Tugas terbaru saya adalah menghantar cucu ke taska . Pada setiap pagi Isnin sehingga Jumaat melainkan cuti umum, saya dan isteri , setiap seorang memimpin seorang cucu sambil menjinjing beg yang berisi dengan pakaian dan makanan setiap seorang cucu itu memasuki kereta untuk di hantar ke taska di cyberjaya. Perjalanan memakan masa kurang lebih 10 minit.
Mereka akan dijemput pulang pada jam 5 petang.
Cucu yang pertama, Yousef Imran sebenarnya baru saja berpindah taska dari kampong pandan ke cyberjaya. Yousef dan Umminya buat sementara berpindah dari rumahnya di Ampang Avenue dan tinggal bersama kami di Putra Jaya. Ini berikutan pemergian ayah Yousef ke Munich Jerman untuk bekerja dengan sebuah syarikat otomotif disana. Oleh kerana kami tidak mahu mereka tinggal dua beranak di rumahnya diAmpang jadi kami meminta mereka tinggal bersama kami buat sementara sebelum mereka berpindah ke Munich pada bulan Mac tahun depan.
Yousef Imran sudah biasa dengan alam taska.
Ahmad Naqib, cucu kami yang kedua sepupu kepada Yousef, belum pernah di hantar ke taska. Oleh itu taska adalah sesuatu yang baru baginya termasuklah pengasuh-pengasuh taska (pengasuh-pengasuh taska ini dipanggil teacher).
Yousef begitu seronok dengan taska. Naqib amat sedih berada di taska, berpisah dari jagaan harian kami. Maka menangislah Naqib pada hari pertama sehingga ke hari ini. Sudah masuk 3 minggu. Menangis dari pagi sehinggalah ke petang pada hari pertama sehingga beberapa hari yang lepas.
Tapi semalam dan hari ini ada perubahan walaupun waktu diserahkan kepada teacher dia menangis tapi hanya sekejap saja. Disebelah petang waktu dijemput, Naqib ceria dengan teachernya. Duduk diatas riba teacher sambil mengunyah biskut. Sebaik saja nampak wajah kami , Naqib mula menangis dengan memanggil "neneeeek, tokpa, neneek, tokpa".
Kami terlalu gembira kerana Naqib telah menunjukkan kemajuan dari segi penerimaan terhadap orang lain. Cuma yang masih dirisaukan ialah seleranya untuk makan agak kurang terutama jika disuap oleh orang lain. Harap-harap ianya akan berubah, lebih berselera dan mahu makan tidak kira siapa yang menyuapnya.
Jika Naqib telah dapat menerima taska dengan perasaan yang menyeronokkan maka bolehlah kami berkira-kira untuk balik ke rumah kami di Melaka yang telah lama ditinggalkan, yang ketika ini dihuni oleh sang cicak yang amat pengotor itu.
Tapi sedih juga hendak meninggalkan Naqib.
Hi salam..boleh saya tau u hantar taska cyberjaya di mana ya?
BalasPadam