1. Tiga hari sebelum memasuki Ramadhan, saya kehilangan seorang adik , meninggalkan kami menyahut panggilan Allah SWT, disemadikan dialam barzakh. Semuga roh adik saya ini ditempatkan dikalangan orang-orang yang dirahmati Allah SWT. Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak perempuan yang masih berumur remaja, dua masih belajar diperingkat kolej dan seorang sedang mencari pekerjaan.
2. Pada masa menguruskan jenazah adik saya itu, kelihatan masyarakat tempatan-Desa Permai, Kuala Lumpur, memberikan kerjasama dan pertolongan yang sesungguhnya tidak dapat kami adik beradik dan keluarga yang lain dapat membalasnya. Hanya kami mendoakan semoga Allah membalas pertolongan mereka itu sewajarnya.
3. Hari Jumaat yang baru lepas ini seorang lagi insan yang saya kenal meninggal dunia. Beliau ialah mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Isnin. Beliau mendapat penghormatan dari kerajaan negeri Melaka dan telah dikebumikan di Makam Pahlawan di masjid Al-Azim. Semoga Allah merahmati roh arwah dan dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai.
4. Pagi tadi ibu kepada Imam 2 masjid Syed Ahmad Shahabudin Bukit Beruang juga telah kembali ke rahmatullah. Takziah kepada tuan Imam dan keluarga. Semoga ibu anda dimasukkkan dikalangan orang-orang yang diredhai.
5. Kita semua tahu bahawa mati tetap pasti. Cuma kita tidak tahu bila masa dan ketikanya. Yang tua tidak mesti mendahului yang muda atau yang muda mendahului yang tua atau bapa mendahului anak atau anak mendahului bapa atau yang sakit mendahului yang sihat dan yang siaht mendahului yang sakit. Kita tidak tahu. Hanya Allah saja yang tahu.
6. Siapa pun kita, macam mana pun keadaan kita , mati boleh datang seperti yang ditentukan Allah, tidak cepat dan tidak lewat. Oleh itu tanpa bertanya bila kita akan mati, kita hendaklah bersedia menghadapinya. Dan sudah tentu dengan mempertingkatkan amalan-amalan yang disuruh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Kita sentiasa bermohon kepada Allah supaya kita mati dalam Islam, insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan