Theflowersellingboy

Sabtu, 25 Julai 2015

Membawa Bingkisan Menuju Satu Destinasi: Siapakah Gerangan Yang Empunya Bingkisan Itu




Saya ada beberapa persoalan yang mencabar minda anda untuk menjawab berpandukan kepada cerita dalam paparan dibawah ini.


Ada tiga pengembara A, B dan C, masing-masing diberi tugas untuk membawa satu bingkisan. Bingkisan yang amat berharga, menuju kesatu destinasi yang sama. 

Setiap bingkisan ada kod rahsianya agar tidak mudah untuk dikesan, digodam ataupun dicuri, untuk selamat sampai ke destinasi yang telah ditentukan.

A menggunakan jalan yang berbelit-belit melibatkan beberapa persinggahan (transits) dengan harapan dan kepercayaan bahawa jalan yang berbeli-belit ini tidak mudah dikesan. 

Pilihan cara begini dalam membawa satu bingkisan yang amat berharga telah dirancang begitu teliti, dan menjadi asas utama yang menyebabkan A dipilih memikul tugas dan tanggungjawab membawa bingkisan itu.

Tapi B dan C memilih jalan mudah, jalan dari titik ke titik (point to point) tanpa berhenti kerana berhujah apa perlu singgah menyinggah sedangkan destinasi sudah pasti, tidak perlu buang masa kerana masa itu amat berharga, dan bingkisan yang dibawa pun amat tinggi nilai gunanya, tidak wajar dilewat-lewatkan ketibaannya.

Hujah B dan C ini juga telah memenangkan mereka untuk diberi tugas melakukan perkara yang sama.

Walaupun kaedah untuk sampai ke destinasi itu berbeza dan sama (A secara transit , B dan C secara terus titik ke titik) tetapi kenderaan yang digunakan bagi mengangkut bingkisan itu adalah tetap sama jenisnya cuma ianya tidak bermula dari tempat yang sama.

Mereka menggunakan pesawat terbang kerana melibatkan rentasan antara bangsa.

Cuba berikan jawapan i) Apakah bendanya bingkisan yang berharga itu. ii) Berapa nilainya menurut ukuran nilai wang (gunakan nilai ringgit. Anda mesti mempunyai ilmu dalam pertukaran matawang dan kadar pertukaran). Dan iii) Siapakah yang akan menerima dan memiliki bingkisan itu.

Perjalanan A bermula dari tempat yang menggunakan kod SR211xxx. (xxx yang tiga ini adalah terdiri dari huruf dan angka  yang rahsia untuk tidak mudah dikesan dan digodam).

Bermula dari destinasi itulah, A terbang bersama dengan bingkisan yang diletak di tempat duduk A, dicelah diantara peha kiri dan kanan, dikepit rapat-rapat dengan kedua-dua belah tangan diletakkan diatas bingkisan itu. Kedua-dua mata A sentiasa berwaspada, lagak seperti closed-circuit tv.

Apabila sampai saja ke satu transit yang rahsia berkod GM888xxx , A  membawa turun bingkisan itu dengan penuh waspada dan cermat untuk mengambil pesawat penerbangan yang lain pula.

Fakta cerita dari agensi penyiasat antara bangsa  mengesahkan bahawa bingkisan yang dibawa itu adalah terdiri dari sebuah kotak yang didalamnya terisi tiga bungkusan yang berharga. Bungkusan-bungkusan itu dimasukkan pada tarikh yang tidak sama dan satu daripadanya pada tahun yang berbeza. Nilai harganya juga tidak sama. Fakta cerita, jika wang dijadikan sebagai ukuran nilainya mencecah 50 juta ringgit.

Woi banyaknya tuuu...jika anda hanya biasa dengan sebutan sesen dan singgit.

Ucapan terima kasih perlu diucapkan kepada penyiasat antara bangsa yang dapat memberi fakta cerita bagi satu operasi yang rahsia.

Sungguh hebat kerja agensi penyiasat antara bangsa ini kerana dapat mengesan dan menggodam cara modus operandi A yang telah dirancang begitu lama dan rapi. 

Mungkin A bukan orang Melayu atau tidak tahu budaya orang Melayu. Kalau dianya Melayu mesti A sudah tahu bahawa tupai yang pandai melompat itu, tidak pernah lupakan tanah -tempat jatuh ( tanah) lagi dikenang. 

Baik, lupakan dulu agensi penyiasat yang bijak bistari itu.

A sebenarnya tidak sedar bahawa modus operandinya sudah dikesan, dan fakta telah sempurna dikumpulkan oleh agensi penyiasat antara bangsa itu. 

Dengan demikian A meneruskan perjalanan ke satu lagi destinasi berkod rahsia IP106xxx membawa bingkisan yang ditugaskan kepadanya, dengan selamat.

Di destinasi berkod IP106xxx ini, disatu ruang awam dan berprivasi, dalam sebuah tandas, A membuka bingkisan ini walaupun dia tahu bilangan bungkusan yang ada masih tetap tiga dan nilainya juga tidak berkurangan. Sikap A ialah berawas lebih baik dari berleka dan sambil lewa dengan ambil mudah saja -don't take thing for granted.

Setelah pasti bilangan bungkusan tetap tiga dan nilainya tidak berkurangan ianya memberikan keyakinan yang kuat kepada A untuk menambahkan lagi bilangan bungkusan. Tetapi dia ambil langkah berhati-hati tidak memasukkan  sekali gus bungkusan-bungkusan itu pada waktu yang sama. 

Dia teringat masa belajar dulu akan tiori portfolio dalam melabur dipasaran saham walaupun tidak sepenuhnya sesuai untuk diapplikasikan. 

Yang penting semangat tiori itu - pelbagaikan porfolio. Dia teringat akan kata-kata professornya,  "jangan meletakkan telur dalam satu bekas,  dikhuatiri semuanya akan pecah jika bekas itu jatuh ke tanah'. 

Dalam hal memasukkan bungkusan itu, jangan masukkan bungkusan yang berharga itu pada hari yang sama dikhuatiri jika ada yang dapat mengesan dan terus merompak/merampas berputih matilah A nanti. Gagallah missinya.

Mengambil semangat tiori itu sebagai panduan maka A memasukkan bungkusan itu pada tarikh yang berbeza. Terdapat tiga bungkusan juga. Dua dimasukkan pada tarikh yang yang berbeza tapi tahun yang sama dan satu pada tahun yang berbeza.

Nilai bungkusan menurut fakta yang telah dicuri  oleh penyiasat antara bangsa, adalah sebanyak 42 juta.

Macam mana? Tidak ada woiii....bermakna anda sudah biasa dengan sebutan ini. Lagi pun kali ini nilainya kurang 10 juta.

Kalau diteliti betul-betul modus operandi A ini, kita dapati dia perlu berada disatu tempat/destinasi melibatkan dua tahun masehi. Saya percaya tindakan ini adalah satu tindakan yang berhati-hati berancang dan terancang, demi keselamatan bingkisan itu untuk sampai ke destinasi.

Kemudian setelah dipasti semuanya ok, selamat, A ke destinasi terakhir yang berkod rahsia AB211xxx membawa satu bingkisan dengan muatan 6 bungkusan didalamnya bernilai 92 juta ringgit.

Woiiii banyaknya tuuuu...anda mula bersuara dan tercengang hairan. 

Anda sebenarnya bukan orang yang penyabar, terlalu cepat buat kesimpulan kerana fakta cerita belum habis lagi. Cara anda ini amat emosional sekali, ianya boleh mempengaruhi fikiran anda dalam memberikan jawapan. Jawapan orang yang emosional, biasanya tidak tepat.

Anda perlu ikuti fakta cerita B dan C dalam membawa bingkisan menuju destinasi untuk membantu anda memberi jawapan yang tepat.

Tapi jangan risau, usah juga putus asa, kerana agensi penyiasat antara bangsa akan menyuapkan fakta cerita itu.

Perjalanan B dan C ini terlalu cepat, terus tidak ada singgah menyinggah.

B memulakan operasi pernerbangannya pada lokasi rahsia berkod FBSBxxx dengan membawa satu bingkisan juga. Tetapi agensi penyiasat antara bangsa tidak dapat menyatakan bilangan bungkusan dalam bingkisan itu. 

Ia hanya dapat mengesahkan nilai yang terdapat dalam bingkisan itu. Itupun secara tidak terperinci, dengan merangkumkannya kepada satu nilai yang mudah diingat. 

Ertinya tiada billion, juta, ribu, ratus dan sen. Agensi itu hanya menyuapkan fakta bahawa nilai bingkisan yang dibawa itu sebanyak lebih dari USD 600 juta  saja. 

Dengan izin Allah perjalanan B sampai dengan selamat ke destinasi yang dituju. Bingkisan itu dapat diserahkan.

C pula dengan kaedah yang sama tetapi mengambil pesawat dari lokasi rahsia berkod TF505xxx dengan membawa bingkisan yang dinilai oleh agensi penyiasat sebanyak lebih dari USD 60 juta.

Tidak pasti mengapa agensi menyuapkan fakta nilai bingkisan yang di bawa oleh B dan C itu berdasarkan nilai wang USD. Saya hanya boleh meneka, mungkin disebabkan nilai tukaran matawang kita selalu berubah ke arah menyusut.

Namun begitu jumlah nilai 2 bingkisan ini adalah sebanyak lebih dari USD 660 juta.
  
Saya tanya: banyak tak? 

Kalau campur dengan bingkisan A macam mana? Banyak bukan?

Tiada woiii lagi?

Mengapa kelu lidah untuk berkata-kata. Ia cuma bingkisan saja. Jangan ambil peduli tentang nilainya kerana walaupun anda kata banyak ianya tidak juga diberikan kepada anda. Bingkisan itu  sudah ada yang punya.

Ya, jangan ambil peduli berapa nilai kandungan bingkisan-bingkisan itu. Usah juga difikirkan apa benda yang terkandung dalam bingkisan itu. Anda hanya perlu menjawab bingkisan-bingkisan itu untuk siapa untuk memilikkinya.

Anda dikecualikan untuk menjawab 2 dari tiga soalan seperti yang dinyatakan pada awal paparan.

Jika anda dapat menjawab dengan tepat, anda layak untuk jadi pengundi pada pilihanraya yang akan datang. 

Jika gagal menjawab dengan betul, anda jangan kecewa, anda juga layak menjadi pengundi tetapi anda mesti sentiasa berawas ketika itu kerana bingkisan yang mermatlamat serupa juga, besar kemungkinan akan tiba. Ketika itu ambil peluang untuk memilikinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan