianya mestilah yang berkualiti. Bermaksud dapat mencari dan memberi jawapan yang sebenar akan perkara yang dibangkitkan dan dalam masa yang sama memberi keadilan kepada pihak yang terlibat iaitu mereka yang mendakwa dan yang kena tuduh.
Kenyataan TPM itu adalah satu tindakan yang ada kualiti melainkan jika ianya hanya setakat cukup sedap dikata dan dikeluarkan tapi tidak ada tindakan susulan seterusnya.
Penafian PM adalah suatu tindakan yang wajar tapi tidak mencukupi. Ertinya kenyataan itu perlu disokong dengan kenyataan yang lebih meyakinkan misalnya memberitahu duduk sebenar dua akaun bank yang dikatakan kepunyaan peribadi PM yang menerima wang tidak sah itu. 
Adakah sebenarnya akaun-akaun itu wujud atas nama peribadi PM?  
Pihak bank pula membuat kenyataan mengesahkan kedudukan sebenar.
Cara seperti ini adalah satu cara yang ada kualiti dan boleh meyakinkan semua pihak.
Tapi ini tidak bermakna beban membuktikan terletak pada PM. Ianya masih pada pihak yang membuat tuduhan.
Maka tindakan undang-undang adalah satu lagi tindakan yang berkualiti. Mengheret kes ke mahkamah. Memberi peluang kepada yang menuduh untuk membuktikan bahawa apa yang dituduh itu adalah benar. Dan memberi peluang kepada yang kena tuduh mempertahankan segala tuduhan.
Kalau PM akhirnya didapati di pihak yang benar, nama baik beliau dan kepimpinan negara akan melonjak naik dimata rakyat dan masyarakat anatarabangsa. Terhapuslah krisis keyakinan. Dan ini baik untuk rakyat dan negara.
Rakyat mesti yakin dan orang luar juga mesti yakin. Mereka yakin bahawa negara kita diurus dan di pimpin oleh individu yang berwibawa yang tidak menyalahgunakan kedudukan dan kuasa bagi kepentingan diri dan kelangsungan parti politik dengan cara yang tidak beramanah.
Saya mengalu-alukan saman dibuat keatas akhbar berkenaan dan mana-mana pihak yang membuat tuduhan yang sama. Satu tindakan yang segera hendaklah dibuat oleh PM dan bank  yang berkaitan tentang dua akaun yang dilaporkan itu.

Dengan cara ini dapatlah diketahui pihak mana yang berada pada garis kebenaran. Hanya tindakan dan respons yang berkualiti saja yang mampu berbuat demikian.
Benarkah itu Akaun peribadi PM?

PM dan bank sendiri ada maklumatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan