Selepas pilihanraya ke 13 ini ada beberapa perkataan dan rangkai kata atau ayat yang sering digunakan sebagai perisai. Perisai bagi melindungi ketidakaturan dalam sesuatu urusan yang telah memberi keuntungan kepada pihak yang mempertahankan ketidakaturan itu.
Pendek kata perbuatan mereka itu boleh diumpamakan sebagai menyorok diri disebalik sehelai daun yang kecil, lagi sudah kering dari dilihat oleh anggota polis. Hasilnya, bukan saja polis yang bersifat investigatif itu, apa jenis nyamuk pun akan mudah mencari orang yang menyorok itu, lalu ditangkap atau digigitnya.
Pendek kata perbuatan mereka itu boleh diumpamakan sebagai menyorok diri disebalik sehelai daun yang kecil, lagi sudah kering dari dilihat oleh anggota polis. Hasilnya, bukan saja polis yang bersifat investigatif itu, apa jenis nyamuk pun akan mudah mencari orang yang menyorok itu, lalu ditangkap atau digigitnya.
Perkataan-perkataan perisai itu ialah takdir, redha dan menderhaka.
Apabila mempertahankan keputusan pilihanraya ke 13 maka dibinalah rangkai kata dan ayat yang antara lain, 'kita perlu redha' dan 'kekalahan atau kemenangan itu telah ditakdirkan, terima saja'. 'Yang penting kita mahu maju ke depan', sambung setengah pihak yang lain.
Baru-baru ini, apabila memperkatakan tentang ucapan YDPA dalam sidang parlimen, maka ada pihak memperingatkan agar keputusan pilihanraya itu hendaklah diterima kerana perkara itu terdapat dalam ucapan YDPA. Maka jika ada yang mempunyai pandangan yang berbeza dari yang diucapkan oleh YDA, misalnya tidak mempunyai pendirian yang sama tentang keputusan pilihanraya itu, ia dianggap sebagai tidak akur dengan apa yang diucapkan. Dan dengan demikian ianya bersifat menderhaka dan menghina.
Bagi saya jika seruan itu diterima tanpa diusul periksa, tanpa disemak asas-asas yang memberi kemenangan kepada BN (khususnya UMNO) ianya amat malang sekali bagi masa depan negara. Begitulah kecewanya perasaan saya.
Semalam, saya nyatakan bahawa saya sedia terima sebagai takdir jika monyet dan kawan-kawannya datang mengokah buah mangga, pokok tanaman saya. Saya tidak kecewa. Hati saya tidak terusik langsung kerana beruk itu hanya binatang yang mempunyai akal fikiran yang lebih rendah dari kita manusia. Saya hanya berkata sudah takdir jadi begitu. Dan saya redha menerimanya.
Tetapi bukan pilihanraya yang penuh dengan tanda tanya?
Berbalik kepada isu menderhaka tadi, saya bertanya pada diri sendiri bahawa jika demikianlah hukumnya, mengapa perlu dibentangkan ucapan itu bagi tujuan perbahasan? Bukankah lebih baik serta tidak membuang masa ucapan itu tidak dibentang untuk perbahasan?
Ada pula pihak yang bermain dengan kata-kata bahawa perbahasan keatas ucapan itu bukanlah hal yang dipertikaikan. Ucapan itu boleh diperbahaskan.
Tapi pada masa yang sama, pihak berkenaan dengan menyusun kata-kata dalam soalan yang bertujuan untuk memerangkap pihak yang berbeza pandangan, telah menimbulkan soalan antara lain:
i) Adakah pihak yang tidak bersetuju dengan ucapan itu mahu memberi gambaran bahawa YDA membaca perkara yang YDA tidak faham.
ii) YDA terpaksa membaca.
iii) YDA tidak boleh tidak bersetuju dengan teks ucapan itu.
iv) Menggambarkan kata-kata yang memperbodohkan si penyampai ucapan.
Bahawa tidak ada mana pihak menuturkan seperti itu atau mahu memberi gambaran seperti itu. Perbahasan adalah atas dasar Raja Berpelembagaan iaitu satu perbahasan keatas ucapan yang disediakan oleh Kerajaan yang memerintah yang disampaikan oleh YDA.
Saya tidak tahu niat yang tersirat dalam hati pihak yang bertanya itu sama ada ada niat jahat yang mahu menimbulkan kekeliruan dengan harapan akan berlaku pergeseran antara pihak pembangkang dengan YDA khususnya dan institusi raja-raja Melayu amnya atau apa saja yang tersirat dalam hatinya. Allah saja yang maha mengetahui.
Tapi yang saya tahu ialah soalan seperti itu tidak wajar datang dari seseorang yang berkedudukan sebagai ahli parlimen yang dipilih rakyat. Rakyat memilihnya ialah kerana mengharapkan antara lain beliau berhujah dan berbahas dengan mengemukakan berbagai idea dan pandangan demi kebaikan rakyat dan negara. Maknanya apabila beliau membahaskan ucapan YDA itu nanti sudah tentu beliau tidak akan berkata " Saya bersetuju dengan apa yang dititahkan oleh YDA. Sekian saya menjunjung kasih".
Tapi kalau itu yang mahu diucapkan atau maksud yang hendak disampaikan dan percaya itulah yang sebaik-baik cara dalam kaedah perbahasan keatas ucapan YDA, tiada apa-apa yang perlu saya risaukan kerana beliau telah mengelak diri dari 'menderhaka'.
Yang saya sangat-sangat risau ialah kata-kata dibawah ini yang menjadi pegangan dan kepercayaan setengah pihak yang dijadikan sebagai perisai bagi mengesah dan melangsungkan kecurangan :
"Maka terimalah takdir kekalahan dalam pilihanraya dengan penuh redha kerana yang penting kita maju ke hadapan".
"Soal ketidakaturan pengurusan dan perlaksanaan pilihanraya dalam berbagai bentuk dan cara seperti penipuan, daftar pemilih yang cacat, rasuah dan lain-lain kecurangan tidak wajar mengatasi takdir yang ditetapkan".
"Ingat, kita sentiasa redha dan jangan sekali-kali menderhaka".
Kenapa saya sangat-sangat risau?
Saya tidak mahu saya dan orang Melayu khususnya pada suatu hari nanti menjadi tidak siuman dan tidak cerdik . Apabila itu berlaku maka saya akan mengutip sehelai daun kering yang kecil untuk melindungi wajah saya dari dikenali oleh polis yang memburu saya diatas kecurangan yang saya lakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan