Theflowersellingboy

Khamis, 23 Julai 2015

Penyangak, Perompak, Pencuri dan Penyamun




Penyangak, Perompak, Pencuri dan Penyamun? Siapakah gerangan mereka ini? 
 
Bagi saya mereka ini ada juga ciri-ciri tersendiri dan berbeza walaupun mereka ini adalah orang JAHAT.
 
Saya tidak akan berbicara tentang ciri-ciri yang berbeza yang mengasingkan mereka kerana pada akhirnya mereka adalah orang yang terkumpul dalam kategori orang JAHAT.
 
Dengan demikian saya hanya mahu berbicara tentang PENCURI.
 
Saya perlu ingatkan bahawa jangan mudah merasakan diri kita terlepas dari kategori sebagai pencuri.
 
Bagi saya, semua kita adalah pencuri atau sudah biasa melakukan pencurian. Ertinya tiada seorang dari kita yang terkecuali dari tergolong sebagai orang JAHAT. 
 
Secara mudah saya bahagikan dimanakah kedudukan kita di kalangan pencuri itu.
 
Pertama,  golongan sedikit jahat iaitu mereka yang  banyak buat baik dan sentiasa memperjuang dan mempertahankan yang baik tapi jarang-jarang buat jahat. 
 
Kedua, mereka yang melakukan perkara baik dan sentiasa menyebelah perkara-perkara yang baik tapi kadang-kadang melakukan perkara jahat. 
 
Ketiga, mereka yang buat jahat kerana ianya adalah perkara biasa, dianggap sebagai satu keperluan walaupun sedar bahawa ada dosa disebalik perbuatan jahat itu.
 
Di manakah kedudukan saya? Saya pasti saya bukan di kedudukan no.3. Dan berharap tidak juga di kedudukan no. 2. Saya harap berada di kedudukan no.1 kerana mustahil saya akan berada di kedudukan no.0 iaitu orang yang baik tidak pernah melakukan pencurian.
 
Bagimana dengan anda para pembaca sekalian? Sudah tentu anda dapat tahu kedudukan anda sendiri kerana selain dari Allah, anda sendiri tahu mengenai apa yang anda pernah dan mahu lakukan.
 
Mencuri? 
 
Ya, semasa kecil dulu, bersekolah rendah, dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumah, saya telah memanjat pokok jambu batu kepunyaan orang lain, tanpa izin tuan punya telah memetik dan memakan buah jambu itu. Sudah tentu ini kerja pencuri.
 
Anda faham maksud curi tulang? Saya juga telah melakukannya. Emak suruh angkat air dan penuhkan satu tempayan besar tapi saya cuma isi tiga suku saja. Itu namanya curi tulang. Pencuri juga kategorinya.
 
Satu lagi, berkaitan dengan tiket letak kereta. Jam ditangan menunjukkan 10.25 pagi, dan jika saya mahu meletak kereta, saya perlu menggores pada  ruang yang menunjukkan waktu 10.25 pagi, untuk berakhir sahlaku pada 11.25 pagi bagi tiket bertempoh satu jam.
 
Tapi apa yang jarang-jarang saya lakukan? Anda sudah dapat menekanya. Ya, saya menggores yang menunjukkan waktu 10.30 pagi untuk berakhir pada 11.30 pagi. Saya telah mencuri tempoh masa 5 minit.
 
Tempoh masa lima minit ini mungkin nampaknya terlalu pendek. Tapi implikasi tidak baik pencurian 5 minit ini tidak boleh diketepikan. 
 
Pertama , saya telah menutup peluang bagi orang lain yang perlukan ruang letak kereta pada waktu selepas 11.25 pagi misalnya pada pukul 11.30 pagi. Ini sudah tentu menyusahkan orang itu dan berkemungkinan menaikkan tekanan darah dan mempercepatkan denyutan jantungnya. Boleh kena strok.
 
Kedua, perbuatan saya itu telah merugikan tuan punya tempat letak kereta dari segi kutipan hasil.
 
Menurut pengalaman dan apa yang saya tahu setakat ini, mereka yang tergolong dalam kategori mencuri no.1 dan no. 2 biasanya mudah saja menerima hukuman. 
 
Cara pencuriannya tidak canggih, mudah saja dapat dikesan dan diperangkap. Kerja mencuri adalah kerja yang jarang-jarang atau kadang-kadang dilakukan. Banyak masa ditumpukan kepada kerja yang baik-baik. Ertinya mencuri itu adalah kerja yang luar dari biasa.
 
Pencuri kategori no.3, adalah pencuri tegar. Kerja mencuri dianggap perkara biasa dan sudah menjadi satu keperluan dan dibudayakan. Namun begitu mereka juga sentiasa memperkatakan bahawa kerja mencuri itu adalah kerja yang tidak baik dan perlu dihindar, bahkan bersetuju jika yang mencuri itu dikenakan hukuman.

Pendirian orang kategori ini nampaknya bercanggah iaitu melakukan pencurian tapi tidak bersetuju kerja itu dilakukan. 
 
Secara sepintas pandang begitulah nampaknya. Namun pendirian itu boleh diubahsuai atau boleh diketepikan apabila kepentingan diri/institusi/kelompok diutamakan mengatasi soal dosa dan pahala.
 
Pencuri kategori ini tidak mudah dikesan dan diperangkap. Ilmu mencurinya tinggi dan kaedah melakukan pencurian itu pelbagai dan tempat menjalankan operasi juga diistihar dan diakui bebas dari siasatan dan tertakluk kepada perundangan yang diterima pakai.
 
Mereka juga mempunyai jaringan hubungan yang luas serta rahsia, disokong pula dengan daya kreativiti perakaunan (creative accounting) bagi tidak menampakkan kerja jahat itu sebagai kerja mencuri melalui  penggunaan berbagai akaun sebagai akaun transit sebelum hasil pencurian itu terkumpul ke dalam satu akaun utama.
 
Ada sebahagian dari mereka yang telah dikesan dan telah ada bukti yang jelas melakukan kesalahan, juga tertakluk kepada undang-undang dan boleh didakwa dan dihukum jika sabit kesalahan.
 
Tapi ada juga dikalangan mereka ini yang kebal dari peraturan dan undang-undang.
 
Walaupun mereka ini boleh atau sudah dikesan -telah ada bukti yang jelas melakukan pencurian, jangan diharapkan mereka mudah untuk dikenakan hukuman berbeza dengan kategori no.1 dan no.2. 
 
Apa pun, kita perlu mengakui bahawa kita semua adalah juga  pencuri -pernah menjadi pencuri. 
 
Apakah kita juga seorang penyangak, perompak atau pun penyamun atau kesemuanya. Kita sendiri yang mampu menjawab. 
 
Saya bukan penyangak, bukan juga perompak tidak juga penyamun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan