Hari ini, Rabu 19 September 2012, kurang lebih jam 6 suku petang, saya berserta isteri , anak-anak dan cucu-cucu, dari Precint 11 Putra Jaya menuju ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya bagi mengucapkan selamat jalan kepada adik dan isterinya ke tanah suci. Saya menggunakan lebuhraya LDP untuk ke sana.
Pada mulanya perjalanan adalah lancar. Kemudian kenderaan dilencongkan kerana terdapat kerja-kerja binaan jalan raya. Malanh sekali selepas mengikut lencungan itu tidak ada papan tanda rah untuk memasuki semula lebuhraya LDP itu. Jadi saya telah memasuki jalan yang salah menuju ke bandar Kiara. Nasib baik anak ada membawa GPS bersama. Jadi dapatlah kami kembali semula ke LDP dan seterusnya sampai Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.
Kereta terlalu banyak. Saya meletakkan kereta lebih kurang 200 meter dari kompleks.
Seperti biasa jumlah orang yang menghantar lebih ramai dari jemaah yang pergi. Sebahagian besar membawa bersama bekalan makan minum. Dan bersantailah mereka makan minum.
Pihak pengurusan kompleks meminta kerjasama dari para hadirin agar dapat menjaga kebersihan. Sampah-sampah dan sisa-sisa makanan hendaklah dimasukkan ke dalam plastik/bungkusan dan dibuangkan kedalam tong/bekas yang ada disediakan. Dan sebahagian besar hadirin nampaknya memberikan kerjasama berbanding dengan beberpa tahun yang lepas. Ini merupakan satu kemajuan dari segi menjaga kebersihan.
Lebih kurang jam 9 malam para jemaah telah diminta untuk masuk ke dalam dewan/bangunan. Seperti biasa maka berpusu-pusulah jemaah menuju ke tempat yang diminta. Terdapat 3 barisan dibentuk sebagai cara bagi melancarkan para jemaah memasuki bangunan. Terdapat beberapa orang pengawal yang memberi arahan , menentukan barisan yang mana perlu bergerak terlebih dahulu supaya tidak berlaku asak berasak atau potong 'que'. Namun amat malang sekali masih lagi terdapat para jemaah dari barisan yang belum tiba giliran telah bergerak untuk memasuki bangunan.
Perangai seperti ini memang biasa kita lihat semasa memandu kenderaan atau semasa menaikki bas. Sudah menjadi budaya atau perangai. Dan untuk pergi ke tanah suci masih lagi tidak buang perangai buruk itu. Ini berlaku di kompleks tabung haji Kelana Jaya. Belum lagi sampai ketanah suci. Disana nanti banyak benda yang hendak direbut. Satu daripadanya ialah untuk naik lif ke tingkat masing-masing dan/atau untuk ke tingkat yang menyediakan makan tengah hari.
Perangai berebut-rebut, berasak-asak dan yang tidak senonoh misalnya perli memerli, tengking menengking dan marah memarahi besar kemungkinan berulang lagi pada musim haji tahun ini. Kalaulah ianya berlaku maknanya kita masih lagi belum maju dari segi disiplin dan adab.
Sesungguhnya amat malang sekali kerana pemergian kita ke tanah suci dicemari perangai kita yang buruk itu. Mengapalah perlu berebut-rebut.
Ada orang mengatakan ini adalah salah satu dugaan kepada para jemaah. Katanya kita mesti bersabar dengan perangai-perangai seperti itu.
Saya bersetuju bahawa memang ada dan banyak dugaan. Tapi saya tidak bersetuju menjadikan alasan dugaan itu bagi membenarkan kelakuan yang tidak senonoh itu. Jangan disalahkan dugaan bagi kita membenarkan perlakuan yang tidak baik.
Semoga para jemaah haji tahun ini akan dapat melaksanakan haji dengan lebih sempurna dan tertib. Ingat kita hendak melakukan yang terbaik. Ingat juga orang lain juga hendak melakukan yang terbaik. Tapi jangan pula kita menyakitkan hati dan perasaan orang lain dengan menunjukkan perlakuan atau mengeluarkan kata-kata yang tidak layak datangnya dari seorang jemaah haji yang mahukan keredhaan dari Allah untuk mendapat haji yang terbaik (mabrur), Dan kita pula dengan mudah menyatakan pada orang lain supaya bersabar, sedangkan kelakuan kita atau kata-kata kita tidak menunjukkan seorang yang sabar. Contohnya potong 'que' tadi.
Selamat ke tanah suci dan sentiasa sihat untuk dapat melaksanakan kerja haji dengan sempurna, dan selamat kembali ke tanah air.
\
Tiada ulasan:
Catat Ulasan