Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Jun 2013

Memilih Calun Menantu

Ada empat orang semuanya. Dua perempuan sudah berkahwin dan masing-masing telah mempunyai anak seorang satu. Masih ada dua orang, seorang anak teruna dan seorang si dara. Si teruna telah bekerjaya. Si dara masih lagi belajar,  dua tahun lagi baru tamat.
 
Kali terakhir majlis kahwin diadakan ialah empat tahun yang lepas. 
 
Hari itu semua anak-anak , menantu dan cucu berkumpul di rumah melainkan anak perempuan yang  masih belajar di Mansoura Mesir. Kesempatan mesti diambil untuk membincangkan sesuatu yang amat penting kerana bukan senang untuk dapat semua orang berkumpul. Tidak juga pada hari raya kerana ada yang balik beraya bersama dengan keluarga mertua.
 
Sebenarnya perkara penting itu telah beberapa kali dibangkitkan dengan anak lelaki  kami itu. Tapi sekadar mahu tahu kedudukan anak itu sama ada sudah ada calun dihati atau masih mencari. Kalau sudah ada calun, kami nak tahu siapa gerangannya bakal menantu kami itu. Jika masih mencari, hendak juga kami beri panduan orang yang macam mana yang perlu dicari. Yang  kami amat bimbang ialah jika anak itu suka berkelana saja, tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga.
 
Selepas makan malam, di ruang rihat keluarga , kami sekeluarga mengadap tv. Isteri semacam tidak memberi tumpuan kepada rancangan yang dipancarkan tv itu. Saya, sudah lama tidak menonton rancangan tv melainkan siaran sukan secara langsung. Menyampah. Tapi kerana isteri mendesak untuk ada bersama kerana ada perkara mustahak hendak dibincangkan, saya terpaksa akur.
 
Melainkan kami berdua dan dua orang cucu yang asyik dengan toys mainannya, yang lain memberi perhatian pada paparan di kaca tv.
 
Saya menguit bahu isteri supaya memulakan cerita, membangkitkan perkara yang mustahak yang hendak dibawa dalam perbincangan. Isteri sedia faham maksud kuitan keatas bahunya itu.
 
"Cantik perempuan tu", tiba-tiba terkeluar suara isteri mengganggu sedikit tumpuan perhatian anak menantu yang sedang menonton. Tapi mereka terus juga menonton tanpa seorang pun memberi reaksi. 
 
"Kalau dapat menantu macam tu kan bagus, ada rupa", isteri memuji lagi. 
 
"Ada rupa tak mestinya perangai baik", terdengar suara memberi reaksi. Suara anak perempuan yang pertama.
 
"Betul kata kakak tu. Ada rupa tapi perangai syaitan buat apa", anak perempuan kedua menyokong pendapat kakaknya. Isteri tersenyum. Anak-anak telah terperangkap. Terperangkap untuk bersama dalam satu perbincangan yang terlalu penting baginya. 
 
Tapi anak lelaki, si Lukman terus memberi perhatian kepada rancangan di tv, seolah-olah kata-kata mamanya itu adalah kata-kata dalam perbualan kosong. Bukan bermaksud ditujukan kepadanya. 
 
"Betul tak man", tanya kakak yang pertama, mengganggu Lukman yang sedang menonton. Lukman mengangguk saja tanpa bersuara.
 
Isteri nampaknya gelisah kerana Lukman tidak mahu masuk campur sedangkan dia adalah sasaran isteri. Isteri memandang ke arah saya seperti mahu minta bantuan. Saya rasa tercabar. Saya perlu membantu isteri bagi menyampaikan maksud dihatinya dan dihati saya juga. Saya mahu lakukan secara terus terang, tidak mahu kenen mengenen. Itu cara orang perempuan.
 
Saya meminta Lukman menutup tv. Pada mulanya Lukman menyangka permintaan saya itu disebabkan terdapat rancangan tohmahan dan fitnah yang selalu diulang siar oleh tv itu. Lalu dia menyatakan bahawa tiada hal seperti itu, ianya cuma drama hiburan.
 
"Papa dan mama nak bincang pasal man", saya beri tahu Lukman. Mendengar kata-kata saya itu Lukman segera menutup tv.
 
Maka semua yang ada hadap menghadap muka, duduk, membentuk bulatan di ruang rihat keluarga itu.  Sekali lagi saya menguit bahu isteri untuk meluahkan apa yang ada dihati. Isteri faham dan dia bersedia melakukannya.
 
Seperti pertemuan-pertemuan yang lepas, Lukman menyatakan dia masih tidak ada sesiapa sama ada yang dia berkenan atau ada orang berkenan padanya. Maknanya masih kosong lagi. Tambahnya lagi tidak semudah itu untuk mendapat orang yang berkenan dihati. Yang paling susah sekali ialah untuk mencari orang yang memenuhi spesifikasi yang selalu dinyatakan oleh isteri.
 
"Kalau man nak cari pasangan, carilah orang dekat. Elakkan orang jauh, seorang selatan, seorang nun di utara atau di timur. Susah nanti", satu diantara perkara yang selalu dipesan oleh isteri. 
 
Lukman berhujah balik bahawa kalau sudah jodoh, orang Bosnia pun boleh menjadi menantu mama. 

'Ada rupa, berharta, baik keturunan keluarganya, baik budi pekerti dan bahasanya. Dan yang paling penting baik amalan agamanya'. Isteri saya mengulangi kesekian kali ciri-ciri calun menantu yang Lukman perlu jadikan asas pencarian.
 
Lukman ketawa terbahak-bahak apabila sekali lagi ciri-ciri itu diperdengarkan kepadanya. 
 
'Cari orang yang ada rupa, maknanya perempuan cantiklah macam heroin dalam drama tv tu. Rupa aku macam mana?' Mungkin itu yang difikirkan si Lukman. 
 
Saya belum lagi mahu masuk campur. Cukup sekadar berjaya meminta Lukman berbincang hal yang menjadi keutamaan isteri.
 
Tapi otak saya bekerja kuat berhujah tentang ciri-ciri yang dinyatakan isteri saya itu. Harta, keturunan keluarga yang baik, budi bahasa dan pekerti yang dilihat baik belum tentu menjamin sebuah rumah tangga yang bahagia. Bahkan yang baik amalan agamanya belum tentu dapat menjamin keharmonian sebuah rumah tangga. Tapi ianya lebih baik daripada tidak ada asas tertentu yang digunakan dalam memilih pasangan. Apatah lagi  ciri-ciri yang dipilih itu adalah sejajar seperti yang disarankan oleh Islam.
 
 "Selesai", tanya saya.

"Apa yang selesainya?", isteri bertanya balik.

Saya bertanya Lukman adakah beliau telah bersedia untuk berumah tangga. Lukman tidak terus menjawab tentang kesediaannya itu sebaliknya ingin tahu pada usia berapa saya mendirikan rumah tangga.

"Lebih kurang macam umur man sekarang 26, nak masuk 27", jawab saya.

"Man baru nak masuk 26. Masih muda lagi", jawab Lukman.

Isteri pantas menyampuk dengan menyatakan bahawa anak-anak muda dulu berkahwin pada usia  17 tahun. Pada usia 26 tahun sudah lebih dari layak untuk berumah tangga.
 
"Kosnya mama. Hantarannya berpuluh ribu. Sepuluh ribu tak kurang. Mana belanja pergi merisik, meminang, bertunang dan majlis kenduri kahwin. Kalau tak ada 50 ribu jangan angan-anganlah nak kahwin", Lukman memberi alasan. Maknanya masalah Lukman bukan fasal ciri-ciri itu. Masalah Lukman ialah wang belanja.
 
"Sebab tu lah mama kata cari orang dekat. Boleh kurang belanja", isteri mengambil kesempatan atas jawapan Lukman tentang kos perkahwinan yang tinggi untuk memperkuatkan agar Lukman mencari calun orang yang dekat.
 
Saya tidak juga mahu masuk campur. Saya lebih suka mendengar. Bagi saya dekat atau jauh tidak jadi masalah jika itu yang Lukman berkenan. Dia yang nak kahwin, dialah yang buat pilihan. Belum tentu orang dekat lebih baik dari orang jauh. Dan belum tentu orang jauh akan boleh menimbulkan kesulitan dari segi hubungan kekeluargaan.
 
"Suka hati Man lah. Papa tak kisah. Asalkan Man dapat pilihan yang terbaik dan berkenan di hati man, papa setuju saja. Cuma ciri-ciri yang mama cakap itu baik di buat panduan. Semua emak bapak sayangkan anak-anak. Nak lihat anak dan menantu serta cucu-cucu berjaya dunia akhirat'. Saya bangun meninggalkan mereka semua. 


    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan