Theflowersellingboy

Jumaat, 14 September 2012

Tunjuk Pelangi Jari Akan Kudung dan Rasa Garam Tetap Masin Dari Dulu, kini dan Selama-lamanya

"Jangan tunjuk pelangi, nanti kudung jari". Begitulah kaedah yang digunakan oleh sebahagian besar dari ibubapa dan orang lebih tua generasi saya dalam mendididik dan mengajar anak-anak dan anak-anak kecil supaya patuh dan taat setia kepada kedua ibubapa dan orang yang lebih tua. Saya dan anak-anak ketika itu tidak boleh berhujah atau bertanya mengapa 'tidak boleh tunjuk pelangi' atau 'mengapa jari jadi kudung'. Kami wajar menerima dan percaya apa yang dikata. Mesti taat dan patuh. Ada sebahagian dari anak-anak itu percaya sehingga jika ada anak-anak yang lain cuba menyanggah ianya boleh menimbulkan perkelahian. 

Saya adalah seorang dari anak-anak yang tidak percaya. Maka apabila adanya pelangi dan jika sedang berjalan dengan kawan-kawan saya dengan cepat menunjuk kearah pelangi itu. Sebab, yang pertama bagi saya pelangi itu sesuatu yang cantik, berwarna warni. Kedua, ianya tidaklah selalu berlaku, cuma diwaktu hujan renyai dan matahari bersinar. Ketiga, saya sengaja berbuat begitu bagi membuktikan bahawa jari tidak akan jadi kudung kalau menunjuk ke arah pelangi. Sebenarnya, sebab ketiga inilah lebih kuat yang meransang saya untuk menunjuk pelangi dengan harapan untuk mendapat bantahan/cegahan dari kawan-kawan.

Secepat kilat kawan-kawan yang percaya tangan yang menunjuk pelangi itu menjadi kudung akan bersuara keras melarang. Saya pula dengan segera menunjukkan jari saya. Ianya masih lagi ada, tidak kudung. Dengan bukti yang ada itu pun mereka masih percaya jari saya akan menjadi kudung jika saya tidak menghisap jari yang menunjuk itu sebagai tanda minta maaf kepada pelangi atau membersihkan kesalahan saya itu.  Saya tidak menurut nasihat mereka. Dan setelah beberapa hari berlaku dan apabila kami berjumpa kawan saya itu masih mengatakan pada suatu hari nanti jari saya itu akan jadi kudung.

Begitulah kuatnya ketaatsetiaan atau kepatuhan sebahagian dari anak-anak sezaman saya waktu itu akan pantang larang yang telah disampaikan oleh orang-orang tua. Bukti dan logik tiada dalam pertimbangan.

Satu lagi pegangan hidup yang diamalkan ketika itu ialah  'siapa dulu makan garam'. Bermaksud bahawa orang tua kita yang lebih awal hidup dari kita, yang telah menjalani dan menempuh berbagai ragam dan rencam kehidupan , lebih tahu atau serba tahu dari kita yang muda. Maka kata-kata mereka adalah semuanya benar dan perlu diambil sebagai benar belaka. Kita tidak boleh berbeza atau memberi pilihan dari apa yang mereka telah tentukan. 

Sama seperti hal pelangi diatas, ada sebahagian anak-anak yang teguh memegang prinsip 'siapa dulu makan garam' ini, dan ada juga yang tidak setuju.

Apa yang dapat disimpulkan ialah bahawa kaedah didikan pada masa itu adalah untuk mendapatkan kepatuhan dari orang muda terhadap orang yang lebih tua. Jika ada yang tidak patuh telah disediakan hukuman iaitu jari akan jadi kudung, dalam hal menunjuk pelangi tadi. Kaedah menakut-nakutkan. 

Oleh kerana tahap ilmu pengetahuan ketika itu amat rendah maka apa yang datangnya dari ibubapa atau orang yang lebih tua diterima sebagai benar dan perlu dipatuhi tanpa ada soal. Sesiapa yang tidak patuh akan menerima padah yang buruk. Dan jika ada yang telah terlanjur melakukannya, padah yang buruk itu boleh dielakkan dengan melakukan sesuatu misalnya menghisap jari yang menunjuk itu sebagai isyarat membersihkan kesalahan yang dilakukan dan memohon kemaafan. Maka dengan cara ini , saya berpendapat, larangan itu menjadi lebih bertahan tempoh hayatnya dikalagan anak-anak, terutama kepada anak-anak yang terlalu taksub dan anak-anak yang antara percaya dengan tidak dengan larangan itu. Cuma larangan itu tidak meninggalkan kesan kepada anak-anak yang suka bertanya, 'mengapa boleh jadi kudung'?

Jadi kaedah menakut-nakutkan adalah kaedah didikan yang paling berkesan bagi mendapatkan kepatuhan, taat setia dan perlindungan serta keselamatan diri yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu ketika itu. Sebab itulah cerita-cerita hantu yang berbagai itu sentiasa diceritakan kepada anak-anak terutama semasa senyap sepi diwaktu malam. Maka berpeluk-pelukanlah anak-anak itu diantara satu sama lain sambil merapati orang tua yang bercerita itu untuk rasa lebih selamat.

Mereka (anak-anak ) itu terlalu takut walaupun tidak pernah melihat atau berjumpa dengan hantu yang diceritakan.

Begitu juga dengan prinsip 'siapa dulu makan garam', yang bersifat untuk mengekalkan penguasaan orang tua dalam menentukan tata cara, kaedah, bentuk, susunan, peraturan, tingkah laku , adab dan perhubungan dalam kehidupan sebuah masyarakat.

Soalnya sekarang adakah dua hal yang diperkatakan itu masih lagi berlaku. Maksud saya adakah kaedah menakut-nakutkan yang berselindung disebalik memberi perlindungan dan keselamatan bagi mendapat kepatuhan, taat setia dan perpaduan serta kesatuan diamalkan pada masa ini? Dan adakah juga kaedah yang mengasaskan pengalaman yang begitu lama dipergunakan untuk mengekalkan penguasaan, seperti orang tua-tua dulu dibawah prinsip siapa dulu makan garam?

Jawapan saya , jelas sekali bahawa kedua-dua kaedah itu telah digunakan pada peringkat yang lebih tinggi dan meluas. 

Peringkat yang lebih tinggi membawa maksud peringkat bagi menguasai pemerintahan sebuah negara. 

Penggunaan kaedah yang meluas pula, sama maknanya dengan penggunaan segala alat dan jentera sebaran untuk memberi kesan yang seoptima dan semaksima yang mungkin dalam mempengaruhi seseorang bagi mendapatkan ketaatsetiaan, kepatuhan dan keyakinan bahawa 'tiada lain yang lebih baik melainkan yang telah lama memimpin'.

Jadi untuk berjaya dalam pilihanraya yang akan datang ini ada pihak menggunakan kaedah menakut-nakutkan rakyat. Rakyat tidak selamat jika memilih pihak B, kata pihak A. Pihak B tiada rekod dan pengalaman mentadbir negara. Oleh itu tidak akan dapat mentadbirkan negara dengan baik.

Maka disebarkan dengan kerap dan meluas akan ancaman yang akan diterima oleh rakyat itu jika salah buat pilihan.

Maka juga ada rakyat yang taksub lalu percaya.  Sama seperti anak-anak kecil dalam hal jari menjadi kudung jika menunjuk kearah pelangi yang diceritakan diatas tadi. Bukti dan logik bukan lagi asas pertimbangan. Yang penting 'kita perlu selamat', kononnya.

Ada rakyat yang was-was serba salah diantara percaya dengan tidak. Sama seperti anak-anak kecil yang terlanjur menunjuk kearah pelangi yang diminta menghisap jari jika mahu selamat (jari tidak kudung), rakyat yang was-was atau yang dikatakan atas pagar itu , jika ada penawar yang boleh menyelamatkannya akan menggunakan penawar itu. Dan dalam keadaan sekarang, dalam kehidupan yang terbeban dengan kos hidup yang tinggi penawar yang paling ditunggu ialah wang ringgit atau apa saja yang boleh mengurangkan kesulitan hidup walaupun bagi tempoh yang terlalu pendek.
 
Cuma yang tidak terkesan dengan kaedah takut menakutkan dan kaedah bahawa yang lebih lama adalah lebih baik adalah mereka atau rakyat yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan yang baik yang menguasai banyak maklumat dan tahu membezakan maklumat yang mana yang benar dan yang mana satu yang tidak benar.  Mereka ini tidak akan jadi penakut.

Oleh itu untuk memilih sebuah kerajaan kita, rakyat, jangan jadi seorang yang boleh atau mudah ditakut-takutkan. Berfikirlah secara tenang dan rasional kerana orang yang sentiasa mempunyai perasaan takut dan boleh ditakut-takutkan jiwanya tidak tenang dan tidak mampu berfikir secara waras serta sentiasa mengharapkan perlindungan. Dan mereka ini adalah mangsa yang terbaik untuk diperkudakan.

Jangan takut tunjuk pelangi. Jari tidak akan jadi kudung. Biarpun yang tua lebih dulu makan garam, rasa garam tetap juga masin jika yang muda merasainya.
 
 




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan