Theflowersellingboy

Sabtu, 25 Julai 2015

Bai'ah Calun Pilihanraya PAS




Maklumat yang diperolehi setakat ini melalui berbagai laporan tentang bai'ah yang perlu dibuat oleh calun pilihanraya PAS adalah seperti berikut:

i) Bai'ah di lakukan oleh mereka yang dipilih menjadi calun pilihanraya. Setakat ini mereka itu terdiri dari calun lelaki. Tidak ada maklumat tentang calun perempuan. Mungkin ada bai'ah juga.

ii) Isi kandungan bai'ah tidak standard antara negeri. Kelantan mensyaratkan jatuh cerai talak tiga jika calun itu keluar parti. Tidak pula diketahui sama ada calun yang menang atau yang kalah.

iii) Pendapat berbeza di kalangan anggota masyarakat tentang jatuh cerai talak tiga itu, termasuk dikalangan yang berautoriti agama, misalnya hakim dan mufti.

Bai'ah secara amnya mengikut kefahaman saya adalah  sebagai janji taat setia dari satu pihak dengan pihak yang lain. 

Janji itu dilakukan bagi mendapatkan sesuatu yang memang dihajati atau yang berharga pada penilaian orang itu dengan menawarkan atau perlu menawarkan sebagai balasan sesuatu pemilikannya yang juga berharga sebagai tanda bahawa taat setia itu bukanlah satu taat setia yang dibuat secara main-main, ianya serious dan ada risiko yang perlu ditanggong. 

Ada hal atau sesuatu yang disayangi dan amat berharga akan menjadi korban jika bai'ah itu tidak dipatuhi.

Bai'ah itu adalah janji. 

Dalam politik PAS, janji itu dipanggil bai'ah. 

Seperti dengan janji-janji lain yang kita fahami dan lakukan, sifatnya tidak berbeza. Ada perkara atau benda yang kita hajati dan ada perkara atau benda yang kita miliki atau punyai yang perlu atau terpaksa kita beri, sedia atau tawarkan sebagai balasan untuk mendapatkan apa yang kita hajati. 

Dan jika berlaku perlanggaran janji itu misalnya gagal membayar ansuran hutang, dalam kes janji mendapat pinjaman dari bank atau institusi kewangan, balasan yang kita telah tawarkan atau cagarkan itu boleh dirampas atau dimiliki oleh bank/institusi kewangan itu. Itulah hukuman yang perlu dihadapi. Sama dengan apa yang akan dihadapi oleh calun pilihanraya PAS jika keluar parti iaitu melepaskan haknya -isteri jatuh talak tiga. 
  
Dalam janji biasa balasan yang itu dipanggil sebagai cagaran atau koloteral.

Ertinya balasan dalam bai'ah PAS itu tidak ada bezanya dengan, ianya juga sebagai cagaran/koloteral.

Menjadikan isteri sebagai cagaran/koloteral?

"Biar betul? Ini kerja gila!"

Mungkin itu yang terhambur dari mulut sebahagian dari kita. 

Saya fikir sebahagian besar dari bukan ahli PAS akan berkata seperti itu. Mungkin ada juga ahli PAS menyatakan perkara yang sama.

Gila atau siuman , betul atau batil, ianya satu realiti yang telah berlaku dan diamalkan oleh PAS Kelantan. Difahamkan telah lama dipraktikkan.

Dalam politik termasuk politik PAS mana ada definasi yang kekal dalam sesuatu hal dan perkara. Ianya boleh berubah, paling tidak ianya boleh diubahsuaikan, kalaupun tidak sepenuhnya diubah.

Contoh, jika anda masih ingat pada suatu ketika dulu termasyhur akan satu AMANAT -AMANAT HAJI HADI. Orang UMNO adalah kafir, secara ringkas itulah maksud amanat itu. 

Sekarang, terutama setelah bercerai dengan PR atau PR telah masuk kubur, UMNO bukanlah lagi dimaksudkan seperti dalam amanat itu. Bahkan kepimpinan UMNO yang melakukan rasuah dan salah gunakuasa, ada kalangan PAS segera mempertahankan.

Dulu, pada suatu ketika duluuuu, DAP adalah parti yang tidak wajar didekati dan dijadikan sahabat oleh PAS.

Dulu, dulu yang baru dari duluuuu, DAP adalah sahabat seperjuangan, duduk semeja boleh berunding, bermesyuarah atas dasar tahaluf siyasi bagi menumbangkan UMNO/BN yang diiktiraf sebagai musuh ketat.

Sekarang dan beberapa purnama yang berlalu, DAP sudah jadi musuh ketat, tidak boleh lagi bersama sedangkan matlamat PAS seperti yang selalu diulang sebut adalah untuk menumbangkan UMNO/BN.

Musuh PAS sekarang, kononya UMNO/BN, dan DAP serta yang bersama dengan DAP sebagai musuh tegar, yang sebenar.

Itulah pegangan sebuah parti politik termasuk PAS dalam mendifinasikan sesuatu hal, perkara dan keadaan sebagai kaedah operasi untuk mendapatkan kuasa walaupun ada dikalangan pimpinan PAS mengatakan kuasa bukan matlamat tapi redha Allah adalah matlamat parti itu. 

Anda jangan pula ketawa terbahak-bahak apabila mengetahui dan mendengar kenyataan seperti ini. 

Jangan gatal mulut untuk bertanya, "Mengapa masuk bertanding, dan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu yang parti itu hajati jika tiada kuasa dalam sebuah sistem demokrasi yang penentuan memiliki kuasa dan membentuk kerajaan adalah berdasarkan kepada menang majoriti?"

Sebab, PAS sudah ada jawapan, "Kami cari keredahaan Allah". Terkedu anda dibuatnya.

Dengan demikian apa saja perkara, hal dan kepunyaan boleh dijadikan syarat bai'ah oleh PAS walaupun syarat itu ada yang mengatakan syarat orang tidak siuman. 

Bagi saya, kedua-dua pihak iaitu yang membuat janji dan yang menerima janji adalah tidak siuman. 

Seorang suami sanggup mencagarkan isteri demi satu kedudukan politik? 

Sebuah parti politik yang kononnya asas perjuangan antara lain termasuk untuk  mempereratkan ukhwah dan ikatan persaudaraan sanggup mengenakan syarat cerai talak tiga bagi membolehkan ahlinya bertanding!

Ertinya lafaz nikah ahli PAS yang mahu bertanding sepatutnya memasukkan syarat ini. Beres, tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya.

Ertinya juga, tempoh hayat sebuah rumah tangga ahli PAS yang bertanding telah ditentukan. Keluar PAS, bercerai talak tigalah kamu.

Tentang sah atau tidak sah syarat itu, terdapat hukum yang berbeza. Ada pihak yang kata sah dan ada yang sebaliknya. (Saya gunakan perkataan hukum kerana  yang membuat kenyataan adalah dari ketua hakim syarie dan mufti -mereka yang ilmunya tinggi dari segi agama Islam, dan ada otoriti).

Jika demikian, ianya menjadi celaru dikalangan orang awam, yang mana satu pegangan yang perlu diikuti.

Namun begitu, saya berpendirian bahawa sesuatu syarat yang hendak ditawarkan dan diletakkan itu mestilah berdasarkan kemampuan sipembuat janji dan keikhsanan penerima janji. Ianya tidak memudaratkan dan merosakkan keutuhan sebuah struktur hidup bermasyarakat dan beragama.

Apakah cerai talak tiga itu lebih penting bagi sang suami demi satu kedudukan politik? Soalan itu sepatutnya ditanya oleh sang suami.

Jika sang suami telah bertanya soalan seperti itu dan berpuas hati untuk risiko sebuah rumah tangga maka jelas lelaki itu sebenarnya bukan mahu menjadi seorang suami. 

Adakah mensyaratkan cerai talak tiga, satu bentuk ikhsan dari sebuah parti politik demi mengikat ahli yang bertanding kekal dalam parti? Sepatutnya soalan ini didahulukan sebelum mengenakan syarat seperti itu.

Jika parti itu menjawab soalan tersebut dan bersetuju ianya satu ikhsan maka parti itu bukanlah sebuah parti yang benar benar mahu memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan tapi lebih cenderung ke arah pecah belah dan merosakkan.

Saya juga tertanya-tanya adakah syarat yang sama dikenakan kepada wanita PAS yang mahu bertanding -cerai suami talak tiga jika keluar parti. 

Jika PAS mengamalkan konsep konsisten dan adil sepatutnya syarat yang sama dikenakan. Dan jika syarat yang sama dilakukan, ada soalan yang akan ditanya.

Perempuan menceraikan suami dengan talak tiga? Biar betul, suara kehairanan dan perasaan pelik saya pula terhambur.

Saya juga ingin bertanya: 

i) Adakah perceraian yang halal dan dibenci Allah itu merupakan syarat terbaik sebagai jalan atau cara yang dipilih untuk menghalang ahli keluar parti? 

ii) Adakah setakat itu kemampuan daya fikir ahli PAS, yang selalu diwarwarkan sebagai parti pimpinan ulama', dalam memilih jalan keluar bagi mengatasi keluar parti bagi calun yang bertanding?

iii) Adakah syarat cerai talak tiga itu terpakai untuk semua calun yang bertanding tanpa kira calun itu kalah atau menang.

Tapi kalau ikut logik syarat sesuatu perjanjian misalnya pinjaman bank, hanya mereka yang berjaya saja yang terkena syarat itu. Oleh itu saya andaikan, mereka yang kalah tidak akan tertakluk pada syarat itu.

iv) Adakah PAS mempunyai manual standard operasi yang berbeza diantara negeri. Yang diketahui setakat ini hanya Kelantan saja yang meletakkan syarat itu.

Akhirnya bagi saya bukan soal sah atau tidak syarat cerai talak tiga itu yang perlu diselesaikan atau difikirkan oleh semua orang khususnya orang Islam tapi adakah syarat itu diberi atau ditawar dengan rela hati dan ada sifat ikhsan dari pihak yang mengenakan syarat.

Soal rela hati ini juga perlu ditanya lagi. 

Adakah sang suami itu rela hati menceraikan isterinya demi satu kedudukan politik. Jika jawabnya, 'ya', bagi saya dia tidak layak dipanggil sebagai suami, dia hanya seorang lelaki yang rakus yang mana kewujudannya semata-mata hanya untuk memuaskan nafsu serakah secara bertempoh.

Wallahulam. Allah saja yang maha mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan