Diberitakan bahawa PR akan membentangkan Belanjawan 2013 pada hari ini, Rabu, 26 September 2012 di Parlimen. Sudah tentu pembentangan itu bukan untuk dibahaskan dalam persidangan Parlimen ini. Bukan juga menjadi sebagai satu agenda rasmi dalam persidangan. Hanya untuk dipermaklumkan saja kepada wartawan untuk disebar luas kepada rakyat.
Ini merupakan inisiatif terbaru PR dalam cuba mempengaruhi pemikiran rakyat agar memihak dan menyokong mereka dalam pilihanraya ke 13 nanti.
Dan pada hari Jumaat, 28 September, 2012, BN yang menerajui kerajaan Persekutuan ketika ini akan membentangkan Bajet 2013 dihadapan ahli-ahli Parlimen untuk dibahas dan diputuskan. Pembentangan bajet ini adalah agenda rasmi persidangan Parlimen. Secara konvensyen bajet ini akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Dan pada ketika ini Perdana Menteri adalah juga Menteri Kewangan. Jadi bajet 2013 akan dibentangkan oleh kepimpinan tertinggi kerajaan BN. Ini membawa maksud bahawa ianya akan mendapat sokongan yang jitu dari ahli-ahli Parlimen BN yang lain.
Seperti juga PR, bajet yang akan dibentangkan pada kali ini akan lebih memberi berat kepada mempengaruhi dan memenangi hati dan minda sebahagian besar rakyat agar memberi sokongan dan seterusnya memilih BN dalam pilihanraya ke 13 nanti untuk terus kekal berkuasa bukan saja di peringkat Persekutuan bahkan diperingkat negeri dengan harapan yang cukup tinggi untuk merampas semula negeri-negeri yang ketika ini dibawah pimpinan PR.
Belanjawan/Bajet Negara adalah satu alat yang terbaik ke arah mempengaruhi dan memenangi hati dan fikiran sebahagian besar rakyat kerana belanjawan adalah mengenai hal ehwal yang bersangkutan langsong dengan kehidupan rakyat.
Apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan rakyat? Atau apa yang rakyat mahu?
Rakyat menaruh harapan dan mahukan satu kehidupan yang terbaik.
Saya tidak mempunyai maklumat atau tidak tahu apakah tema PR dan BN bagi Belanjawan/Bajet masing-masing. Namun dapat juga saya menciumi matlamat mereka seperti yang saya katakan diatas iaitu mencuba sebaik mungkin untuk mempengaruhi dan memenangi hati dan minda rakyat agar memilih mereka dalam pilihanraya ke 13 nanti.
Saya rasa semua pihak juga dapat menciumi bau dan aroma yang sama. Dalam kata lain kedua-dua pihak yang bersaing ini akan menjadikan MESRA RAKYAT dalam pendekatan dan isi Belanjawan/Bajet mereka. Tidak juga menjadi luar biasa jika Mesra mereka kepada rakyat kali ini akan sampai ke tahap MELAMPAU. Maksud saya banyak tawaran-tawaran dalam bentuk apa yang selalu digah-gahkan sebagai 'Durian Runtuh' akan menjadi satu keutamaan dalam cadangan belanjawan/bajet masing-masing.
Jika demikian kaedahnya maka soal agihan dan penggembelingan sumber negara secara yang efisyen kearah pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berdaya maju dalam jangka masa panjang tidak lagi menjadi prinsip yang dipegang dalam pendekatan dan isi belanjawan/bajet yang akan dibentangkan nanti.
Jika kedua-dua pihak yang bersaing itu, BN dan PR menterjemahkan harapan rakyat dan kehidupan rakyat yang terbaik itu seperti memberi gula-gula kepada anak-anak kecil untuk mereda atau memberhentikan tangisan, maka matlamat itu akan tercapai, anak-anak itu akan dapat diredakan dan berhenti menangis. Dan anak-anak itu juga akan tumbuh membesar dengan gigi yang rongak, rosak.
Maknanya belanjawan/bajet yang dirangka sedemikian rupa tidak akan sebenarnya memberi kehidupan terbaik kepada rakyat.
Pengagihan, penggembelingan dan seterusnya penggunaan sumber negara secara effisyen mestilah menjadi prinsip dalam merangka belanjawan/bajet negara dengan matlamat akhirnya demi kesejahteraan rakyat. Ini adalah satu pernyataan yang boleh saja dimanupulasi oleh mana-mana pihak sehingga akhirnya ia tidak memberi makna langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Belanjawan adalah merupakan satu perancangan kewangan. Oleh itu penggunaan wang negara hendaklah dirancang sebaik-baiknya dengan memilih hanya program/projek/aktiviti/perkhidmatan yang dapat meransang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, agihan kekayaan yang 'equitable' dikalangan rakyat, keutuhan kesatuan rakyat dan kelangsungan persekitaran kehidupan yang tidak tercemar.
Dan belanjawan bukan saja terhenti setakat merancang. Yang penting ialah bagaimana wang yang telah dirancang agihannya itu digunakan.
Jadi dalam membahas dan membincangkan belanjawan/bajet, isu yang amat penting juga yang perlu dibincang, diketengah dan dipersoalkan ialah bagaimana wang itu digunakan. Bermakna ianya melibatkan persoalan yang ada kaitan dengan proses, prosedur, sistem, dasar, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan.
Dengan demikan jika ahli-ahli parlimen hanya menyentuh tentang misalnya bilangan projek yang banyak sebagai satu gambaran belanjawan yang terbaik untuk rakyat, ianya satu kegagalan dalam menjamin rakyat mendapat faedah dari bilangan projek yang banyak itu.
Kenapa tidak dibahas misalnya sistem penyampaian, proses, prosedur dan sistem perolehan? Banyak mana pun projek/program/perkhidmatan ditujukan untuk rakyat ianya tidak akan memberi makna apa-apa jika terdapat kegelinciran dari segi proses, prosedur dan sistem yang digunakan. Kegelinciran itu bermaksud melaksanakan sesuatu diluar dari aturan yang ditetapkan yang boleh membuka ruang kepada kelemahan/kelewatan dari segi penyampaian kepada rakyat, pembaziran, salah guna kuasa dan rasuah.
Oleh itu belanjawan/bajet mesra rakyat itu hendaklah sentiasa dikaitkan dengan penggunaan sumber negara dalam rangka proses, prosedur, sistem, dasar, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Bahan rujukan yang terbaik untuk memberi kesan kepada perbahasan untuk menjadikan belanjawan/bajet itu MESRA RAKYAT adalah Laporan Ketua Audit Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan