Anda suka bersih? Cantik? Bau yang wangi?
Saya percaya itulah yang anda sukakan. Saya suka bersih, cantik dan wangi.
Bagi saya ketiga-tiga ini saling berkaitan. Apabila dikatakan bersih ianya membawa sama ciri-ciri cantik dan wangi.
Jadi anda mestilah bersih. Mesti cantik. Mesti wangi. Saya pun hendak/suka bersih, wangi dan cantik.
Wah yang cantik dan wangi itu boleh menimbulkan persoalan. Soalan pada diri saya. Apakah saya ini cantik? Kalau ada yang mengatakan saya tidak cantik, tidak mengapa asalkan saya suka yang cantik. Adakah saya ini wangi? Ini pun orang lain yang boleh memberi jawapan. Tapi saya suka bau yang wangi.
Kenapa kita perlu ada sikap dan menyukai bersih, cantik dan wangi?
Bagi saya ianya terlalu perlu dan perlu diamalkan. Ianya boleh membentuk peribadi yang baik.
Mari kita bicara hal-hal tersebut dalam keperluan mengerjakan solat kerana kita diajar bahawa solat boleh membentuk peribadi yang baik.
Semasa melakukan solat kita mesti berada dalam keadaan bersih. Allah juga suka kita berpakaian kemas dan cantik serta memakai bau-bauan wangi yang dibenarkan.
Malangnya kita tidak selalu melakukannya atau tidak mengamalkannya terutama dalam hal pakaian yang kemas dan cantik serta bauan yang wangi.
Mengapa? Saya tidak pasti.
Hanya saya boleh mengaitkan keadaan itu berlaku ialah kerana mungkin pemahaman dan sikap kita tentang bersih, cantik dan wangi itu tidak berapa jelas atau tiada kaitan.
Pakaian itu belum dikatakan bersih jika ianya berbau, misalnya berbau tengit, busuk, hapak dan hancing. Maka tidak patut dijadikan pakaian solat.
Sebab itu jika kita mahu tunaikan solat kita mesti berpakaian bersih. Kita ambil contoh bersolat di kompleks membeli belah. Dalam banyak pemerhatian saya , kita ambil rengan tentang bersih , cantik dan wangi itu.
Kita solat dengan pakaian (seluar) yang kita pakai itu yang belum tentu bersih kerana mungkin tercemar dengan berbagai kotoran dan najis. Apatah lagi jika kita memasuki tandas untuk buang air kecil/besar. Ada kemungkinan seluar kita itu tercemar dengan najis kencing, misalnya.
Ada juga sejadah yang disediakan berbau busuk. Ruang solat pun tidak bersih dan berbau.
Tapi kita bersolat juga dalam kita berkeadaan begitu kerana solat itu fardhu yang wajib kita lakukan.
Bukankah lebih baik kita membawa sama pakaian khusus untuk solat, yang bersih kemas dan cantik. Saya rasa ianya tidak membebankan, tidak berat pun.
Dan setiap dari kita mesti bertanggungjawab menentukan ruang solat yang disediakan di kompleks perniagaan itu dalam keadaan bersih, kemas, teratur dan tidak berbau busuk. Saya percaya pihak yang menguruskan surau/ruang solat itu menghargai sikap kita itu disamping pihaknya juga bersama melakukannya.
Mengapa apabila mengadap Allah misalnya sewaktu bersolat, kita pakai selekeh saja? Tidak bersih. Tidak kemas dan cantik. Tidak juga wangi. Ada masanya pakaian atau sejadah atau ruang solat kita berbau busuk dan hapak.
Saya percaya kita akan melakukannya jika kita benar-benar faham makna bersih, cantik dan wangi sehingga melahirkan perasaan suka dihati kita untuk mempunyai dan berkeadaan begitu, terutama untuk bersolat.
Saya percaya kita boleh melakukannya. Tiada alasan untuk kita tidak mampu melakukannya. Sebab , di majlis-majlis pertemuan antara manusia, bukan main bersih diri kita. Kita berpakaian kemas, baru, cantik dan mahal pula. Ditambah lagi dengan colekkan wangian dibadan dan pakaian kita.
Sebenarnya kita telah melakukannya. Tetapi hanya pada hari raya saja sewaktu menunaikan solat sunat raya. Pakaian kita cantik dan kemas. Pakai bau-bauan pula.
Saya tidak tahu sama ada kita berkeadaan demikian kerana untuk mengadap Allah atau hanya untuk selera mata manusia yang hadir solat raya itu. Tapi kalau untuk manusia itu saya rasa tidak salah jika pemahaman akan makna bersih, cantik dan wangi itu serta diikuti dengan amalan kearah mempunyai dan berkeadaan seperti itu diteruskan juga kepada Allah SWT. Yang lebih baiknya ialah kita sentiasa berkeadaan bersih, cantik dan wangi apabila saja kita bersolat.
Jika itu kita lakukan maka kehidupan kita akan sentiasa diingatkan supaya sentiasa melakukan yang bersih, cantik dan wangi walaupun kadang-kadang kita terlepas juga. Jangan susah hati kerana kita manusia, dan Allah sentiasa memberi keampuanan jika kita berserah kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan