Kelaku itu sama ertinya dengan perangai, yang juga boleh mengambil tempat sebagai tabiat atau pun bermaksud kelakuan. Jadi tajuk paparan: Kelaku Yang Tidak Senonoh membawa maksud perangai atau tabiat atau kelakuan yang tidak senonoh. Tidak senonoh ini maksudnya tidak baik, yang jijik lagi menjijikkan, perbuatan orang bodoh dan jahil; perbuatan orang yang tidak bermoral; perbuatan tidak beradab dan sopan; dan segala perilaku, hasrat yang terzahir dan tersirat dibawah pengaruh dan hasutan syaitan iblis.
Pendek kata Kelaku Yang Tidak Senonoh adalah perbuatan yang mendapat sanjungan dari syaitan dan iblis.
Sesungguhnya apa yang telah berlaku baru-baru ini bukanlah satu perkara baru. Dan tidak juga berlaku sesekali atau sesuatu yang boleh dikatakan yang terpencil. Kelaku ini telah menjadi satu budaya, satu institusi yang telah diterima, disokong dan diguna pakai untuk kepentingan diri, puak atau pun kelompok. Dan ianya juga sesuatu yang dibenci, tidak disukai dan dianggap biadap tidak sopan jika mengena atau dikenakan pada diri, puak atau kelompok.
Sesungguhnya kelaku yang tidak senonoh ini telah lama mendasar dalam masyarakat kita.
Hanya sanya ia semakin mengukuh, menjadi terlalu jijik dan kotor demi perjalanan masa kerana mereka bertuhankan politik, untuk berkuasa atau merebut kuasa menguasai negara.
Baiklah. Apa yang saya maksudkan kelaku yang tidak senonoh itu?
Terlalu banyak.
Cuma baru-baru ini dimasyhurkan peristiwa sebahagian manusia yang memijak gambar PM dan isteri. Jelas manusia (manusia ke?) itu tidak tahu menjaga kehormatan diri. Tidak tahu harga dan nilai diri seorang manusia. Memijak gambar pemimpin atau yang bukan pemimpin sama juga memijak gambar sendiri. Kerana pemimpin itu adalah juga manusia. Melainkan yang memijak itu mengaku bahawa dianya bukan manusia.
Apa pun alasan yang diberikan , memijak gambar PM dan isteri itu masih saya katakan kelaku yang tidak senonoh. Ertinya mereka itu melakukan atau berperilaku jijik lagi menjijikkan, tidak bermoral, bodoh dan jahil yang bertindak dibawah naungan syaitan dan iblis.
Alhamdulillah pihak berkuasa telah berjaya mengesan pelaku ini. Mereka wajar disiasat dan jika kelaku itu menyalahi undang-undang yang ada, mereka wajar didakwa. Namun bagi saya mereka tetap saya anggap tidak punya rasa kemanusiaan.
Sama juga dengan kelaku mengganggu takzirah yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang di sebuah masjid di Alor Setar, Kedah. Kelaku seperti ini adalah juga tergolong dalam perbuatan atau perangai syaitan dan iblis.
Sama seperti memijak gambar PM, saya mengulangi lagi bahawa apa pun alasan yang diberikan, mengganggu takzirah itu adalah kelaku yang tidak senonoh.
Apa yang tidak sama ialah bahawa kelaku memijak gambar PM dan isteri mendapat pemasyhuran yang meluas dan berpanjangan sehingga ke saat ini. Banyak pandangan dan ulasan telah dipertonjolkan yang mengutuk kelaku seperti itu.
Tapi kelaku mengganggau takzirah di masjid oleh ketua pembangkang tidak pula ada liputan. Mereka yang mengutuk kelaku pijak gambar PM tidak pula marah dengan kelaku gangguan dimasjid.
Dua-dua kelaku yang ditunjukkan tergolong dalam perbuatan tidak senonoh. Tapi mengapa hanya satu saja yang dipertonjolkan ? Maksud saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memijak gambar PM tapi senyap dengan kelaku mengganggu takzirah dimasjid.
Bagaimana dengan orang yang membuat gangguan itu. Sudah ke di kesan dan disiasat untuk tujuan pendakwaan jika mereka itu juga melanggar undang-undang negara.
Jadi saya tidak hairan mengapa berlakunya peristiwa memijak gambar PM dan isteri walaupun saya tidak bersetuju dengan kelaku seperti itu.
Untuk kita dihormati kita wajar tahu dan menghormati orang lain kerana kita adalah insan dan mereka juga pun insan, sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Tak usahlah kita suka mengamalkan kelaku atau budaya hina menghina, memfitnah dan malu-memalukan sesama kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan