"Masih dalam perjalanan. Sudah menghampiri 65 kilometer. Belum sampai ke perhentian. Berapa jarak jauh perhentian , tidak dapat di pastikan. Tapi sampai tetap sampai juga. Destinasi sememangnya sudah diketahui . Cuma jarak jauh belum pasti. Hanya ada tanda-tanda biasa bahawa perjalanan itu tidak mungkin mencecah 100 kilometer. Dan diharapkan juga perhentian tidak sejauh itu.
Biarlah perjalanan ke perhentian itu diiringi dengan doa yang penuh dengan kasih sayang anak-anak dan cucu. Biarlah perjalanan itu menimbulkan rasa kesyukuran serta kesabaran atas segala nikmat dan ujian".
Begitulah catatan dari sebuah diari lama tahun 1980.
Waktu itu umur sipencatat dairi belum memasuki 65 tahun. Kurang dua bulan baru cukup 65 tahun. Waktu itu 18 hb Jun. Bermakna pada 18 hb Ogos, 1980 genaplah umur si pencatat diari itu 65 tahun.
Tertarik juga akan kata-kata yang dicatatkan walaupun mesej dan maksudnya mudah difahami.
Bahawa perjalanan 65 kilometer itu adalah usia pencatat yang menghampiri 65 tahun. Destinasi yang pasti itu adalah kematian. Cuma dia tidak tahu bila masa ajalnya sampai. Kitapun tidak tahu bila ajal kita.
Dia tidak mengharapkan untuk hidup lama sehingga 100 tahun misalnya. Dan dia percaya tidak mungkin sampai sejauh itu berdasarkan 'tanda-tanda biasa'.
Ada dua harapan yang jelas sipecatat itu nyatakan. Pertama mengharapkan kasih sayang dari anak-anak dan cucu agar sentiasa mendoa kepada Allah memohon kesejahteraan dan keampunan untuknya. Kedua, dia mengharapkan baki-baki kehidupannya itu diteruskan dengan rasa syukur atas nikmat yang diberi dan sentiasa dapat bersabar akan segala rintangan, masalah dan kesusahan yang dihadapi.
Saya tertarik dengan catatan itu atas dua hal iaitu i) tanda-tanda biasa, dan i) harapan yang dicatatkan oleh penulis diari itu.
Berbanding dengan usia si pencatat semasa membuat catatan dengan usia saya ketika ini ianya menambahkan lagi rasa kepunyaan terhadap catatan ini, seolah-olah saya yang mencatatkannya. Begitu juga harapan yang dinyatakan adalah harapan dari semua ibubapa terhadap anak-anak dan cucu,jika sudah ada cucu.
Apa kah yang dimaksudkan dengan tanda-tanda biasa dalam baki perjalannya itu?
Usia tua, sudah tentu satu daripadanya. Apa lagi?
Kesihatan tubuh badan dan akal fikiran yang menurun.
Semakin kita berusia, ketahanan fizikal kita akan menurun. Umpama kita sebuah kereta, waemah kereta mercedez sekali pun semakin tua/lama semakin tidak mampu bergerak laju. Naik bukit yang tidak tinggi pun seperti perjalanan kereta lembu- 'sejam sebatu batu ', meminjam lirik sebuah lagu enam puluhan berjodol 'Kereta Lembu' yang dinyanyikan oleh Helen Vellu.
Kereta lama selalu rosak. Orang lama/berusia selalu atau mudah dapat sakit. Kereta masuk woksyop, orang tua masuk hospital. Dua-dua kena keluar belanja.
Kecergasan mental pun menurun. Bacalah/tontonlah/dengarlah berulang kali sebuah cerita atau berita atau apa saja, ianya tidak lama melekat dalam otak untuk diceritakan kembali. Mudah hilang dan lesap dari entah ke mana. CPU sudah kurang berkesan atau tidak dapat berfungsi dengan baik.
Yang paling teruknya ialah cerita atau berita yang telah diberitahu dalam tempoh tidak sampai satu minit akan ditanya lagi. Diulang tanya sehingga bukan saja kadang-kadang tetapi selalunya membuatkan orang yang memberi tahu cerita atau berita itu jadi hilang sabar. Maka ada yang menaikkan suara, marah, disebabkan banyak kali perkara yang sama ditanya.
Itulah nyanyuk namanya.
Apabila fizikal sudah lemah dan apabila sudah sampai ke peringkat nyanyuk, apakan diharap kepada diri sendiri. Mahu bangun, mesti dibantu, makan disuap, kencing dan berak ikut suka sendiri dan dimana sempat, dan segala-galanya kembali seperti anak kecil.
Seorang bayi tidak boleh melakukan sendiri. Semua diuruskan oleh yang lebih tua misalnya ibu bapanya. Seorang yang telah berusia, yang telah nyanyuk memerlukan orang lain menguruskannya misalnya anak atau cucunya.
Sudah tentu orang tua itu perlu diuruskan seperti dianya dulu menguruskan anak-anaknya.
Anak menangis waktu malam, dia (orang tua) lah yang memujuknya walaupun mata mengantuk. Tidak kira waktu, tidak kira apa yang terjadi, semuanya diuruskan demi kasih sayang pada anaknya.
Maka setelah dia berusia tidak berdaya, ditambah pula nyanyuk tidak tahu satu apa, seperti anak yang baru dilahirkan , anak-anak dan cuculah yang wajib melakukan untuk situa itu.
Sekarang fahamlah kita mengapa pencatat diari tidak mahu sampai usia 100 tahun. Bahkan dia tidak yakin untuk mencapai usia itu.
Usia yang semakin tua apatah lagi mencecah 100 tahun adalah usia nyanyuk. Usia itu adalah usia dimana kemampuan fizikal sudah terlalu berkurangan. Semuanya mengharapkan orang lain.
Persoalannya adakah yang menguruskannya nanti mempunyai tahap kesabaran dan kasih sayang seperti yang dilakukan oleh seorang ibubapa terhadap anak-anak dan cucu?
Si pencatat diari itu tidak mengharapkan begitu. Dia tahu dan sedar bahawa dia juga tidak dapat melakukannya seperti yang dilakukan oleh kedua ibubapanya terhadap dirinya. Sebab itu, sementara dia masih lagi belum nyanyuk, masih lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk menguruskan diri sendiri, dia menulis sebuah catatan menyatakan harapannya.
Apa yang tersirat dalam harapannya itu ialah bahawa dia tidak mahu menyusahkan anak-anak dan cucu. Tidak mungkin anak-anaknya boleh melakukan seperti yang telah dilakukan terhadap anak-anaknya. Dan dia juga tidak dapat melakukan seperti apa yang telah dilakukan oleh ibubapanya terhadap dirinya.
Oleh itu dia mengharapkan untuk sampai ke perhentian pada jangka waktu tidak sampai ke peringkat dia diuruskan oleh orang lain dalam perjalanannya ke perhentian itu. Dalam lain perkataan dia tidak mahu anak-anaknya menanggung dosa disebabkan hilang sabar dari segi perbuatan dan kata-kata terhadapnya semasa menguruskannya nanti , dalam perjalanan yang berbaki itu.
Dia tidak mengharapkan usia yang panjang. Dia hanya mengharapkan doa dan kasih sayang anak-anak serta cucunya saja.
Begitulah pemahaman saya keatas catatan dari sebuah diari tahun 1980.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan